Haid atau bahasa ringkasnya disebut sebagai ‘datang bulan, ‘ABC (Allah Bagi Cuti), menstruasi atau apa jua istilah yang digunapakai, ia merujuk kepada satu perkara yang sama; iaitu darah yang keluar dari tempat kemaluan wanita pada tempoh-tempoh tertentu.
Ia adalah perkara normal bagi kebanyakan wanita yang mengalami proses menginjak usia dewasa. Biasanya, proses haid akan bermula pada usia 12 tahun, 13 tahun bahkan ada yang lebih awal sejak dari usia 10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun. Hal ini bergantung pada setiap individu.
Pada umur sebegini adakalanya adik-adik remaja perempuan masih belum mengetahui dan kurang didedahkan dengan info atau maklumat berkaitan, lalu ada dalam kalangan mereka ini berasa panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Darah apa ini?” “Apa yang patut aku buat?” “Macamana nak berhentikan darah ni?” dan pelbagai pertanyaan lagi yang mungkin keluar dari mulut mereka yang baru pertama kali melaluinya. Berikut dikongsikan beberapa panduan bagi mereka yang menghadapi situasi tersebut:
#1 – Usah Panik
Tidak dinafikan, pertama kali mengalami situasi kedatangan haid ini sudah pasti rasa panik, bimbang, risau dan perasaan-perasaan lain menghantui fikiran dan diri kebanyakan remaja perempuan.
Sebaiknya bertenang dan tidak terlalu gopoh. Anggaplah itu perkara normal yang akan dilalui bagi setiap perempuan.
#2 – Bertanya Dan Meminta Bantuan Kedua Orang Tua, Kakak Atau Guru
Banyakkan bertanya dan meminta bantuan kepada orang yang lebih dewasa atau penjaga kita seperti ibu bapa, nenek atau guru. Jika haid keluar pertama kali di rumah, maka ibu bapa, nenek atau adik-beradik perempuan adalah tempat pertanyaan yang paling tepat. Sekiranya haid pertama kali berlaku di luar rumah seperti di sekolah, maka guru perempuanlah tempat untuk dirujuk.
#3 – Memperbanyakkan Bahan Bacaan Berkaitan
Selain bertanya kepada orang dewasa, anda juga bolehlah mendapatkan info atau maklumat berkaitan hal ini di mana-mana sumber bahan bacaan seperti laman web yang diperakui, buku dan sebagainya.
Anda akan mendapat banyak maklumat mengenai ciri-ciri darah haid, jenis-jenis darah wanita, cara membasuh darah haid, cara memakai tuala wanita, pemilihan fabrik bagi tuala wanita yang bersesuaian, simptom yang dialami ketika haid, cara mandi wajib selepas haid dan pelbagai maklumat lain berkaitan yang perlu diketahui dan diambil tahu.
#4 – Menjaga Kebersihan
Mulailah menjaga kebersihan diri, pakaian atau tempat tinggal bagi anda yang mengalami haid, iaitu dengan memakai tuala wanita yang direka khas pada masa kini bagi menampung pengeluaran darah tersebut.
Sebaiknya, jangan biarkan tuala wanita yang dipakai itu seharian tidak ditukar. Ini bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit atau kuman.
Langkah ini juga perlu bagi mengelakkan kehadiran bau yang kurang menyenangkan dan ini tentu membuatkan orang di sekeliling berasa tidak selesa.
#5 – Menjaga Pergaulan Dengan Lawan Jenis
Proses haid atau ‘datang bulan’ ini adalah proses fisiologi bagi setiap perempuan yang berada dalam lingkungan umur tertentu dan berupaya untuk mengandung. Fungsi kitaran haid adalah untuk menghasilkan ovum yang matang daripada ovari dan menyediakan lapisan dalam rahim untuk penempelan embrio.
Oleh itu, pelbagai perubahan akan dialami oleh tubuh remaja perempuan ketika itu hinggalah meningkat dewasa, antaranya peningkatan jumlah hormon estrogen. Dalam situasi ini, tidak dinafikan rasa ketertarikan kepada lawan jenis amat ketara selepas perubahan hormon tersebut.
Oleh itu, jagalah pergaulan anda dengan lawan jenis bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Semoga perkongsian yang sedikit ini dapat membantu dan bermanfaat bagi mereka yang memerlukan. Seterusnya, bertindak mengikut cara yang sebetulnya. Perempuan adalah individu yang unik dan istimewa di sisi Islam. Pelbagai keistimewaan tidak diberikan kepada kaum lelaki termasuklah perkara yang dibincangkan ini.
Dengan itu, usahlah berasa terbeban jika dilahirkan sebagai seorang perempuan dan perlu menjalani proses-proses tertentu selama masa menjalani kehidupan ini. Wallahua’lam.
Sumber: Tazkirah.net
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel