MENGAPA DELIMA
Delima merupakan tanaman buah-buahan yang berasal dari Iran. Buahnya bulat hampir sebesar limau, berkulit keras dan kemerahan. Isinya berbiji-biji seperti Kristal. Dalam sesetengah masyarakat, delima melambangkan kesuburan dan panjang usia. Misalnya buah delima menjadi simbol kesuburan bagi perkahwinan masyarakat di Timur Tengah. Orang Cina pula menyajikan buah delima sewaktu upacara perkahwinan kerana ia dianggap lambang kesuburan, kemakmuran dan keturunan besar. Dalam Islam, buah delima merupakan salah satu buah yang terdapat di dalam syurga yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia untuk dinikmati dan sebagai penawar di atas dunia.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Rahman ayat 68 yang bermaksud:
Di dalam kedua-dua syurga itu terdapat buah-buahan, pokok kurma dan pokok delima.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-An’am ayat 99 yang bermaksud:
Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman. (Al-An’am : 99)
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-An’am ayat 141 yang bermaksud:
Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang bersusun dan kebun-kebun yang tidak bersusun, pokok kurma, tanaman-tanaman yang berlainan rasanya, pokok zaitun, dan pokok delima yang serupa atau yang tidak serupa. Makanlah buahnya jika telah berbuah dan bayarlah zakatnya di hari kalian memetiknya. Dan janganlah kalian melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas . (Al-An’am : 141)
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
Makanlah delima dengan kulitnya kerana sesungguhnya buah delima baik untuk penghadaman perut (Diriwayatkan Ahmad, Baihaqi dan Ibnu Sunni)
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
Tidaklah buah delima yang ada pada kalian sekarang ini, melainkan sebahagian daripada buah delima dari syurga (Diriwayatkan oleh Al-Dzabi)
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
Makanlah buah delima dengan isinya, kerana ia dapat mencuci penghadaman.(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)
Ada sejumlah atsar hadis tentang buah delima yang dinisbahkan kepada Rasullah S.A.W atau kepada keluarga baginda. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang Bermaksud:
Buah Delima adalah penghulu buah-buahan. Sesiapa yang makan buah delima, maka syaitan menjadi marah selama 40 hari kerana jika syaitan makan buah delima, maka dia tidak diikuti oleh seseorang.
Baginda bersabda:
Adam, buah kurma, buah anggur, dan buah delima diciptakan dari satu jenis tanah
Baginda bersabda:
Makanlah buah delima dengan kulitnya. Sesungguhnya kulitnya dapat membersihkan perut besar.Tidaklah sebutir biji buah delima berada di dalam perut seorang muslim, melainkan dia akan meneranginya dengan mengusir syaitan serta godaannya selama 40 hari
Imam Ghazali mengajak manusia agar merenung tentang penciptaan buah delima sebagai tanda kehebatan Allah S.W.T. dimana ia terbentuk seperti katung-katung kecil segar, dengan bahagian bawahnya besar dan bahagian atasnya tipis seperti tenunan halus dan akhirnya ia dibalut dengan kulit yang tebal mengelilingi buah delima tersebut.
Sekiranya anda tertanya-tanya, buah delima mengandungi antioksidan dan vitamin yang akan membantu mengurangkan tekanan, mengurangkan keradangan, dan juga mencegah kanser, arthritis, penyakit jantung serta banyak lagi manfaat lain.
Manfaat Buah Delima
Mempunyai kesan anti keradangan – Keradangan kronik adalah salah satu pemacu utama penyakit yang serius. Ini termasuklah penyakit jantung, kanser, diabetes jenis 2, penyakit Alzheimer dan juga obesiti. Delima mempunyai ciri anti-radang yang kuat, yang sebahagian besarnya diantarkan oleh sifat-sifat antioksida daripada punicalagin. Kajian-ujian tiub telah menunjukkan bahawa ia boleh mengurangkan aktiviti keradangan di saluran pencernaan, serta dalam kanser payudara dan sel-sel kanser kolon.
Membantu melawan kanser prostat – Kanser prostat adalah sejenis kanser yang biasa terjadi dalam kalangan lelaki. Kajian makmal menunjukkan bahawa ekstrak delima boleh memperlambat pembiakan sel kanser dan menyebabkan apoptosis, atau kematian sel, dalam sel-sel kanser.
Boleh mengurangkan tekanan darah – Tekanan darah tinggi (hipertensi) adalah salah satu pemacu utama serangan jantung dan strok. Dalam satu kajian, individu yang mengalami tekanan darah tinggi mempunyai pengurangan tekanan darah yang ketara selepas mengambil jus buah ini sebanyak lima auns (150 ml) setiap hari selama dua minggu.
Membantu melawan arthritis dan sakit sendi – Arthritis adalah masalah biasa di negara-negara Barat. Terdapat banyak jenis yang berbeza, tetapi kebanyakannya melibatkan beberapa bentuk keradangan pada sendi. Memandangkan sebatian tumbuhan pada buah delima mempunyai kesan anti-radang, ianya berkemungkinan boleh membantu merawat arthritis.
Memperbaiki memori manusia – Terdapat beberapa bukti bahawa buah ini boleh meningkatkan ingatan. Kajian dalam kalangan 28 individu dewasa yang lebih tua dengan masalah memori mendapati bahawa 8 auns (237 ml) jus buah delima setiap hari memperbaiki tanda-tanda memori lisan dan visual secara signifikan. Kajian pada tikus menunjukkan bahawa buah ini boleh membantu memerangi penyakit Alzheimer.
Baik untuk pencernaan – Jus buah ini boleh mengurangkan keradangan dalam usus dan memperbaiki pencernaan. Ia mungkin memberi manfaat kepada individu yang mempunyai penyakit Crohn, kolitis ulseratif, dan penyakit usus radang lain.
Walaubagaimanapun, sebelum anda mengikut cara ini, pastikan anda mendapat nasihat pakar terlebih dahulu kerana tidak semestinya yang baik untuk orang lain, baik untuk anda juga.
Selamat Beramal!
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel