![](https://www.islamituindah.info/wp-content/uploads/2019/04/surah-yasin2.jpg)
Pernah mendengar mengenai 7 mubin? Bagi mereka yang pernah, pasti juga mengetahui beberapa amalan dan rahsia yang boleh dilakukan dengan 7 mubin ini.
7 mubin sebenarnya merupakan 7 ayat yang berada di dalam Surah Yasin dan diakhirnya terdapat perkataan mubin yang bermaksud jelas atau nyata di dalam bahasa Arab.
Malah, apabila dilihat melalui hasil carian, ramai yang berkongsi hasil daripada mengamalkan 7 mubin dalam kehidupan mereka.
Antaranya ialah terjumpa kembali barang yang hilang, permintaan yang didoakan mudah untuk dikabulkan, anak-anak mendengar kata dan banyak lagi.
Malah, penulis teringat ketika hampir dengan musim peperiksaan, kami akan membacakan Surah Yasin secara berjemaah dan para ustaz dan ustazah mengingatkan kami untuk mendoakan di dalam hati agar dipermudahkan urusan menjawab soalan peperiksaan.
Namun, dari manakah asal usul ibadah ini dan apakah hukum bagi seseorang muslim mengamalkannya?
Menurut pandangan golongan ilmuwan, tiada dalil atau nas sahih mengenai amalan ini sama ada ia pernah dilakukan oleh Rasulullah mahupun para sahabat.
Walau bagaimanapun, ia mula dijadikan zikir dan doa sebagai salah satu usaha dalam setiap perkara yang ingin dilakukan oleh para ulama’ kerana maksud perkataan mubin, iaitu yang jelas nyata.
Ia juga dilakukan hanya sebagai kaedah zikir tetapi pergantungan dan pengharapan hanyalah kepada Allah semata-mata dan bukan kepada 7 mubin tersebut.
#1 – Ayat 12
إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُّبِينٍ
Mafhum: “Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tulskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catatkan satu persatu dalam kitab yang jelas nyata.”
![](https://www.islamituindah.info/wp-content/uploads/2018/11/maksud-surah-yasin-ayat-per-ayat.jpg)
#2 – Ayat 17
وَمَا عَلَيْنَا إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ
Mafhum: “Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata.”
#3 – Ayat 24
إِنِّي إِذًا لَّفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Mafhum: “Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.”
#4 – Ayat 47
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ أَنفِقُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّـهُ قَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنُطْعِمُ مَن لَّوْ يَشَاءُ اللَّـهُ أَطْعَمَهُ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Mafhum: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu,” berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): “Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata.”
#5 – Ayat 60
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Mafhum: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu.”
#6 – Ayat 69
وَمَا عَلَّمْنَاهُ الشِّعْرَ وَمَا يَنبَغِي لَهُ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُّبِينٌ
Mafhum: “(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain memberikan nasihat pengajaran dan kitab suci yang memberi penerangan.”
#7 – Ayat 77
أَوَلَمْ يَرَ الْإِنسَانُ أَنَّا خَلَقْنَاهُ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ
Mafhum: “Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati).”
Cara Mengamalkan 7 Mubin
Menurut pandangan golongan ilmuwan dan para ulama’, terdapat beberapa cara untuk mengamalkan 7 mubin ini, antaranya ialah:
#1 – Dibacakan Selepas Solat Hajat
Selepas melakukan solat sunat Hajat dua rakaat, boleh dibacakan ketujuh-tujuh ayat mubin ini dan diniatkan mengenai permohonan kita.
#2 – Dibaca Bersama Surah Yasin
Baca surah Yasin secara penuh dan apabila sampai pada setiap penghujung ayat mubin ini, diniatkan permohonan yang diinginkan.
Kesimpulan
Tidak salah untuk beramal dengan amalan yang baik selagi mana ia tidak menggugat keimanan dan menyebabkan akidah tersasar.
Wallahua’alam.
![Kambing Aqiqah Murah Indonesia](https://i.imgur.com/mIXcSv5.gif)
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel