BANGKOK: Thailand mengisytiharkan darurat bermula Khamis ini sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19.
Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha, berkata Kabinet hari ini bersetuju melaksanakan perintah darurat selama sebulan bermula Khamis ini.
Bagaimanapun, katanya, langkah pelaksanaannya hanya akan diumumkan kemudian.
“Kami berharap pengumuman ini tidak akan menjejaskan kehidupan seharian rakyat negara ini, memandangkan pelaksanaannya perlu bagi membendung penularan COVID-19. Kerajaan meletakkan keselamatan awam sebagai keutamaan kami.
“Bagaimanapun sekiranya situasi menjadi bertambah buruk, maka, terdapat kemungkinan berlakunya perintah berkurung,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Prayuth yang juga Menteri Pertahanan memberi jaminan kerajaan akan melakukan langkah pencegahan secara berperingkat bagi menangani pandemik itu.
“Kekal di mana anda berada dan jangan pulang ke daerah masing-masing,” katanya, selain menambah sekatan perjalanan akan dilakukan bagi menghalang penduduk dari pulang ke kampung.
Setakat ini, Thailand melaporkan sebanyak 827 kes dengan empat kematian. – BERNAMA
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel