
ROM: Itali melaporkan penurunan masuk hari kedua berturut-turut membabitkan kadar kematian dan jangkitan COVID-19.
Negara sekitar Mediterranean setakat ini memperlihat kematian harian membabitkan COVID-19 menurun daripada rekod dunia yang mencatatkan 793 orang terkorban pada Sabtu lalu dan terus merosot kepada 651 (Ahad) dan semalam, 601 kes.
Angka jangkitan baharu turut jatuh daripada 6,557 kes pada Sabtu kepada 4,789 yang direkodkan semalam.
Ketua Institut Kesihatan Kebangsaan Itali, Silvio Brusaferro lebih mengambil sikap berhati-hati berkaitan kadar penurunan semasa yang direkodkan.
Ketua Kesihatan Lombardy, Giulio Gallera, berkata penurunan ini satu petanda yang baik, tetapi ia tidak bermakna Itali akan bebas daripada ancaman COVID-19.
“Kami tidak boleh mengumumkan kemenangan buat masa ini, tetapi ia menunjukkan ada peluang untuk membasmi wabak ini,” katanya.
Semalam, Jerman mengumumkan meluluskan permohonan kerajaan Itali bagi menghantar beberapa pesakit COVID-19 ke hospital di negara itu, antaranya di Dresden dan Leipzig yang terletak di negeri Saxony.

Bahkan, Itali amat berharap perintah berkurung yang dijalankan pada ketika ini akan berhasil bagi membebaskan rakyatnya daripada wabak berkenaan.
Pada 8 Mac lalu, lebih 15 juta penduduk diletakkan di bawah perintah kuarantin di utara Itali, sebagai usaha membendung penularan wabak COVID-19.
Perdana Menteri, Giuseppe Conte minggu lalu memberitahu kemungkinan perintah berkurung di negara itu bakal dilanjutkan.
“Jika semua rakyat menghormati perintah berkurung ini, kita akan mampu berdepan dengan ujian yang sangat hebat ini,” kata Conte dalam satu kenyataan, semalam.
– AFP

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel