Mungkin ramai yang pernah mendengar mengenai pantang-larang tidak boleh mencampurkan antara makanan laut dan darat bersama-sama. Ikan jangan dimakan dengan daging. Ayam tak boleh dimakan dengan ikan dan seumpamanya lagi.
Larangan ini diterapkan daripada kecil hingga dewasa kerana dikatakan boleh memudaratkan badan dan sebagainya. Namun, persoalan mula timbul apabila ada yang bertanya,
Adakah terdapat hadith berkaitan larangan mencampur antara makanan laut dan darat?
Bagi mencari kebenarannya, kami memetik semula penjelasan terkini (2019) yang telah diberikan oleh Mufti Wilayah Persekutan untuk menjawab segala persoalan dan menghuraikan segala kekeliruan anda.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Perintah memakan daripada rezeki atau hasil yang halal lagi baik merupakan perintah daripada Allah SWT kepada orang-orang beriman dan juga kepada para rasul. Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat al-Quran yang menunjukkan akan tuntutan bagi setiap insan itu untuk memakan daripada hasil atau rezeki yang halal lagi baik. Ini kerana, makanan yang halal lagi baik itu merupakan salah satu faktor utama kemustajaban doa seseorang hamba itu. Antara firman Allah SWT yang menunjukkan akan tuntutan tersebut adalah:
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
al-Baqarah:172
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”
Menurut Imam al-Hafiz Ibn Kathir, ayat ini jelas menunjukkan perintah Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman agar memakan makanan yang baik (halal) daripada apa yang telah Allah SWT rezekikan kepada mereka. Selain itu, mereka juga perlu bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan tersebut jika benar mereka itu adalah hamba Allah SWT. Tambahan pula, memakan daripada apa yang halal merupakan sebab diterimanya doa dan ibadat sepertimana memakan daripada apa yang haram akan menghalang diterimanya doa dan ibadah. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 480/1]
Tiada larangan dari Al-Quran ataupun Hadith
Berdasarkan soalan di atas, setelah kami menekuni berkaitan isu ini maka kami katakan bahawa tiada larangan sama ada daripada al-Quran ataupun hadith Nabi SAW berkaitan mencampurkan makanan di antara makanan laut dan darat ketika makan.
Akan tetapi, jika ilmu sains membuktikan bahawa dengan mencampurkan antara makanan darat dan laut akan menyebabkan mudharat maka ia perlulah dijauhi.
Di samping itu juga, berkemungkinan amalan tidak mencampur di antara makanan darat dan laut adalah merupakan petua orang-orang tua terdahulu kerana adat orang-orang dahulu adalah dengan tidak mempelbagaikan laut pauk ketika menjamu selera.
Selain itu juga, kita perlulah meraikan adab-adab ketika makan seperti tidak berlebih-lebih dalam menjamu selera dan juga tidak berlaku sebarang pembaziran.
Sabda Nabi SAW:
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ. بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
Maksudnya: “Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya. Melainkan jika dia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.” [Riwayat al-Tirmizi (2380)][Hadith ini dinilai hasan sahih oleh Imam al-Tirmizi]
Penutup
Kesimpulannya, tidak terdapat ayat al-Quran ataupun hadith Nabi SAW melarang mencampurkan makanan laut dan darat ketika makan. Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam agama. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama agar dapat kita beramal dengannya serta sampaikannya kepada orang lain. Amin. Wallahua’lam.
Secara saintifik
Bagi memberikan penjelasan yang menyeluruh daripada sudut agama dan sains, perkongsian daripada TheDiagnosa ini mungkin boleh membantu anda mendapat gambaran yang sebenar.
Ada yang mengatakan bahawa makanan darat seperti ayam dan daging mengandungi ion positif. Manakala , dalam makanan laut seperti ikan dan udang mengandungi ion negatif. Kalau ikut teori sains pula kedua-dua ion ini akan menarik satu sama lain. Jadi, jika kita makan ayam bercampur ikan maka akan terjadi reaksi biokimia yang akan dapat merosakkan usus kita. Kesannya sakit perut dan juga akan menyebab perut kita buncit atau boroi.
Percampuran ion negatif dan positif
Perlu diketahui bahawa pencampuran ion negatif dan positif sebenarnya tidak menyebabkan apa-apa reaksi kimia ataupun merosakkan dinding usus. Sebab jika ion negatif dan positif bergabung ia kan meneutralkan satu sama lain.
Sebagai contoh larutan asid yang mengandungi ion hydrogen (H+) iaitu ion positif dan juga alkali yang mempunyai ion hidroksida(OH-) iaitu ion negatif apabila dicampurkan akan menjadi larutan garam yang neutral. Ia tidak akan merosakkan usus ataupun perut.
Kesimpulan
Kami merumuskan dua perkara berkenaan hal ini.
1. Tiada hadith yang melarang perbuatan mencampurkan makanan laut dan makanan darat.
2. Tiada kajian yang menunjukkan mencampurkan makanan laut dan darat akan memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Oleh itu, diminta masyarakat untuk tidak lagi mempercayai perkara mitos seperti ini.
Disamping itu, berpada-padalah ketika makan. Campur tu mungkin tak salah. Yang salahnya adalah apabila makan secara berlebih-lebihan. Yang itu confirm boleh dapat penyakit.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel