Masa di airport pagi tadi, saya terlihat seorang kakak bersama 2 orang anak kecil sewaktu mahu menunaikan solat Subuh. Dia kenal saya, dan berkata;
“Eh, ustaz Ebit Lew… Ya Allah jumpa ustaz pagi-pagi ni”
Saya bertegur sapa;
“Nak kemana ni?”
Dia menjawab;
“Saya balik ziarah nenek meninggal, suami kerja. Terpaksa balik juga dengan anak-anak.“
Spontan saya bertanya;
“Ya Allah, kesian puan. Puan dah solat subuh?”
Jawabnya;
“Belum lagi. Tak tahu nak solat macam mana. Takpe mari saya tengokkan anak puan ni. Pergilah solat dulu, dah agak lewat ni.”
Bermain dengan 2 orang anaknya. Teringat anak-anak saya di rumah. Rindunya pada anak. Rindu lagi mak kepada anak-anak iaitu bidadari saya.
Begitulah seorang isteri, ke sana sini, selalu bawa anak-anak. Ya Allah. Waktu solat pun tak tahu macam mana. Kalau nak masuk bilik air pun bawa jugalah.
Teringat saya pernah bawa anak saya 3 orang masuk tandas. Hihi saya berkata;
“Pusing sana jangan tengok”
Dengan 1 stroller ada baby. Ya Allah, dengan anak pula mengacau nak tengok, tak jadi nak lama-lama.
Bagi kita lelaki sekali sekala je jaga anak terbalik rumah, terbalik semua. Tapi bagi wanita menjadi biasa dah.
Masuk bilik air di airport atau pasaraya bawa anak-anak sekali. Air mata ini mengalir masa tulis ini, sebab saya faham kalau wanita tak senyum atau marah-marah. Perasaan mereka begitu kerana penat sangat.
Hanya Allah yang membalasnya. Hanya Allah yang membalasnya. Terima kasihbuat bidadari abang yang sentiasa gembira urus anak-anak.
Lepas kakak tadi keluar dia benar-benar ucap terima kasih. Saya kata kirim salam suami. Semoga bahagia hingga ke syurga dan Allah kurniakan anak yang soleh solehah.
Buat para suami bantulah isteri anda. Supaya mereka boleh solat dengan tenang. Bantulah isteri supaya mereka dapat sedikit ruang untuk keperluan asas mereka..
Ringan-ringankan ucap terima kasih apabila mereka seorang diri di mana-mana dengan anak-anak. Kita tidak tahu kesukaran apa yang mereka telah lalui.
Ucaplah setelah selesai solat;
“Ya Allah redalah atas isteriku. Aku redha padanya. Bahkan hambamu ini minta ampun terlalu banyak kekuranganku dalam menyayangi, mendidik, dan membantunya. Berilah bidadariku syurga Firdaus-Mu.”
Sampai rumah anak-anak saya berlari peluk saya kerana rindu. Bidadari saya mengulang-ngulang kerana rindu;
“Alhamdulillah, Alhamdulillah.”
Saya kata sayang nanti masuk syurga tinggi sebab begitu hebat uruskan rumahtangga. Doakan abang sekali ya masuk syurga juga.
Janganlah marah-marah isteri. Janganlah susahkan isteri. Sayangilah isteri. Bantulah isteri. Usap mereka. Peluk mereka lama-lama. Picit mereka.
Buat wanita di luar sana ingatlah, Allah Maha Baik kepada mereka yang baik. Tidak terbayang balasan menjadi seorang isteri yang solehah. Tiada tempat lain melainkan syurga buat wanita yang ikhlas dan baik.
Sumber: Tazkirah.net
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel