Pertunangan ialah suatu ikatan janji antara pasangan lelaki dan wanita yang ingin berkahwin. Ia adalah fasa terakhir untuk pasangan tersebut membuat persediaan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Manakala pembatalan pertunangan bermaksud keengganan berkahwin oleh salah satu pihak atau kedua-dua belah pihak setelah berlakunya ikatan pertunangan.
Hukum Putus Tunang
Apabila ada sahaja peristiwa putus tunang berlaku, banyak spekulasi yang timbul lebih-lebih jika ianya berlaku dalam kalangan selebriti dan berita tersebut mula tersebar dan diketahui umum.
Bagi individu yang terlibat pula, pasti bercampur baur perasaan yang dialami. Tidak dapat tidak rasa kecewa pasti ada setelah ikatan janji untuk hidup bersama terlerai begitu sahaja. Jika keputusan itu dipersetujui bersama, impaknya barangkali tidak setimpal dan seberat ikatan yang putus akibat kecurangan sebelah pihak sahaja. Apa pun sebabnya, adakah seseorang yang memutuskan ikatan tersebut dikira tidak menepati janji dan dinilai fasik?
Pertama sekali, apa yang perlu diketahui ialah – pertunangan adalah satu bentuk ikatan janji yang dipanggil wa’d gayr mulzim. Ia bermaksud janji yang tidak semestinya disempurnakan dan tidak mengikat. Dalam erti kata lain, ia memang satu perjanjian untuk berkahwin tetapi ia bukan suatu aqad (kontrak yang mengikat) yang mewajibkan pernikahan.
Kedua-dua pihak masih mempunyai hak untuk membatalkan pertunangan, sama seperti hak yang ada untuk memutuskan hubungan setelah berada dalam ikatan pernikahan. Justeru, jumhur ulama berpendapat bahawa hukum memutuskan ikatan pertunangan adalah harus.
Sekalipun, ruang dan hak diberikan namun Islam juga menitik beratkan tuntutan memenuhi janji. Pembatalan pertunangan sudah pasti akan menyakiti hati pasangan sedangkan dalam Islam, seseorang itu dilarang untuk menyakiti saudaranya yang lain sama ada dari sudut fizikal atau emosi.
Hukum Menuntut Semula Hadiah Pertunangan
Umumnya di Malaysia, sudah menjadi adat kebiasaan majlis keraian diadakan sebagai simbolik termeterainya ikatan pertunangan. Ada pula yang saling bertukar hantaran seperti pakaian, makanan dan juga cincin. Amalan ini adalah adat yang tidak salah dilakukan bagi mengeratkan lagi hubungan antara keluarga kedua belah pihak.
Persoalan yang akan timbul setelah ikatan pertunangan terputus, adakah barang pemberian ini perlu dipulangkan semula?
Ayuh kita teliti pandangan para ulama.
Pendapat Pertama
Mazhab Hanafi dan Zahiri berpendapat harus hukumnya menarik balik pemberian hadiah hantaran pertunangan. Sekiranya hadiah pertunangan yang diberi masih kekal dan wujud (contohnya cincin) maka wajib dipulangkan hadiah tersebut jika dituntut. Namun jika hadiah tersebut telah rosak, habis digunakan atau tidak lagi wujud, maka tidak perlu dipulangkan lagi hadiah tersebut.
Pendapat Kedua
Bagi Mazhab Maliki dan Hanafi pula, tiada pihak yang berhak menarik balik hadiah tersebut sama ada masih wujud atau telah habis. Ulama bagi mazhab ini berpendapat, pemberian hadiah adalah suatu hibah (hadiah) dan apabila hibah tersebut telah diterima, ia tidak boleh lagi dituntut semula.
Pendapat Ketiga
Sedangkan bagi Mazhab Syafie dan Hanbali, pihak lelaki tidak berhak menuntut sama sekali hadiah yang telah diberi. Ini kerana, hadiah adalah suatu pemberian yang sepatutnya tidak ditarik balik, kecuali hadiah yang diberikan oleh seorang bapa kepada anaknya.
Ibnu ‘Umar meriwayatkan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh seseorang yang telah memberikan sesuatu lalu meminta kembali barangnya kecuali ayah terhadap anaknya.”
Pendapat Keempat
Ulama Mazhab Maliki mengharuskan tindakan menuntut semula hadiah pertunangan, dengan membahagikan kepada dua keadaan.
Pertama, jika ikatan pertunangan tersebut diputuskan oleh pihak perempuan, maka perlu memulangkan semula hadiah kepada pihak lelaki. Kedua, jika pertunangan tersebut diputuskan oleh pihak lelaki, maka pemberian daripada pihak lelaki menjadi milik mutlak pihak perempuan.
Pendapat keempat ini disandarkan kepada sebuah hadis iaitu:
“Barangsiapa memberikan hadiah, maka dia masih tetap lebih berhak terhadap barangannya selama sebelum mendapat kepulangannya”
Hadis di atas mengkategorikan pemberian hadiah kepada dua jenis:
1. Pemberian tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
2. Pemberian dengan tujuan mengharapkan sesuatu.
Dalam konteks pertunangan, semua pemberian semasa pertunangan boleh dikategorikan sebagai hadiah dengan tujuan untuk mendapatkan pulangan sesuatu iaitu perkahwinan. Oleh itu, pemberian boleh dituntut semula.
Walau bagaimanapun Mazhab Maliki juga menekankan supaya melihat semula kepada adat yang diamalkan oleh masyarakat setempat.
Bagaimana Pula Dengan Tuntutan Ganti Rugi Mengikut Amalan Mahkamah Syariah
Menurut Undang-Undang Keluarga Islam Malaysia (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Akta 303, Seksyen 15: Pertunangan – menetapkan bahawa pihak yang memutuskan ikatan pertunangan bertanggungjawab:
1. Memulangkan semula pemberian-pemberian pertunangan jika ada.
2. Memulangkan nilainya.
3. Membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan untuk persediaan perkahwinan.
Pembayaran ganti rugi ini dihadkan kepada ganti rugi kebendaan sahaja yang berkait dengan persediaan perkahwinan.
Kesimpulan
Sebaiknya setelah ikatan pertunangan diputuskan, kedua-dua belah pihak perlu berbincang dengan baik tentang tuntutan atau pemulangan hadiah yang telah diberikan. Jika pada awalnya, sesuatu hubungan tersebut dimulakan dengan niat yang baik dan cara yang terhormat, maka ia juga perlu diakhiri dengan baik.
Sumber:
Jurnal bertajuk ‘Ganti Rugi Akibat Pembatalan Pertunangan: Menurut Fiqh Serta Amalannya Di Mahkamah Syariah’ oleh Dr. Miszairi Sitiris & Nurul Arifah Mohamad
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel