Soalan
Asalamualaikum ustaz. Boleh tak ustaz jelaskan adakah terdapat zikir yang berbunyi هو sebab setahu saya kalimah هو bermaksud dia. Harap mendapat penjelasan dari ustaz?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi. Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya. (Lihat Al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245)
Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT. (Lihat Al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20) Ibn ‘Allan pula menyimpulkannya sebagai apa yang kita ibadahkan berdasarkan lafaz-lafaz yang ditentukan oleh pembuat syariat (Allah SWT) bertujuan bagi mengagungkan Allah SWT dan memuji-muji-Nya. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah Syarh al-Azkar al-Nawawiyyah, 1/396)
Ini bermakna, zikir pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama. Bahkan ayat-ayat al-Qur’an banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT. Ada antara perintah tersebut berbentuk wajib seperti berzikir mengingati Allah SWT melalui solat lima waktu sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Toha ayat 14,
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku”.
Manakala ayat-ayat yang menyebut tentang perintah berzikir tanpa menyebut bentuk ibadah tertentu adalah tersangat banyak. Cukup dinyatakan di sini ayat 41 dalam surah al-Ahzab yang memerintahkan kita supaya memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT secara umum. Allah SWT berfirman dalam ayat tersebut:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا (41) وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya”.
Dengan itu, tidak diragukan lagi kepentingan berzikir kepada Allah SWT. Sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq. Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada Allah SWT disebut sebagai tasawuf. Kerana itu Imam Malik pernah mengatakan bahawa, barang siapa yang berfekah tanpa bertasawuf maka dia telah menjadi fasiq. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 1/478)
Oleh yang demikian, soal kepentingan berzikir tidak perlu dibahaskan lagi kerana ia tidak menjadi isu. Apa yang menjadi persoalan adalah berkisar perkara yang dizikirkan, bagaimana ia dipersembahkan dan iktikad di sebalik pengamalan sesuatu zikir. Ini kerana, tidak mustahil sesuatu zikir itu boleh berubah daripada amalan terpuji kepada tercela jika ia tidak mempedulikan garis panduan yang ditentukan oleh syarak.
Menurut kajian Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tidak kurang juga kesesatan yang berpunca daripada masalah berzikir. Ada yang berpunca daripada kalimah atau ungkapan zikir yang tidak difahami makna seperti berzikir dengan kalimah “ah..ah..ah” atas sangkaan kononnya ia termasuk dalam zikir zat sebagaimana yang diamalkan oleh pengikut ajaran Hakikat Insan bawaan Ahmad Laksamana. (Lihat Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa, hlm. 40)
Begitu juga memasukkan ungkapan-ungkapan berunsur syirik seperti memohon pertolongan dengan rijal al-ghaib (orang-orang ghaib) dengan menggunakan kalimah “aghithuuna min ajlillah ya hu” (bantulah kami kerana Allah wahai dia) seperti mana yang terdapat dalam Aurad Muhammadiyah pegangan kumpulan al-Arqam yang telah diharamkan. (Lihat Kompilasi Muzakarah MKI 2016, hlm. 4)
Dalam hal berzikir dengan lafaz “hu”, tidak dinafikan bahawa sebahagian ulama tasawuf mengatakan ia merupakan salah satu bentuk lafaz zikir yang disyariatkan. Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali mengatakan zikir dengan kalimah tauhid itu terbahagi kepada tiga jenis mengikut martabat atau maqam masing-masing. Pertama, zikir dengan nafi dan ithbat iaitu, “La ilaha illah”. Kemudian nafi tanpa ithbat iaitu zikir dengan nama, “Allah”. Seterusnya isyarat dengan dhamir atau kata ganti nama, “hu”. Yang pertama bertujuan untuk memberi kesedaran dan keluar daripada kelalaian. Kedua untuk memperkukuhkan kehadiran dan ketiga sebagai sebab untuk keluar daripada apa yang selain-Nya. (Lihat Al-Burhan ‘ala Manzilah al-Ihsan, hlm. 77)
Oleh yang demikian, kami amat menghormati ulama tasawuf yang rabbani lagi alim dengan ilmu yang mungkin mengamalkan beberapa zikir seperti yang ditanya dengan maksud hakiki adalah kembali kepada Allah SWT, bukan hanya kepada dhamir yang memberikan maksud “dia” kerana sesiapa pun boleh menjadi “dia” termasuk makhluk yang lain. Ini kerana “hu” termasuk dalam dhamir ghaib. Justeru amat perlu menerima zikir sebegini daripada tokoh yang benar-benar memahami ilmu tauhid seperti yang dikatakan oleh Junaid al-Baghdadi.
Kesimpulannya, berzikir dengan menggunakan dhamir atau kata ganti nama seperti “hu” adalah HARUS jika ia benar-benar jelas merujuk kepada Allah SWT dengan bimbingan guru yang alim lagi rabbani. Walau bagaimanapun, apa yang terbaik dalam berzikir dan beribadah kepada Allah SWT adalah kembali kepada jalan yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Semakin hampir cara amalan kita dengan Rasulullah SAW, semakin berkurangan risiko untuk kita melakukan kesilapan dan kesalahan dalam beramal. Akhirnya, kami mengesyorkan agar kita merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar dalam mengamalkan zikir dan wirid seperti kitab al-Azkar karangan Imam al-Nawawi, al-Ma’thurat karangan al-Syahid Hasan al-Banna dan Azkar al-Yawm wa al-Lailah karangan Mustafa al-‘Adwi. Semoga dengan mengamalkan zikir-zikir yang muktabar, amalan kita akan diterima oleh Allah SWT tanpa ragu lagi. Wallahua’lam.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel