≡ Menu

Benarkah Tanaman Yang Ditanam Dikuburan Mengurangkan Siksaan Si Mati?


Soal kematian, seksa kubur dan alam barzakh adalah perkara-perkara yang sangat dekat dengan umat Islam. Segala proses pengurusan jenazah seperti memandikan, mengkafankan, menyolatkan, serta menguburkan jenazah pula dilakukan dengan sebaiknya sebagai penghormatan terakhir.

Antara perbuatan yang menjadi amalan sesetengah orang dalam proses menguburkan jenazah ialah menyiram dengan air mawar, meletakkan bunga-bungaan dan juga menanam tumbuhan di atas kubur.

Perlukah Menyiram Air Mawar Di Atas Kubur
Berdasarkan daripada catatan di laman web Mufti Wilayah Persekutuan, yang dipetik daripada Kitab I’anah al-Talibin, menyebutkan bahawa perbuatan menyiram (menjirus) air di atas kubur adalah suatu perbuatan yang disunnahkan.

Hal ini kerana ia juga dilakukan oleh Nabi SAW saat menguburkan anak baginda yang bernama Ibrahim serta dilakukan juga pada kubur Saad bin Muaz.

Namun, yang menjadi sunnah hanyalah jika menyiram dengan menggunakan air biasa dan bukannya air mawar.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Perlukah Menanam Tumbuhan Di Atas Kubur
Antara perkara lain yang banyak juga dilakukan oleh orang Islam terutama di Malaysia adalah menanam tumbuhan di atas kubur. Sesetengah orang mendakwa bahawa perbuatan ini dapat membantu jenazah kerana tumbuhan akan berzikir dan seksa kubur juga dapat diringankan.

Adakah perbuatan ini mempunyai sandaran kepada perbuatan Nabi SAW?

Terdapat satu hadis daripada Nabi SAW yang mengandungi kisah yang berkaitan.

Rasulullah SAW pernah melewati dua buah kubur bersama para sahabat, lalu baginda berkata kepada mereka:

“Sungguh keduanya sedang diseksa. Mereka diseksa bukan kerana perkara besar (dalam pandangan keduanya). Salah satu dari dua orang ini, (semasa hidupnya) tidak menjaga diri dari kencing. Sedangkan yang satunya lagi, dia menyebarkan namiimah.”

Rasulullah SAW diberi kelebihan daripada Allah dapat mengetahui apa yang terjadi ke atas kedua-dua jenazah di dalam kubur tersebut.

BACA:  Perlukah Sujud Sahwi Jika Imam Meninggalkannya?

Kemudian baginda mengambil pelepah kurma yang basah, membelahnya menjadi dua dan menusukkan ke atas kedua-dua kubur tersebut.

Para sahabat lantas bertanya, “Wahai, Rasulullah. Mengapa Rasul melakukan ini?”

Baginda menjawab, “Semoga mereka diringankan seksaannya, selama keduanya belum kering.”

Kemungkinannya, daripada hadis ini lah perbuatan menanam tumbuhan di atas kubur menjadi amalan sehingga sekarang.

Walau bagaimanapun, terdapat perbahasan dalam kalangan ulama berkenaan tafsiran perbuatan Nabi SAW dalam hadis ini.

Pemahaman Yang Keliru Tentang Perbuatan Nabi Menusukkan Pelepah Tamar Ke Atas Kubur
Sebelum menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan kekeliruan yang ada berkenaan perbuatan Nabi SAW menusukkan pelepah tamar ke atas kubur, ada dua persoalan yang boleh digariskan.

Pertama, adakah pohon yang basah sahaja boleh berzikir kepada Allah?
Kedua, adakah perbuatan menanam tumbuhan di atas kubur itu sunnah?

Berdasarkan maksud yang umum mengenai hadis di atas, ada yang berpendapat bahawa ianya adalah perbuatan yang digalakkan kerana Nabi sendiri yang melakukannya.

Namun pandangan yang lebih tepat oleh para ulama’ ialah perbuatan tersebut hanya dikhususkan kepada Nabi SAW sendiri. Yang menyebabkan seksa kubur diringankan bukanlah pohon basah yang berzikir kepada Allah, kerana hakikatnya jika dalam keadaan kering pun ia masih tetap berzikir.

Malah bukan pohon itu sahaja, termasuk juga batuan, tanah dan alam sekeliling. Malah ia berbeza dengan firman Allah SWT yang menyatakan bahawa semua yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepadaNya.

“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”(Surah Al-Isra’ 17:44)

BACA:  Awas 2 Penyakit Berangkai Jika Anda Menghidapi Darah Tinggi!

Pendapat yang lebih dekat dengan kebenaran adalah – perbuatan menusukkan pelepah tamar di atas kubur itu hanya dikhususkan kepada Rasulullah SAW sahaja. Baginda juga tidak melakukannya kepada semua kubur.

Seksa kubur yang menjadi ringan pula adalah disebabkan mustajab doa yang dipohon oleh Nabi SAW sendiri, dan keadaan basah pelepah tamar yang ditusuk di atas kubur adalah suatu tempoh masa keringanan seksa kubur yang dipohonkan oleh Rasulullah SAW kepada Allah.

Antara jalan periwayatan lain tentang hadis di atas dapat dilihat daripada riwayat Jabir R.anhu yang terdapat dalam Sahih Muslim rahimahullah, Rasulullah SAW bersabda:

أنى مررت بقبرين يعذبان فأ حببت بشفاعتى أن يرد عنهما ما دام الغصنان رطبين

Sesungguhnya aku melewati dua kuburan yang sedang diseksa. Maka dengan syafa’atku, aku ingin agar azabnya diringankan daripada keduanya, selama dua ranting ini masih basah.

Malah Imam Al Albani rahimahullah merumuskan dalam Kitab Ahkamul Janaiz bahawa – jika para sahabat dan orang-orang soleh yang mendengar dan memahami perbuatan Nabi SAW tersebut sebagai suatu anjuran dan sunnah, maka pasti mereka telah meletakkan pelepah tamar atau tumbuhan di atas kubur, dan sudah tentu berita itu telah masyhur, seterusnya dituliskan oleh para perawi. Namun tidak ada perkara sebegitu yang terjadi.

Perbanyakkanlah zikir dan juga doa sejak hidup lagi supaya perjalanan kita di alam barzakh dipermudahkan oleh Allah dan mudah-mudahan dijauhkan daripada seksa kubur. Adapun bagi saudara-saudara kita yang telah meninggal dunia, pohonkanlah doa buat mereka agar diampunkan dosa-dosa serta lakukanlah amal baik seperti sedekah bagi pihak mereka. Wallahua’lam.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel