≡ Menu

Benarkah Ganjaran Syurga Jika Mengislamkan Orang? Baca Penjelasan Ini


Tidak lama sebelum ini kita mendengar berita bahawa seorang Vlogger atau Youtuber daripada Korea, Jay Kim atau nama Islamnya Daud Kim telah memeluk Islam. Alhamdulillah dan tahniah diucapkan. Beliau sebelum ini banyak menghasilkan video yang bercerita tentang gaya hidup dan kepercayaan seorang Muslim.

Saban hari pasti ada saudara kita yang memeluk Islam sama ada menerusi usaha diri sendiri, atas asbab usaha gigih para pendakwah persendirian atau organisasi-organisasi yang berusaha menyampaikan mesej Islam yang telus kepada orang ramai.

Pastinya ganjaran besar disediakan bagi orang yang berjaya menyeru orang lain kepada Islam. Mungkin ada juga antara kita yang mendengar bahawa orang yang berjaya mengislamkan orang lain akan mendapat ganjaran syurga.

Ia disandarkan kepada hadis yang tersebar luas, yang dikatakan daripada Uqbah bin ‘Amir, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

مَنْ أَسْلَمَ عَلَى يَدَيْهِ رَجْلٌ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Maksudnya: “Barangsiapa yang tangannya mengislamkan seseorang maka wajib baginya untuk mendapat syurga.”

Namun apabila diteliti, hadis ini dinilai tidak kuat oleh ilmuwan hadis. Contohnya Imam Al-Zahabi menghukum riwayat ini sebagai terlalu munkar. Imam Ibn Al-Jauzi pula mengatakan hadis ini palsu, begitu juga pendapat Imam Al-Suyuthi.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga menyimpulkan bahawa hadis ini tidak mempunyai asal-usul dan dikira maudhu. Hal ini disebabkan adanya perawi yang dikira kazzab (pendusta) oleh tokoh besar hadis seperti Yahya bin Ma’in dan Al-Daraquthni.

Ganjaran Bagi Mereka Yang Menyeru Orang Ke Arah Kebaikan

Sekalipun hadis tentang ganjaran syurga buat mereka yang berjaya mengislamkan seseorang di atas tidak benar, namun masih ada banyak ganjaran yang disediakan buat mereka yang gigih menyebarkan kebaikan dan mengajak orang kepada Islam.

BACA:  TANDA-TANDA KEMATIAN BAGI ORANG ISLAM.. SEBARKAN!!!

Antara hadis yang menyebutkan tentang manfaat tersebut seperti:

#1- Mendapat Ganjaran Lebih Baik Daripada Unta Merah

Daripada Sahl bin Sa’ad, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ

Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).” (Riwayat al-Bukhari, no. 2942)

Unta merah dijadikan perumpamaan di sini kerana itulah harta yang paling berharga bagi orang Arab ketika itu. Jika sekarang, mungkin ia boleh dibandingkan dengan kenderaan seperti Lamborghini, Trevita atau Ferrari atau harta lain yang seumpama dengannya.

#2- Mendapat Pahala Sama Seperti Orang Yang Melakukannya

Nabi SAW berkata bahawa sesiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan dan orang tersebut mengikutnya, maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya.

Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran sepertimana ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjaran mereka (yang melakukan).” (Riwayat Muslim, no.2674)

#3- Dicintai Oleh Allah

Ketahuilah cara untuk berdakwah bukan hanya dengan bercakap tentang hal-hal keagamaan atau ibadah sahaja. Allah berkata bahawa orang yang memberi manfaat kepada orang lain juga sangat dicintai oleh Allah.

BACA:  10 Amalan Isteri Yang Menjadi Kunci Pembuka Pintu Rezeki Suami.

Ini kerana mereka membantu dan menghilangkan kesusahan orang lain seperti membayarkan hutang, menghilangkan rasa lapar dan lain-lain.

Jika keperluan asas hidup ini sudah tidak menjadi fokus dan kerisauan orang-orang ini, maka mereka akan lebih mudah untuk berfikir tentang hal lain seperti ibadah dan juga hal-hal berkaitan agama yang lain.

“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan dari orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk sebuah keperluan lebih aku cintai daripada beri’tikaf di masjid ini -masjid Nabawi- selama sebulan penuh.” (HR Thabrani – Dinilai hasan oleh Syeikh Al-Albani)

Kesimpulan

Sebagai seorang Muslim, kita memang menginginkan saudara seislam yang ramai. Kita mahukan kebaikan dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah juga diperoleh oleh mereka.

Walaubagaimanapun, usaha yang perlu diutamakan adalah menyebarkan mesej Islam yang benar dan membetulkan pemahaman yang salah yang banyak tersebar sekarang. Adapun keinginan dan kemahuan seseorang untuk masuk Islam pula bergantung kepada kerelaan diri mereka sendiri berserta hidayah yang dicampakkan ke dalam hati mereka oleh Allah.

Sesungguhnya Allah sendiri pernah mengingatkan Nabi SAW tentang bapa saudaranya Abu Talib yang meninggal dunia tanpa memeluk Islam – bahawa Allah lah yang sebenarnya memberi hidayah kepada seseorang manusia dan bukan kita. Ayuh kita doakan kebaikan untuk semua.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel