
GAZA: Tentera rejim Zionis telah menembak mati empat warga Palestin dan mencederakan 150 orang lagi dalam pertempuran tunjuk perasaan susulan keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Kebanyakan yang terkorban berada di sempadan Gaza, di mana beribu penduduk Palestin berkumpul untuk mengecam sambil melemparkan batu kepada tentera Israel dari luar tembok.
Menurut pasukan perubatan, antara mereka yang terbunuh dalam protes yang memasuki minggu kedua itu, termasuk seorang penduduk berkerusi roda. Tiga terkorban dalam pertempuran dengan tentera, manakala seorang lagi ditembak mati selepas dikatakan menikam seorang pegawai polis Israel.
Keputusan mengejutkan yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membangkitkan reaksi berbaur emosi dan kemarahan masyarakat dunia. Pelbagai bantahan, tunjuk perasaan serta bantahan dilaungkan di seluruh dunia bagi membantah keputusan itu.
Sebelum ini, dua warga Palestin telah terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Zionis sementara dua pejuang Hamas turut terkorban dalam serangan udara di Semenanjung Gaza.
Sumber: Astro Awani
Israel terus lancar serangan udara terhadap Gaza

BANDAR GAZA, Wilayah Palestin –Israel melancarkan satu siri serangan udara ke atas kumpulan Hamas di Gaza petang semalam, kata pihak tentera dalam tempoh beberapa jam selepas sejumlah roket dilancarkan ke penempatan Zionis itu dari wilayah Palestin.
Tentera Israel dalam satu kenyataan menyatakan mereka menyerang tiga fasiliti ketenteraan milik pejuang Hamas di lokasi berbeza di Semenanjung Gaza.
“Fasiliti ketenteraan itu digunakan untuk latihan dan gudang simpanan senjata.
“Tindakan itu adalah respons kepada pelancaran roket ke arah kawasan Israel dari Semenanjung Gaza awal petang hari ini (semalam),” menurut kenyataan itu.
Satu sumber keselamatan Palestin menyatakan terdapat lebih 10 serangan ke atas lokasi sasaran termasuk sebuah tapak tentera laut Hamas dan pangkalan tentera berhampiran kem pelarian Shati di utara Gaza.
Sumber sama mengesahkan berlaku kerosakan di tapak-tapak berkenaan termasuk kerosakan kecil rumah-rumah penduduk berdekatan serta menyebabkan kecederaan ringan terhadap penghuninya.
Setakat ini, tiada maklumat pengesahan mengenai kecederaan daripada Kementerian Kesihatan di Gaza.
Serangan berlaku dalam tempoh beberapa jam selepas sistem pertahanan misil Israel memintas dan memusnahkan dua roket yang dilancarkan dari Gaza.
Pihak tentera Israel juga mengumumkan penutupan laluan penghantaran barangan keperluan utama antara Gaza dan Israel sejak semalam disebabkan ‘soal keselamatan yang selari dengan penilaian sekuriti’.
Setakat ini, empat penduduk Gaza terbunuh dalam dua pertempuran di sepanjang kawasan sempadan, manakala dua pejuang Hamas terkorban dalam serangan udara Israel. – AFP

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel