≡ Menu

Bagaimana Cara Anda Mendirikan Solat Jamak Dan Qasar


Saya seringkali ditanya berkenaan solat jamak dan qasar. Lebih-lebih lagi, ketika berada dalam perjalanan yang jauh dan ambil masa yang lama. Tidak kira sama ada orang luar mahupun ahli keluarga sendiri, ternyata ramai yang masih belum dapat membezakan antara keduanya.

Berikut adalah beberapa persoalan yang sentiasa diutarakan mengenai solat jamak dan qasar, antaranya;

#1 – Apakah Maksud Jamak Dan Qasar?

Jamak ialah menghimpunkan dua solat fardhu dalam satu waktu solat. Solat yang boleh dijamakkan ialah solat Zohor dengan Asar, dan solat Maghrib dengan Isyak.

Qasar pula ialah memendekkan bilangan rakaat dalam solat fardhu dan hanya solat fardhu empat rakaat sahaja yang boleh diqasarkan, iaitu Zohor, Asar, Isya’. Manakala solat fardhu Maghrib tidak boleh diqasar dan tetap dilakukan tiga rakaat.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

#2 – Ada Yang Kata, Kita Boleh Pilih Untuk Jamak Di Awal Atau Akhir Waktu. Benarkah?

Benar. Terdapat dua kaedah untuk melaksanakan solat jamak, iaitu jamak ta’dim (awal) dan jamak ta’khir (akhir). Secara ringkasnya, kita boleh memilih untuk awalkan solat yang mana satu.

Contoh jamak ta’dim – Solat Zohor dijamakkan dengan Asar (tunaikan pada waktu Zohor, mulakan dengan solat Zohor dulu, kemudian Asar). Manakala solat Maghrib dijamak dengan Isyak (tunaikan pada waktu Maghrib, mulakan dengan solat Maghrib dulu, kemudian Isyak).

BACA:  Doa Pelindung Menghadapi Koronavirus. Usaha Sudah, Tawakkal Kena Seiring

Contoh jamak ta’khir – Solat Zohor dijamakkan dengan Asar (tunaikan pada waktu Asar). Manakala solat Maghrib dijamak dengan Isyak (tunaikan pada waktu Isyak). Dengan syarat, niat dalam hati pada waktu pertama untuk tangguhkan solatnya hingga ke waktu solat kedua.

#3 – Bagaimana Niat Solat Jamak Dan Qasar?

Tahukah anda, niat itu adalah lintasan hati. Oleh itu, niat di hati dalam Bahasa Melayu juga tidak mengapa.

Contoh, niat jamak ta’dim dan qasar (solat Zohor dan Asar), “Sahaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar dan di jamakkan dengan Asar kerana Allah taala.”

Selepas selesai solat zohor tersebut, bangun sekali lagi dan niat untuk solat Asar, “Sahaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar kerana Allah taala.”

*niat solat jamak dan qasar bergantung kepada pilihan anda.

#4 – Apakah Perkara Atau Sebab Yang Membolehkan Seseorang Untuk Solat Jamak Dan Qasar?

Bagi solat qasar, harus dilakukan bagi mereka yang bermusafir dengan jarak 2 marhalah (kira-kira 89 km atau lebih).

Bagi solat jamak, harus dilakukan bagi seorang musafir, mereka yang terdapat halangan atau keuzuran seperti sakit, melaksanakan suatu pekerjaan yang tidak boleh ditangguhkan seperti doktor yang menjalankan pembedahan.

BACA:  ''Cikgu, Otak Saya 'Blank', Boleh Tak Saya Nak Solat Kejap,'' Permintaan Calon SPM Ini Sentuh Hati Gurunya

#5 – Bolehkah Seseorang Musafir Itu Hanya Mengqasarkan Solat Tetapi Tidak Menjamakkannya?

Ya, boleh. Seorang musafir mempunyai 3 pilihan iaitu;

– Jamak dengan qasar sekali.
– Jamak sahaja tanpa qasar.
– Qasar sahaja tanpa jamak.

#6 – Apakah Hukum Solat Qasar?

Hukum melaksanakan solat qasar ketika bermusafir adalah sunat mua’kkad (digalakkan) berdasarkan hadis Nabi s.a.w diriwayatkan oleh Ibnu Umar;

“Aku menemani Rasulullah di dalam perjalanan, maka Baginda tidak pernah menambah lebih dari dua rakaat (bagi solat fardhu empat rakaat), begitu juga Khalifah Abu Bakar, Umar dan Uthman.”
Hadis Riwayat Bukhari.

#7 – Bolehkah Kita Menjamak (menghimpunkan) Kesemua Solat Fardhu Dalam Satu Waktu?

Tidak boleh. Hanya dua solat fardhu sahaja dibenarkan untuk dijamakkan.

Demikianlah beberapa persoalan mengenai solat jamak dan qasar, yang sering kita lupa. Sungguh, Allah s.w.t memberikan keringanan buat hamba-hamba-Nya dalam beribadah. Oleh itu, tiadalah alasan untuk kita meninggalkan solat walau dalam keadaan apa sekalipun.

Semoga perkongsian ini memberi sedikit pencerahan. Untuk lebih lanjut berkenaan hal ini, adalah baiknya rujuk pada mana-mana kitab atau ustaz/ustazah supaya lebih jelas. Wallahua’lam.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel