KEINGINAN supaya kelihatan cantik memang menjadi fitrah manusia tetapi umat Islam perlu sentiasa mendahulukan syariat agama, sekali gus memastikan tindakan yang diambil tidak mengakibatkan dosa tanpa disedari.
Bagi wanita, banyak perkara yang perlu dilihat semula yang bermula niat sebenar bersolek, bahan yang digunakan untuk tatarias khususnya sama ada ia boleh dibawa dalam ibadat.
Apatah lagi dengan lambakan alat solek di pasaran yang turut mempromosi sebagai produk ‘mesra wuduk’, ‘mesra solat’ atau ‘mesra ibadat’, wanita Muslimah perlu meneliti kandungan sebenar produk berkenaan bertepatan dengan prinsip ‘halalan toyiban’, iaitu halal dan baik.
Ia bermakna, kandungannya daripada bahan mentah bukan saja tidak diragui, bahkan ia juga diproses dengan mengambil kira tiga aspek penting, iaitu suci, bersih dan dalam keadaan yang baik.
Perkara itu perlu diberi perhatian kerana ramai Muslimah khususnya yang berkerjaya gemar mengenakan alat solek tetapi kurang mengambil pusing status halal, kebersihan serta kesuciannya.
Utamakan hal ibadat
Pendakwah, Nor Azian Man, berkata kesucian dan kebersihan menjadi keutamaan dalam Islam sehingga untuk menunaikan solat fardu, kita digalakkan mengambil wuduk yang baharu.
“Allah SWT menyukai orang yang sentiasa menyucikan diri, bukan saja bersih dalaman, iaitu kesucian hati bahkan kebersihan luaran.
“Oleh itu, walaupun kita masih ada wuduk, syariat menggalakkan mengambil wuduk apabila mahu menunaikan solat kerana banyak hikmahnya.
“Ia termasuk supaya badan kita lebih segar dan bersih kerana Allah SWT serta malaikat tidak menggemari sesuatu yang dalam keadaan kekotoran,” katanya.
Justeru dalam bab solekan katanya, golongan Muslimah perlu memastikan ia tidak menyukarkan ibadat, apatah lagi mengundang dosa kepada si pemakai.
Perbetulkan niat
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat serta taatlah Allah dan Rasul-Nya.” (Al-Ahzab: 33)
Menurut Nor Azian, ulama menghuraikan ayat itu dengan merujuk kepada wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna dan sengaja ingin menunjuk-nunjuk kepada kaum lelaki.
“Dua perkara ini mengandungi unsur menyebabkan pemakaian kita menjadi haram, bahkan Nabi Muhammad SAW menyebut golongan seperti itu akan menjadi penghuni neraka dan tidak mencium bau syurga.
“Jadi dalam konteks solekan, pertama, janganlah ia terlalu melampau sehingga mendapat perhatian ramai.
“Kedua, betulkan niat masing-masing, iaitu bersolek bukan untuk mendapat perhatian lelaki, sebaliknya alasan yang dibolehkan adalah seperti ingin menjaga keaiban muka, menutup cela atau melindungi kulit muka bermasalah,” katanya.
Nor Azian turut menegur sesetengah wanita yang mengenakan alat solek untuk kelihatan hebat dan berniat menunjuk-nunjuk.
“Jika boleh betulkanlah tujuan kita mengenakan solekan, ia dibolehkan sekiranya dipakai pada tempat diharuskan, iaitu isteri berhias untuk suaminya, manakala wanita bekerjaya pula mengenakannya di pejabat supaya tidak nampak pucat, selain berkeyakinan untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling.
“Janganlah pula kerana terlalu menjaga solekan, malas membasuh muka hingga ada yang solat pada hujung waktu dan memberi alasan untuk qada solat kemudian.
“Ada pula yang beralasan meninggalkan solat kerana tidak mahu membazir alat solek. Biarlah kita rugi wang di dunia, asal jangan ditimpa azab-Nya kemudian,” katanya.
Kenal pasti kandungan
Nor Azian berkata, mengenakan alat solek adalah perkara yang dihalalkan dalam Islam, manakala hukumnya harus.
Bagaimanapun, ia perlu diteliti terutama kesesuaiannya untuk dipakai mengikut situasi, keadaan dan tempat, selain mengambil kira jaminan bahan yang digunakannya.
“Kandungan atau bahannya perlu diteliti daripada sumber halal, bukan daripada sumber yang mungkin dicampuri dengan perkara tidak dibenarkan dalam syariat.
“Contohnya, jika menggunakan bahan dari haiwan yang halal dimakan tetapi cara sembelihan tidak sah, maka ia menjadi bangkai yang tidak boleh diproses termasuk mengambil ekstraknya bagi campuran sesebuah produk sama ada makanan, solekan atau seumpamanya,” katanya.
Nor Azian berkata, sekiranya produk yang diragui status halal ini dibawa dalam solat, sebelum berwuduk juga tidak dibasuh secara sempurna, maka jelas ia membatalkan ibadat yang kita lakukan.
Justeru katanya, Muslimah yang mementingkan penampilan diri dan kerap bersolek, perlu memastikan alat solekan digunakan menepati ciri penting ibadat iaitu ‘mesra wuduk’ dan ‘mesra solat’.
Bagi wanita yang gemar bersolek selepas mengambil wuduk, mereka perlu memastikan bahannya halal, bersih dan tidak mencemarkan ibadat.
Isu jurusolek lelaki
Sementara itu, Azian Man turut mengulas solekan untuk lelaki, sama ada ia dibenarkan oleh Islam atau sebaliknya.
“Sesetengah lelaki mengenakan alat solekan untuk menutup cela, seperti memakai pelembap bibir kerana mengalami bibir yang kering, itu tidak ada masalah.
“Asalkan penampilannya itu tidaklah sehingga menyerupai perempuan dan terlalu berlebih-lebihan,” katanya.
Mengulas mengenai kebanjiran kaum lelaki yang berkhidmat sebagai jurusolek katanya, sebolehnya mereka ini tidak menyolek wanita.
“Tidak salah orang lelaki menjadikan kerjaya jurusolek sebagai sumber pendapatan, cuma perlu menjaga adab yang ditetapkan dalam Islam.
“Antaranya, jika menyolek wanita, pastikan tidak berlaku sentuhan kulit, mungkin boleh mengenakan sarung tangan dan dilakukan pula di tempat terbuka supaya mengelakkan daripada fitnah.
“Sebaiknya, jurusolek lelaki ini hanya menata rias golongan lelaki saja,” katanya.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel