≡ Menu

“Awak Ingat Sikit, Syurga Awak Kat Mana”, Suami Asyik Guna Point Syurga


BERKAHWIN bunyinya seronok tapi hakikat sebenar hanya diketahui oleh orang yang mengalaminya sahaja. Benarlah kata orang tua, berat mana memandang berat lagi bahu yang memikul. Bahkan, kehidupan berumah tangga diumpamakan bahtera yang belayar di tengah lautan. Jika cekap nakhodanya, selamatlah pelayaran tersebut sekalipun berhadapan ombak yang bergelora. Demikianlah juga situasinya dalam berumah tangga. Suami ibarat nakhoda yang bertanggungjawab memastikan sepanjang perjalanan menuju ke destinasi berada dalam keadaan selamat dan tidak memberi kesan yang buruk kepada penumpangnya.

Inilah perumpamaan sebuah rumah tangga walaupun ia hanya sebuah bangunan yang terdiri daripada atap, lantai, dinding dan struktur yang dibangunkan. Namun jika asas tapaknya tidak kukuh pasti akan mendatangkan musibah yang merosakkan. Bahkan, mengakibatkan penghuninya sentiasa dalam ketakutan dan dilanda kebimbangan.

Sebagai ketua dalam rumah tangga, suami bertindak sebagai pembuat keputusan keluarga. Namun, bukan semua keputusan itu dibuat dengan kuasa yang ada. Suami perlulah mempunyai kebijaksanaan untuk membuat pertimbangan dalam semua aspek keperluan keluarga. Sebagai contoh tentang penyediaan nafkah keluarga. Suami bertanggungjawab menyediakan kemudahan asas untuk keluarga. Bahkan ada ketikanya bukan hanya melibatkan isteri dan anak-anak sebaliknya keluarga kepada isteri yang dikahwini, khususnya ibu dan bapa mentuanya.

Itu belum lagi melibatkan ahli keluarga yang lain seperti adik-beradik, ipar-duai dan juga saudara jauh dan dekat. Walaupun kedengaran berat apa yang perlu dipikul oleh seorang suami namun jika betul pengurusannya ia akan mendatangkan kebahagiaan kepada semua.

BACA:  9 Amalan Ini Buat Rezeki Usahawan Tak Popular Tak Pernah Putus, Kencang Bukan Main

Realiti di alam rumah tangga, suami mahu atau tidak, perlu melakukan sesuatu perkara dengan pertimbangan yang wajar. Ia merangkumi pergaulan dengan isteri dan ahli keluarga dengan cara yang terbaik. Sesuai dengan firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: Gaulilah isterimu dengan cara yang baik, kemudian jika tidak menyukai mereka (isteri) maka bersabarlah kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, pada hal Allah menjadikan padanya kebaikan yang sangat banyak. (an-Nisa’: 19)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Sementara hadis riwayat Bukhari dan Muslim menyatakan: Sesempurna iman seseorang mukmin ialah apabila ia paling baik akhlaknya dan lemah lembut kepada isterinya.” Kedua- dua sumber ini menyebut, melakukan kebaikan kepada isteri itu menjadi pengukur tahap keimanan dan ketakwaan seseorang di sisi Allah SWT.

Bukan itu sahaja, suami diperintahkan oleh Allah agar berlaku adil terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan hak isteri dan keluarga seperti mana dalam kisah di atas. Walaupun isteri bekerja dan mempunyai hartanya sendiri, suami tidak boleh mengabaikan pemberian nafkah tersebut kerana isteri mempunyai hak terhadapnya disebabkan ketaatannya kepada suami.

Ketaatan isteri pula bukanlah semata-mata mengikut apa sahaja yang diperintahkan oleh suaminya walaupun suruhan itu bertentangan dengan kehendak Allah dan agama. Jika suami menyuruh isteri melakukan perkara yang dilarang dan berbentuk maksiat, isteri ada hak untuk menolaknya dengan hikmah. Apatah lagi dalam soal akidah.

BACA:  Rancangan Perdamaian US untuk menyelesaikan konflik Israel dan Palestin. Adil Ke?

Namun ramai suami hari ini mengambil jalan mudah dengan beranggapan apabila isteri bekerja dan mempunyai wang sendiri, suami tidak perlu memberinya. Sementelah isu isteri tidak meminta atau mengharapkan pemberian suami merupakan satu lagi fenomena yang berlaku kerana berkemungkinan isteri sudah letih atau bosan dengan sikap suami yang tidak mengendahkan keperluan mereka.

Bagi isteri jika suami faham dan tahu tanggungjawabnya, isteri tidak perlu meminta-minta kerana isteri juga belajar untuk tahu kemampuan suaminya. Jika suami boleh berbelanja untuk keperluan peribadinya seperti memenuhi hobinya sudah pasti isteri merasakan suami tidak berlaku adil terhadap hak dirinya.

Justeru, suami yang beriman dan sedar akan sentiasa bersikap sederhana terhadap keluarga. Jika terlalu melayani kehendak isteri dan anak-anak sehingga timbul masalah perbelanjaan atau pembaziran, suami dianggap tidak bijak mengurus dengan berhemah.

Sebaliknya jika suami terlalu berkira dengan setiap sen yang dibelanjakan, isteri dan anak-anak akan merasa tekanan kerana suami tidak ikhlas menjalankan tanggungjawabnya kepada keluarga.

Justeru, jadilah suami dan bapa yang penyayang dan bukan hanya tahu menggunakan kuasa mutlak seorang suami sehingga ada hati yang dilukai.

Sumber: UTUSAN

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel