USIA muda adalah masa paling penting dalam perjalanan hidup manusia sehingga Rasulullah SAW sendiri mengingatkan supaya merebut lima perkara sebelum tiba lima masa dan satu daripadanya ialah waktu muda. Pada usia muda manusia mempunyai beberapa tanggungjawab yang perlu ditunaikan dan seharusnya ibu bapa perlu memberi pemahaman yang jelas kepada anak berkenaan tanggungjawab itu.
Di dalam Islam ada hak yang perlu ditunaikan oleh pemuda dan pemudi, antaranya peranan terhadap kedua ibu bapa mereka. Ibu bapa yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia mempunyai hak yang harus dipenuhi oleh anak kerana sesungguhnya reda Allah SWT adalah selepas mendapat keredaan daripada ibu bapa. Namun, tanggungjawab itu harus dipupuk oleh ibu bapa supaya tidak berlaku sebarang penyesalan selepas mereka meniti usia tua kelak.
Doa anak soleh
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-Asr, Rasulullah SAW bersabda: “Allah itu akan reda pada kamu berdasarkan reda ibu dan bapa kepada kamu. Kemurkaan Allah pula berdasarkan kemurkaan daripada ayah dan ibumu.”
Besar tanggungjawab terhadap ibu bapa sehinggakan kewajipan mentaati mereka melebihi daripada tuntutan berjihad di jalan Allah SWT kerana sesungguhnya syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu dan bapa. Oleh itu, jika ibu dan bapa memerlukan perhatian ketika usia tua mereka, maka hak itu perlu dipenuhi dan menjadi keutamaan kepada anaknya. Malah, hak itu perlu ditunaikan walaupun selepas kedua ibu bapa meninggal dunia.
Allah SWT mengangkat darjat jenazah walaupun diazab ketika berada di alam barzah. Selepas ditanya oleh penghuni kubur berkenaan kenikmatan yang diterimanya setiap hari, malaikat menjawab, anak mereka sudah memohon keampunan bagi pihak kedua ibu bapanya.
Begitulah perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, bahawa Allah SWT tidak pernah menolak doa daripada anak yang soleh terhadap ibu bapanya, termasuk amalan dan setiap perbuatan baik yang diiringi niat kebaikan itu kepada arwah.
Sambung silaturahim
Selain itu, anak perlu menunaikan hak ibu bapanya dengan melaksanakan janji mereka untuk melakukan amalan kebaikan seperti bersedekah. Muliakan sahabat ibu bapa walaupun hanya dengan bertanyakan khabar kerana perlakuan anak yang soleh itu akan ditunjukkan oleh Allah SWT kepada ibu bapa mereka di alam kubur.
Sambung silaturahim yang terputus ketika hidup mereka walaupun dengan pihak yang bermusuhan kerana masalah dihadapi mereka. Mohon kemaafan bagi pihak ibu bapa semoga persengketaan dan dosa itu tidak berlarutan. Islam mendidik anak supaya mendahului ibunya, seperti pesanan Rasulullah SAW kepada seorang pemuda yang datang kepadanya dan bertanya siapakah yang paling berhak untuk dia melakukan kebaikan.
Baginda menjawab: “Kepada ibumu. Lalu pemuda itu bertanya lagi: Siapakah yang perlu dibuat kebaikan selepas itu? Dijawab oleh Rasulullah: Kepada ibumu. Sehinggalah buat kali ketiga persoalan sama diajukan pemuda itu kepada Baginda SAW. Apabila diajukan soalan sama buat kali keempat, barulah dijawab Baginda SAW supaya melakukan kebaikan kepada ayahnya.
Kisah al-Qamah
Besar kemuliaan seorang ibu sehingga tidak terbalas jasanya menanggung kepayahan mengandungkan anak, berasa sakit melahirkan, menyusukan, tidak cukup tidur menjaga serta mendoakan kesejahteraan mereka. Ini membuktikan besarnya tanggungjawab anak menunaikan hak ibu mereka. Perasaan belas kasihan dikurniakan Allah SWT bagi seorang ibu melebihi bapa.
Di dalam kitab Tarbiyatul Aulad menceritakan, Abu Layth al-Samarqandi memberitakan daripada Anas yang mengisahkan betapa besarnya kedudukan ibu dalam peristiwa al-Qamah yang tidak mampu mengucapkan syahadah, walaupun ketika sudah menghampiri kematian. Ibunya berkecil hati apabila al-Qamah melebihkan isterinya berbanding dirinya. Walaupun al-Qamah seorang mukmin yang baik, suka bersedekah, melakukan banyak amal ibadat, kemurkaan ibu menahan lidah al-Qamah daripada mengucapkan syahadah.
Reda ibu
Rasulullah SAW meminta Bilal mengumpulkan kayu untuk membakar tubuh al-Qamah, lalu ibunya merayu kepada Baginda supaya tidak melakukan sedemikian kerana dia tidak sanggup melihat penderitaan dihadapi anak kesayangannya itu.
Ibu al-Qamah kemudian memohon kepada Allah SWT dan menyatakan keredaan kepada anaknya itu. Al-Qamah menemui ajal selepas mengucapkan syahadah. Rasulullah SAW kemudian mengingatkan, mereka yang mengabaikan hak ibunya akan dilaknati dan taubat mereka tidak diterima oleh Allah SWT.
SUMBER: BERITAHARIAN
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel