
Apa yang akan anda lakukan jika di usia muda rambut anda sudah ditumbuhi uban? Walhal rata-rata sahabat sebaya anda rambut mereka masih hitam pekat. Tentu anda berfikir untuk menghitamkan rambut anda bukan. Namu kita sebagai orang islam bolehkah berbuat demikian? Apakah hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam?
Mengikut mazhab al-Syafie, menghitamkan uban mempunyai unsur-unsur pemalsuan serta mengubah keadaan yang sebenar. Dengan mengenakan warna hitam, seorang dewasa akan kelihatan seperti seorang remaja dan yang tua kelihatan muda bagi pandangan orang ramai. Hal ini menyebabkan sangkaan mereka berlainan daripada keadaan yang sebenar. Namun yang demikian warna yang lain tidaklah sampai ke tahap pengubahan, penipuan serta pemalsuan.
“Haram bagi lelaki dan perempuan mewarnakan janggut dan rambut dengan warna hitam. Namun, sunat mewarnakan uban dan rambut dengan warna yang lain sama ada kuning atau merah.
Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA, katanya: Abu Quhafah (bapa kepada Abu Bakar, nama sebenarnya Uthman dan memeluk Islam semasa pembukaan Makkah) yang rambutnya putih bak bunga kemboja (الثغامة), dibawa menemui Rasulullah SAW pada hari penawanan kota Makkah, lalu Baginda bersabda:
غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ
Maksudnya:
“Ubahlah warna uban rambutnya ini dengan sesuatu dan elakkanlah dari warna hitam.”
Riwayat Muslim (2102)
Dan hadith daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
غَيِّرُوا الشَّيْبَ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ
Maksudnya:
“Ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang Yahudi.”
Riwayat al-Tirmizi (1752)
hukum warna rambut
Gambar Hiasan
Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ، فَخَالِفُوهُمْ
Maksudnya:
“Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru, hendaklah kamu berlainan daripada mereka.”
Riwayat al-Bukhari (5559) dan Muslim (2103)
Adapun di sisi mazhab Maliki, Hanafi dan Hanabilah, hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah makruh dan diharuskan semasa perang. Imam Abu Yusuf daripada Hanafiyyah mengharuskan secara mutlak. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/281).
Berkata Imam al-Syaukani:
“Sebahagian Jemaah (ulama salaf) mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Diriwayatkan hal ini daripada (para sahabat seperti) Uthman (bin Affan), al-Hasan dan al-Hussein anak-anak (Saidina) Ali,
Uqbah bin `Amir dan Ibn Sirin, Abi Burdah dan lain-lain.”
Rujuk Nail al-Autar (2/281)

Prof. Dr Yusuf al-Qadhawi dalam karyanya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hal. 117) menyebut:
“Manakala orang yang tidak setua Abu Quhafah tidak mengapa jikalau dia mewarnakan rambutnya dengan warna hitam.
Dalam hal ini al-Zuhri (seorang Tabien) mengatakan:
“Kami menginai rambut dengan warna hitam jiikalau wajah masih kelihatan muda. Apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah bergoyang kami meninggalkannya.”
Kami berpendapat bahawa sekiranya seseorang ingin mewarnakan rambut, hendaklah dia mewarnakan rambut atau uban dengan warna apa pun selain warna hitam, atau warna dan gaya yang menyerupai syiar agama lain. Ini bagi meraikan mazhab al-Syafie yang merupakan mazhab yang diamalkan di Malaysia.
Namun begitu, kami tidak mengingkari pendapat-pendapat lain yang memakruhkan bahkan mengharuskan pewarna hitam, khususnya jika tidak melibatkan penipuan – Wallahu a’lam

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel