≡ Menu

Antara Mistik Dan Sains. Ini Penjelasan Kena “Tindih” Sewaktu Tidur


Menerusi perspektif sains, sleep paralysis ialah kelumpuhan yang berlaku ketika permulaan tidur ataupun sejurus selepas tersedar dari tidur. Seseorang yang mengalami keadaan ini merasa sedar namun tidak berupaya untuk bercakap dan bergerak walaupun mencuba sedaya upaya. Untuk memahami mengapa keadaan ini terjadi, kita hendaklah melihat bagaimana otak dan badan kita berfungsi ketika tidur terlebih dahulu.

Tidur manusia dibahagikan kepada 2 jenis iaitu ;

1. Rapid Eye Movement (REM) Sleep
2. Non Rapid Eye Movement (NREM) Sleep

Kedua-dua jenis yang disebut diatas merupakan komponen yang membentuk kitaran tidur manusia (sleep cycle). Kitaran tidur manusia mengandungi 5 peringkat iaitu bermula dengan 4 fasa tidur NREM dan diakhiri dengan 1 fasa tidur REM.
5 peringkat tersebut akan berulang sepanjang malam dan setiap satu kitaran lengkap mengambil masa secara purata selama 90 hingga 110 minit untuk dilengkapkan.

1. Fasa tidur NREM – Tidur-tidur ayam.
2. Fasa tidur NREM – Badan bersedia untuk memasuki peringkat tidur lena ( deep sleep ).
3. Fasa tidur NREM – Tidur lena bermula (deep sleep).
4. Fasa tidur NREM – Tidur sangat lena (Very Deep sleep) dan berterusan.
5. Fasa tidur REM – Gelombang otak pada ketika ini sangat aktif. Mata tetap tertutup namun ia bergerak secara pantas ke pelbagai arah yang mungkin disebabkan oleh aktiviti otak dan mimpi yang berlaku.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Apa yang berlaku ketika fasa tidur REM adalah, aktiviti otak sangat aktif seperti sewaktu dalam keadaan sedar. Namun dalam masa yang sama, otot badan dikunci dan menjadi lumpuh agar kita tidak akan terpengaruh oleh mimpi yang berlaku dalam otak kita. Ini amat penting bagi mengelakkan kita melakukan apa-apa pergerakan berbahaya semasa dalam tidur supaya kita tidak tercedera.

BACA:  Kenapa Arnab Dihalalkan Makan Didalam Islam? Ini Penerangan Hadis

Sebagai contoh, sekiranya kita bermimpi sedang bermain bola di padang lalu bayangkanlah sekiranya otot badan kita tidak terkunci sewaktu tidur ketika itu. Apa agaknya akan berlaku? Atau cuba bayangkan kita bermimpi sedang bertinju dengan Mike Tyson dan otot badan kita bertindak seperti dalam keadaan sedar. Sudah tentulah kita tertumbuk dinding atau boleh jadi tertumbuk isteri atau suami di sebelah kita tanpa sengaja.

Jawapannya, mungkin esok malam anda terpaksa tidur di ruang tamu.

Oleh itu, seseorang yang terjaga sebelum fasa REM selesai akan mengalami kelumpuhan seketika atau sleep paralysis. Walaupun otak sudah terjaga, namun otot badan masih lagi dalam keadaan tidur. Seseorang itu tidak akan mampu bergerak dan tidak mampu bersuara walaupun mencuba untuk berteriak sekuat hati. Pada waktu inilah perasaan cemas dan panik menyelubungi diri lebih-lebih lagi sekiranya ia pengalaman pertama kali.

Unsur-unsur mistik pula dikuatkan dengan kehadiran halusinasi seperti terlihat seakan-akan kelibat lembaga hitam, terdengar bunyi-bunyi menyeramkan dan boleh jadi, terasa seperti sesuatu atau seseorang melakukan aktiviti seksual terhadap mereka. Di sinilah timbulnya versi mistik yang menular dalam kebanyakan budaya di dunia termasuklah dalam budaya kita. Halusinasi merupakan salah satu manifestasi yang biasanya berlaku seiring dengan kejadian sleep paralysis. Jadi usahlah khuatir dengan penglibatan makhluk halus dalam hal ini.

BACA:  Zikir Ketika Membasuh Beras Supaya Rezeki Tak Putus Putus Datang

Waktu Serangan

Terdapat dua waktu serangan yang biasa dan ianya berbeza pada setiap individu iaitu ;

1. Hypnagogic Sleep Paralysis – Berlaku ketika baru sahaja terlelap tidur
2. Hypnopompic Sleep Paralysis – Berlaku ketika terbangun tidur

Faktor Penyebab
Tidak cukup tidur
Corak tidur yang tidak teratur
Stress
Tidur terlentang
Gangguan mental seperti bipolar
Narcolepsy
Penyalahgunaan dadah dan alkohol
Penggunaan ubat seperti pada pesakit ADHD
Langkah Pencegahan & Rawatan
Jika anda seorang penghidap masalah ini, anda disarankan agar mengamalkan langkah-langkah berikut untuk mencegah kejadian daripada berulang.

Mendapatkan tidur yang cukup – 6 hingga 8 jam sehari
Mengurangkan stress
Posisi tidur yang betul
Mendapatkan khidmat nasihat doktor bertauliah sekiranya kekerapan kejadian semakin bertambah
Dalam sesetengah keadaan, doktor akan memberikan ubat anti depresi kepada penghidap sekiranya gangguan semakin teruk

Kesimpulan
Sleep paralysis bukanlah satu keadaan misteri yang berkaitan dengan aktiviti paranormal dan mistik. Terdapat banyak kajian saintifik telahpun dikeluarkan bagi merungkai kecelaruan masyarakat sejak sekian lama. Oleh itu, sebagai masyarakat yang bijak usahlah kita terpedaya dengan cerita turun temurun yang tidak terbukti kesahihannya dari sudut agama dan sains. Alam ghaib sememangnya tidak dinafikan namun alam ghaib bukanlah hanya terbatas kepada jin dan syaitan semata-mata kerana makna alam ghaib itu sendiri sangatlah luas menurut perspektif agama.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel