≡ Menu

Analisa Strategi Perang Badar


Perang Badar berlansung pada 17 Ramadhan, tahun ke 2 hijrah di Badar. Badar terletak kira-kira 130km dari kota Madinah. Perang ini merupakan salah satu daripada perang terpenting dalam sejarah Islam.

Kisah Perang Badar

Talhah bin Ubaidillah dan Said bin Zaid melakukan risikan. Mereka dapati rombongan Abu Sufyan akan pulang dari Syam (Syria).

Mereka segera pulang ke Madinah dan beritahu Nabi (baca selawat). Nabi segera mengumpulkan para sahabat. Mereka mahu memintas rombongan dagang Abu Sufyan. Nabi melantik Abu Lubabah sebagai pemimpin di Madinah.

Nabi kemudiannya mula bergerak. Tentera Nabi (baca selawat) seramai 313 orang. 233 orang daripadanya adalah Ansar dan 80 orang lagi dari Muhajirin.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Rombongan dagang Abu Sufyan membawa harta bernilai 50,000 dinar. Bersamaan dengan RM 40,800,000. 1000 ekor unta membawa harta ini dan ada 40 orang pengawal menjaganya.

Abu Sufyan Buat Risikan

Abu Sufyan seorang yang peka dan teliti. Dia mendapat maklumat tentera Islam sedang menghampiri. Lalu dengan segera Abu Sufyan menggunakan jalan lain. Supaya dapat mengelakkan diri daripada bertembung dengan tentera Islam

Dalam masa yang sama, Abu Sufyan menghantar utusan ke Mekah bagi mendapatkan bantuan.

Abu Sufyan memilih jalan lain supaya tidak bertembung. Kredit gambar Sohabih.

Abu Jahal menerima berita daripada Abu Sufyan. Dia segera mengerahkan seluruh tenaga Musyrikin. Ada 9 orang pembesar Quraisy menjadi penaja peperangan ini. Abu Jahal keluar bersama 1000 orang tentera Musyrikin. Di dalamnya ada 100 orang tentera berkuda dan 700 ekor unta membawa segala kelengkapan.

Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, baginda memanggil para sahabat. Baginda mahu dapatkan kata sepakat. Dengar pendapat Muhajirin dan pendapat Ansar.

Kaum Muhajirin mencadangkan supaya berperang. Nabi diam. Kemudian Saad bin Muaz, seorang Ansar, perasan. Dia bangun mewakili kaum Ansar dan berkata,

“Wahai Rasulullah, kami telah beriman dengan kami, membenarkan risalahmu. Kami menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar dan kami telah berikan janji juga ikrar untuk mendengar arahan dan taat kepadamu.

Oleh itu, teruskan wahai Rasulullah apa yang kamu mahu. Kami tetap akan bersama kamu. Demi Tuhan yang mengutuskan kamu membawa kebenaran, kalau kamu bentangkan kepada kami laut ini, nescaya kami akan mengahrunginya bersama kamu. Tidak ada seorang pun daripada kami yang akan tercicir.

Kami tidak benci untuk bertemu dengan musuh kami esok. Kami kaum yang sabar ketika perang dan jujur (tidak belot) ketika bertemu musuh. Semoga Allah membuatkan sesuatu berlaku kepada kami yang menggembirakan kamu. Berangkatlah bersama kami dengan berkat Allah”.

Nabi Muhammad berasa gembira. Tentera Islam sepakat. Baginda lalu berkata, “Berangkatlah kami dengan berkat Allah. Bergembiralah. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadaku untuk berhadapan dengan salah satu kumpulan (sama ada kafilah dagang atau tentera Abu Jahal).

Rasulullah Mengatur Strategi

Ketika sampai ke perigi Badar yang paling hampir Baginda berhenti di situ. Al Hubab bin Al Munzir bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah tempat ini ditetapkan oleh Allah kepada kamu (di mana kamu tidak boleh terkedepan mahupun terkebelakang). Atau ia merupakan buah fikiran, strategi dan tipu helah?”

BACA:  Ramai Lagi Yang Tak Tahu Kebaikan Chia Seed Jika Diamalkan Setiap Hari

Baginda menjawab, “Bahkan ia berdasarkan buah fikiran strategi perang dan tipu helah”.

Lalu al Hubab al Munzir mencadangkan kepada Baginda agar memilih tempat lain yang lebih strategik. Tempat yang dipilih berupaya menyekat sumber air dari sampai kepada kaum Musyrik.

Kemudian Saad bin Muaz mencadangkan agar dibina satu khemah untuk Baginda. Supaya andai kata tentera Islam tewas, Nabi boleh kembali menyertai umat Islam di Madinah dengan segera.

Kekuatan Tentera Musyrikin

Di Badar, Nabi hantar Ali bin Abi Talib melakukan risikan. Ali jumpa tiga orang tentera sedang mengambil air. Ali tangkap mereka. Seorang berjaya melarikan diri.

Dua dibawa pulang ke kem tentera Islam. Ali bertanya mereka ambil air untuk siapa. Mereka beritahu bawa air untuk tentera dari Mekah. Para sahabat tidak percaya. Mereka pukul pembawa air itu. Para sahabat menyangka mereka berdua adalah anak buah Abu Sufyan. Jadi mereka ingat dua orang itu berbohong.

Rasulullah baru selesai solat. Baginda beri ingatan kepada sahabat. Sahabat pukul dua orang itu apabila mereka bercakap benar. Dan membiarkan mereka ketika mereka berbohong.

Kemudian Nabi cuba mendapatkan jumlah tentera Mekah. Dua orang ini tidak pasti jumlahnya. Namun mereka beritahu jumlah unta yang disembelih setiap hari adalah antara 9-10 ekor.

Dari sini Rasulullah dapat agak. Jumlah mereka kira-kira 900-1000 orang.

Detik Peperangan Badar

Malam sebelum peperangan hujan turun. Sahabat rasa aman dan tenang. Mereka tidur lena. Sebagaimana dirakamkan dalam Surah Al-Anfal, ayat 11.

“(Ingatlah) ketika kamu diliputi rasa mengantuk sebagai satu keamanan daripada Allah. Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikanmu, menghapuskan gangguan syaitan, menguatkan hati kamu dan meneguhkan kaki-kaki kamu”

Di hari peperangan Rasulullah mengatur formasi. Tentera Islam berada di belakang kebun kurma. Perigi Badar pula ada berdekatan mereka.

Saidina Umar Al-Khattab menceritakan,

“Rasulullah memerhatikan tentera Muslimin seramai 300 lebih dan tentera musyrikin seramai 1000 orang. Lalu Baginda menghadap ke kiblat dan mengangkat tangannya. Di atas bahu Baginda terdapat kain rida’.

Baginda berdoa,

“Ya Allah, dimanakah pertolongan-Mu?
Ya Allah, penuhilah apa yang Engkau janji kepadaku.
Seandainya pasukan Islam ini hancur, Engkau tidak akan disembah lagi di dunia ini selamanya”

(Riwayat Ahmad)

 Formasi tentera Islam.

Mula Dengan Perang Tanding

Pertempuran dimulakan dengan Perang Tanding. Ini tradisi perang zaman itu. Pertempuran satu lawan satu.

Pertempuran ini mustahak. Hanya panglima yang handal akan memulakan pertempuran. Andai kata panglima rebah, moral dan semangat tentera pun lemah.

Hamzah bin Abdul Muttalib, Ali bin Abu Talib dan Ubaidah bin al Harith wakil tentera Islam.

Tentera Musyrikin menampilkan Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah dan Walid bin Utbah.

Hamzah dan Ali menang mudah. Ubaidah cedera parah. Hamzah dan Ali berjaya bantu Ubaidah bagi membunuh Walid.

BACA:  9 Tips Mudah Menghafal Al Quran

Kemudian berlansung pertempuran. Allah hantar tentera langit datang membantu. Ibnu Abbas menceritakan, “Ada seorang tentera Muslimin gigih mengejar seorang tentera Musyrik di depannya. Tiba-tiba terdengar bunyi libasan cemeti daripada arah atasnya.

Kemudian terdengar suara, “Majulah Haizum!”.

Dia melihat tentera Musyrikin di hadapannya sudah mati terlentang. Apabila dia perhati mayatnya, hidung mayat itu berbekas, mukanya pula pecah seperti terkena cambuk.

Kemudian sahabat Ansar ini menceritakan kepada Nabi pengalamannya. Nabi berkata, “Benar. Itulah pertolongan dari langit ketiga. Pada hari itu tentera Muslim berjaya membunuh 70 tentera dan menawan 70 orang”
(Riwayat Muslim)

Perang Kemenangan Islam

Perang Badar menyaksikan kemenangan umat Islam. 14 tentera Islam telah syahid. Enam daripadanya Muhajirin dan lapan lagi daripada Ansar.

Pemimpin besar tentera Musyrikin terkorban. Termasuklah Abu Jahal yang dibunuh oleh dua Muaz.

Pada saat berita kemenangan ini tiba di Madinah, ada berita dukacita. Anak Baginda, Ruqayyah, telah meninggal dunia.

Strategi Perang Badar

Rasulullah merupakan pakar strategi perang. Setiap perbuatan dan gerak Rasulullah mempunyai sebab dan manfaat.

Lihat bagaimana startegi perang Badar ini. Dan bagaimana mahu diaplikasi dalam kehidupan hari ini.

Kajian Pesaing – Nabi melakukan kajian pergerakan dan kekuatan musuh. Nabi hantar pasukan perisik. Baginda juga bertanya soalan kepada pembawa air yang membolehkan baginda tahu anggaran kekuatan musuh.

Guna Apa Yang Ada Semaksimumnya – Nabi hanya memiliki 2 ekor kuda dan 70 ekor unta. Nabi menggunakan sebaiknya kelengkapan yang ada.

Menyatupadukan Pasukan – Di dalam tentera Nabi, ada kaum Muhajirin dan Ansar. Nabi memanggil mereka semua bagi mendapatkan kesepakatanuntuk berperang.

Memilih Tempat Pertempuran – Nabi tidak memilih tempat perang secara semborono. Cadangan dari al Hubab diterima. Nabi berada dekat dengan sumber air. Tentera Islam juga berada dihadapan kebun kurma.

Sistem Barisan Teratur – Nabi menggunakan sistem barisan. Pasukan pedang, pemanah, tombak disusun secara berturutan.

Double Flanking – Dua ekor kuda di kiri dan kanan digerakkan bagi mengkucar-kacirkan tentera Musyrikin.

Pemimpin Berada di Tempat Selamat – Saad bin Muaz mencadangkan Nabi berada di tempat yang selamat. Supaya Nabi dapat melihat keadaan yang berlaku dan mengambil tindakan sewajarnya.

Analisa strategi ini adalah hasil daripada penekunan tim ceramoh.com. Kami cuba melihat daripada perspektif strategi supaya dapat diamalkan dalam kehidupan hari ini.

Andai kata ada kesalahan dan kesilapan, kami amat mengalu-alukan teguran. Misinya jelas. Kami mahu belajar sesuatu yang bernilai dari sirah Rasulullah (baca selawat).

Rujukan:
1. Ensiklopedia Perang Rasulullah (Ahmad Adnan Fadzil, Aizuddin Kamarul Zaman)
2. The Battle of Badr – The Story and Reasons (Sohabih)
3. Perang Badar dan Uhud: Satu Analisis Strategi Peperangan dan Pertahanan Nabi Muhammad SAW (Ahmad Azan Ridzuan, Mohd Juraimy Hj Kadir, Hasan Al-Banna Mohamed, Aman Daima Md Zain, Mohamad ZUlkifli Abdul Ghani)

Sumber: Ceramoh

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel