ADAB BAGI YANG MAHU MELAKUKAN KORBAN
1- Mengikhlaskan diri kepada Allah.
Firman Allah:
لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat sampai kepada Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. [Al-Hajj : 37].
Seeloknya tidak perlu kita mewar-warkan kepada umum bahawa kita akan melakukan ibadah korban. Ini untuk menjaga keikhlasan kita supaya tidak rosak. Ulama-ulama salaf sangat suka menyembunyikan amalan mereka untuk menjaga keikhlasan mereka.
Zubair bin al-Awwam radiallahu ‘anhu berkata:
مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَكُونَ لَهُ خَبْءٌ مِنْ عَمَلٍ صَالِحٍ فَلْيَفْعَلْ
Sesiapa daripada kalian yang mampu menyembunyikan amal solehnya, lakukanlah hal tersebut.
[Musannaf Ibn Abi Syaibah, Kitab az-Zuhud : 34063]
سفيان بن عيينة ، قال : قال أبو حازم اكتم حسناتك أشد مما تكتم سيئاتك
Sufyan bin ‘Uyainah berkata: Abu Hazim berkata: Sembunyikan kebaikan-kebaikan kamu melebihi kalian menutup keburukan-keburukan kalian.
[Hilyatul Awliya’].
Akan tetapi ini tidaklah bermaksud kita perlu menuduh mereka yang mewar-warkan ibadah korban mereka sebagai tidak ikhlas. Boleh jadi mereka mahu mengajak pembaca dan masyarakat sekeliling untuk melakukan ibadah ini. Bersangka baiklah kepada saudara-saudara kita.
2- Tidak mencabut bulu atau memotong bulu/rambut, dan kuku bermula 1 Zulhijjah sehingga selesai korban dilakukan.
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا ”
Daripada Ummu Salamah radiallahu ‘anha, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Apabila masuknya sepuluh hari (awal Zulhijjah), dan salah seorang daripada kalian mahu melakukan korban, janganlah dia mencabut bulu atau kukunya.
Dalam riwayat lain:
إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ
Apabila kalian melihat anak bulan Zulhijjah, dan salah seorang daripada kalian mahu melakukan korban. Hendaklah menahan diri daripada memotong rambut dan kukunya. [Sahih Muslim, Kitab Al-Adhohiy, Bab Nahy Man Dakhala ‘Alaihi ‘Asyr Dzulhijjah…, hadis no: 1977].
Menurut mazhab Syafie, dimakruhkan sesiapa yang ingin melakukan korban untuk memotong kuku dan sebarang bulu yang ada di tubuh badan bermula pada awal Zulhijjah sehinggalah dia melakukan korban.
Menurut Imam Malik dan Abu Hanifah: Tidak makruh.
Sa’id bin al-Musayyib, Rabi’ah, Ahmad, Ishaq dan Daud pula berpendapat ia haram.
Mazhab Syafie berhujahkan dalil di bawa untuk menunjukkan bahawa larangan dalam hadis di atas adalah makruh dan bukan haram.
عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ قَالَتْ كُنْتُ أَفْتِلُ قَلاَئِدَ الْغَنَمِ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَيَبْعَثُ بِهَا، ثُمَّ يَمْكُثُ حَلاَلاً.
Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anha, beliau berkata: Aku membuatkan kalung untuk kambing (yang akan dikorbankan) milik Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Baginda mengirimkan kambing itu, kemudian baginda tinggal dalam keadaan tidak berihram. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hajj, Bab Taqlid al-Ghanam, hadis no: 1703].
Seperti diketahui antara perkara yang dilarang dalam ihram ialah memotong kuku dan membuang bulu daripada badan. Oleh itu hendaklah seseorang yang akan melakukan korban untuk mengikuti sunnah ini. Potonglah kuku dan cabutlah atau cukurlah bulu-bulu di tubuh sebelum masuknya 1 Zulhijjah. Akan tetapi jika sudah terlanjur melakukan hal ini dalam bulan Zulhijjah, tidaklah ia merosakkan ibadah korban tersebut.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel