Rasa risau dan juga rasa takut ialah dua perasaan yang lazim dalam hidup manusia. Bukan manusia namanya jika kita tidak pernah berasa risau dan takut! Begitu juga kisahnya tentang kanak-kanak dalam lingkungan usia 0-6 tahun. Yang pasti, pada peringkat usia ini ketika mereka sedang melalui proses pendidikan separa formal (praformal) yang menjadi jambatan antara rumah kediaman dan institusi prasekolah, banyak hal dan perkara yang boleh menjadikan seorang anak kecil risau lagi takut.
Apakah reaksi pertama anda sebagai papa atau mama ketika si kecil berkata dia risau atau takut akan sesuatu? Ingat, hanya kerana hari ini kita sebagai orang dewasa punya banyak pengalaman hidup dan kita tidak lagi takut tidur di dalam gelap, kanak-kanak masih belum punya pengalaman yang sama.
Lebih tragis, ada pula mama dan papa yang cenderung meremehkan kerisauan dan juga ketakutan anak kecil mereka! Memang betul (rasanya) di bawah katil kita tidak ada monster yang sedia untuk menyerang dan memakan kita. Tetapi papa dan mama juga perlu ingat bahawa imaginasi kanak-kanak 0-6 tahun amat aktif berbanding dengan kita. Maka, untuk bulan ini saya kongsikan beberapa cara untuk membantu anak anda yang mungkin sedang berasa risau lagi takut.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM dan Penyelidik Aktil Ilmu Psikologi perkembangan tahun awal sosiologi Pendidikan praformal kanak-kanak dari usia 0-6 tahun senaraikan 7 cara untuk ibu bapa bantu anak-anak atasi rasa takut dan risau.
Pertama: Risau, cemas dan takut perlukan masa untuk ditangani
Hakikatnya, tidak semua kanak-kanak sama walaupun umur mereka mungkin sebaya. Ada yang bersifat terlalu berani, ada pula yang sering dilanda risau, cemas dan takut hingga anak kecil itu kelihatan gelisah pada setiap detik. Tangani perasaan negatif itu satu persatu dengan aktif dan fahami sebanyak mungkin hal dan keadaan yang boleh menerbitkan rasa negatif itu dalam diri anak kesayangan anda.
Didik anak secara berperingkat untuk memerangi rasa risau dan takut. Misalnya, kalau dia takut tidur dalam gelap, belikan lampu tidur yang sesuai dengan citarasanya sebagai satu cara untuk melawan rasa takut kepada gelap. Perlahan-lahan, anak anda akan terbiasa dengan kegelapan dan akan sampai waktunya dia tidak lagi menggunakan lampu itu (atau mungkin juga dia akan kekal memakai lampu tidur sampai ke tua, macam saya juga).
Kedua: Kalau anak anda terlampau cepat risau… biarkan sahaja dia risau!
Percayalah, anak anda tidak akan berhenti berasa risau atau takut hanya kerana anda suka memekik, “Janganlah takut!” atau “Jangan risaulah!” ditelinganya. Percaya atau tidak, rasa risau dan takut mempunyai asas genetik iaitu kewaspadaan. Pada zaman Jurassic dahulu kala, manusia prasejarah harus sentiasa berwaspada takut-takut kalau mereka menjadi lauk dinosaur Velociraptor atau Tyrannosaurus Rex pada hari itu.
Asas genetik ini tetap ada dalam diri setiap manusia hingga ke hari. Ajaklah si kecil anda berdialog dan dengar luahan hatinya. Siapa tahu? Dia takut pergi ke tandas seorang diri bukan kerana ada hantu di dalam tandas rumah anda tetapi kerana dia terlalu pendek untuk mencapai suis lampu. Begitu juga dia takut tidur di dalam gelap kerana hidungnya sering berdarah hingga habis bantal dan cadar (bukan kerana ada monster di bawah katil).
Ketiga: Elakkan asyik mengelak daripada berdepan dengan risau dan takut
Meneruskan contoh saya beri tentang kanak-kanak yang takut untuk tidur di dalam gelap, ada banyak lagi usaha yang boleh kita lakukan agar rasa takut dan rasa risau mereka dapat ditangani dengan baik lagi efektif. Perlu difahami, mama dan papa harus mengelakkan diri daripada asyik mengelak untuk berdepan dengan rasa risau dan takut si kecil. Mengelak bukan suatu strategi yang baik dan hanya akan menguatkan rasa risau dan takut itu.
Jika si kecil anda takut kepada anjing misalnya, mendukung si kecil sekuat hati dan terus melarikan diri daripada semua anjing yang anda jumpai tidak akan membantu si kecil anda menjadi berani untuk berdepan dengan anjing (silap haribulan anda juga bakal dikejar anjing kerana lari daripadanya). Lebih elok jika anda memegang tangan anak anda dengan erat dan melintas di depan seekor anjing daripada mengelakkan situasi itu.
Keempat: Ajar anak anda untuk berfikir secara logik apabila dia risau atau takut
“Macam mana?”, “Boleh ke?”, “Takutlah kalau-kalau…” Semua ini sering keluar daripada mulut si kecil yang terlalu risau dan cepat takut. “Macam mana kalau monster keluar bila papa padam lampu nanti?” Pemikiran logik dapat membantu anak manja anda berdepan dengan banyak perasaan negatif yang dia rasai. Tambah juga humor dan gelak ketawa supaya kesan perasaan negaatif berkenaan dapat dikurangi.
Bermacam-macam rasa risau dan takut boleh dirasai dalam setiap keadaan. Ada kanak-kanak yang tidak suka ke tadika kerana dia takut dia tidak diterima oleh rakan sebayanya. Ada pula yang berasa cemas bila terlihat sesuatu rangsangan negatif di depan matanya. Supaya si kecil comel anda menjadi lebih yakin dan berani, pemikiran logik dan humor akan memberi kesan positif pada jangka masa panjang dengan izin Tuhan.
Kelima: Selain logik ada kemahiran lain untuk mengatasi rasa cemas dan takut
Strategi jangka panjang yang bermanfaat untuk membantu anak anda mengatasi rasa cemas dan takutnya ialah strategi yang berasaskan kemahiran dalam diri sendiri. Semakin banyak kemahiran yang dikuasai, semakin kurang kesan perasaan negatif seperti risau dan takut dalam hidup seharian anak anda. Selain strategi berasaskan pemikiran seperti fikiran logik dan fikiran positif, strategi fizikal juga boleh dicuba.
Contohnya, memegang erat tangan si kecil anda atau memeluknya dengan penuh kasih-sayang jika dia terlampau cemas atau takut. Latih juga anak anda untuk bernafas dengan stabil dan merehatkan otot-otot jika dilanda perasaan negatif. Kemahiran pernafasan memang terbukti untuk mengurangkan stres dan rasa negatif, begitu juga kemahiran merehatkan otot yang cepat tegang ketika kita sedang cemas, takut atau pun marah.
Keenam: Jangan lupa perkara-perkara asas dalam tumbesaran si kecil
Jangan dipaksa si kecil anda melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan dia risau atau pun takut. Memaksa hanya mengundang tindak balas ekstrem kelak malah boleh menerbitkan risau dan takut yang melampau pula. Pada masa yang sama, pastikan semua perkara asas mencukupi dan terjaga dalam hidup anak anda seperti waktu tidur yang cukup, makanan yang berkhasiat, air yang mencukupi, waktu beriadah dan lain-lain lagi.
Perasaan negatif mudah menguasai diri kita apabila kita tidak dapat berehat atau berasa tenang. Fakta ini bukan hanya terpakai dalam hidup orang dewasa tetapi juga untuk
kanak-kanak. Jika semua keperluan asas tumbesaran ini dapat dipenuhi maka risiko perasaan risau, cemas, takut dan marah pun dapat dikurangkan dengan banyak. Jadi, pastikan semua keperluan asas si kecil kesayangan anda dipenuhi pada setiap masa.
Ketujuh: Si kecil yang selalu risau dan takut perlukan empati mama juga papa
Kerisauan dan ketakutan sebenarnya boleh ‘melumpuhkan’ diri dan peribadi si kecil anda. Anak anda yang tidak mahu tidur di dalam gelap akan berperang dengan dirinya (dan juga dengan anda pastinya) dan dia akan bertahan selama mana boleh daripada tidur kerana dia dikuasai kepercayaan yang ada monster tinggal di bawah katilnya. Seboleh-bolehnya, jangan dimarahi si kecil itu dan cubalah berempati dengan perasaannya.
Empati daripada papa dan mama akan membantu kanak-kanak yang cenderung berasa risau dan takut untuk memahami bahawa mereka tidak bersendirian dalam hidup, dan orang tua mereka akan sentiasa bersama dengan mereka. Hari bertukar minggu bertukar bulan, perlahan-lahan rasa risau dan takut itu pasti berkurangan sejajar dengan masa.
Oh ya, jangan lupa mama dan papa semua memantau keperluan anda sendiri. Mengasuh anak kecil yang cepat risau dan cepat takut boleh memakan masa yang lagi di samping menguji kesabaran kita orang dewasa. Waktu tidur si kecil yang terganggu atau pun kerisauannya yang berterusan, boleh memberi kesan negatif juga kepada kita orang dewasa. Maka, beri juga keutamaan kepada keperluan kesihatan anda supaya anda memiliki tenaga yang diperlukan untuk membantu anak comel manja anda melalui tempoh masa yang sukar ini.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel