Setiap orang memiliki tempoh masa yang sama iaitu 24 jam. Tetapi di sebalik 24 jam yang berdetik setiap saat itu ada waktu yang dikira ‘ajaib’.
Jika pada hari Jumaat, waktu yang ajaib dikatakan sama ada antara tempoh waktu dua khutbah dan juga selepas Asar (kerana doa yang tidak akan ditolak). Pada hari-hari biasa pula, waktu ajaib tersebut terletak di penghujung malam iaitu di bahagian pertiga malam yang terakhir.
Mengapakah ia dikatakan waktu yang ajaib?
Ini kerana waktu sepertiga malam tersebut adalah waktu Allah turun ke langit dunia dan berkata kepada sekalian hambanya;
“Barangsiapa yang berdoa kepadaKu, nescaya aku kabulkan”
“Barangsiapa yang meminta kepadaKu nescaya akan aku penuhi”
“Barangsiapa yang memohon ampun kepadaKu, nescaya akan aku ampuni”
Namun, apa yang sering kita lakukan pada waktu itu?
Ya, kita sedang lena dibuai mimpi.
Barangkali kita tidak terbangun pada saat itu bukan kerana alarm yang tidak berbunyi, bukan kerana lambat tidur, bukan kerana badan yang penat tetapi kerana hati yang tidak benar-benar ingin bangun dan menjawab ucapan Allah tersebut.
Kita meninggalkan pesanan tersebut hanya sekadar ‘bluetick’, bahkan ada yang tidak membuka dan membacanya langsung, dalam erti kata lain, tidak mahu ambil tahu tentang peluang dan ruang yang telah diberikan oleh Allah buat hamba-hambaNya.
“Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam iaitu ketika sepertiga malam terakhir. Allah berfirman, Barangsiapa yang berdoa kepadaKu, nescaya Aku kabulkan. Barangsiapa yang meminta kepadaKu, nescaya Aku penuhi. Dan barangsiapa yang memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku ampuni.”
(HR. Bukhari no. 1145 dan Muslim no. 1808)
Dalam satu riwayat lain disebutkan bahawa Allah ‘membentangkan’ tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat hambaNya yang berdosa pada siang hari. Dan Allah membentangkan tanganNya di siang hari untuk menerima taubat hambaNya yang berdosa pada malam hari.
Baiknya Allah kerana di sebalik hukuman dosa yang diberikan kepada hamba-hambaNya yang ingkar, Dia masih menyediakan peluang untuk bertaubat setiap hari. Ambil lah peluang untuk mencari waktu ajaib ini. Jika benar kita berjalan mendekati Allah, maka Allah akan mendekati kita dengan ‘berlari’!
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel