Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Semua anak Adam itu bersalah dan paling baik bagi orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat (daripada kesalahannya).”
(Hadis Riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)
Benarlah apa yang disabdakan oleh Baginda SAW. Setiap dari kita memang tidak terlepas dari cubaan dunia yang sering menggoda untuk melakukan kejahatan. Ini kerana sifat iman itu sendiri yang bertambah dan berkurang. Boleh jadi hari ini kita rajin melaksanakan ibadah, esok hari belum tentu lagi.
Justeru, dalam hal ini ada beberapa perkara atau langkah yang perlu diambil perhatian bagi mereka yang ingin bertaubat dari kesilapan yang telah dilakukannya. Antaranya seperti berikut;
#1 – Tidak Berputus Asa Dari Rahmat Allah SWT
Sesungguhnya, rahmat dan pengampunan Allah SWT itu tersangat luas. Oleh itu, usah berputus asa dan jangan beranggapan bahawa taubat yang dilakukan itu tidak diterima. Allah SWT turut memberi jaminan akan hal ini sepertimana firman-Nya yang bermaksud;
“Katakanlah (wahai Muhammad) wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT. Sesungguhnya, Allah SWT mengampuni dosa-dosa semua, sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mengampuni lagi Maha Penyayang.”
(Az-Zumar : 53)
#2 – Memohon Keampunan Dan Istighfar
Istighfar adalah menyedari segala kesilapan yang dilakukan lalu memohon ampun kepada Allah SWT dengan kalimah ‘Astaghfirullahal adzim wa atubu ilaih’ yang bermaksud, ‘Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung dan bertaubat kepada-Nya’.
Juga, boleh diucap kalimah yang ringkas seperti ‘Astaghfirullah’ ini secara berulang-ulang menjadi zikir. Mudah-mudahan, semakin lembut hati kita dan dekat dengan-Nya.
#3 – Menyesali Segala Perbuatan
Menyesal atas segala kesalahan yang dilakukan amat penting kerana inilah yang menunjukkan keinsafan diri seseorang itu. Juga, sebagai tanda pengabdian serta tawaduknya seorang hamba di hadapan Tuhannya. Penyesalan ini hendaklah disertai dengan kesungguhan dan keikhlasan dari hati.
#4 – Berjanji Tidak Akan Mengulangi
Setelah penyesalan dibuat atas segala khilaf, langkah seterusnya adalah berazam atau berjanji pada diri sendiri untuk tidak mengulangi lagi kesalahan tersebut. Adapun, jika masih tetap mengulangi kesilapan yang sama, usahlah berputus asa untuk mengulangi lagi langkah yang pertama. Ini kerana kita hanyalah manusia yang memang tidak terlepas dari kesalahan.
#5 – Meminta Maaf Kepada Pihak Yang Berkaitan
Adapun jika kesalahan yang dilakukan itu melibatkan sesama manusia, sebaiknya kita berjumpa dengan individu tersebut dan meminta maaf kepadanya. Rendahkan ego kita walau setinggi mana pun pangkat yang kita miliki sekalipun individu tersebut lebih rendah pangkatnya dari kita.
Apa yang penting, masing-masing dapat berlapang dada dengan khilaf perlakuan yang telah dilakukan. Selebihnya, terserah kepada Allah SWT untuk memutuskannya.
#6 – Memperbanyakkan Amal Soleh
Penyesalan dan keazaman untuk tidak mengulangi lagi kesalahan terdahulu hendaklah dibuktikan melalui perbuatan. Contohnya, jika seseorang itu dahulunya suka mencuri dia hendaklah memastikan dirinya untuk sentiasa bersedekah. Juga, bagi mereka yang sentiasa meninggalkan solat fardhu hendaklah memastikan apabila tiba masuknya waktu solat, dia perlu bersegera melaksanakannya dan tidak berlengah-lengah.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca juga penulis sendiri yang tidak lari dari kesalahan. Diharapkan agar permohonan untuk taubat ini mendapat kelulusan-Nya seterusnya dapatlah kita jalani kehidupan dengan lebih baik dan noda hitam dari hati yang sentiasa membelenggu hidup seharian terhapus keseluruhannya. Insya-Allah. Wallahua’lam.
Sumber: Tazkirah.net
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel