Hari ini media sosial sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Satu laporan infografik menunjukkan secara purata, manusia menghabiskan 5 tahun 4 bulan meluangkan masa di media sosial sepanjang hayat mereka.
Sungguh lama bukan. Tapi inilah hakikat yang harus ditelan. Fenomena ini terjadi kerana manusia sudah ketagih dengan media sosial.
Hairuddin Harun mengklasifikasikan fenomena ini sebagai sindrom teknosis.
“Merujuk kepada satu keadaan yang tidak normal bercirikan kegilaan teknologi, kebebalan dalam memahami hakikat teknologi, kebodohan membezakan antara wahana dan matlamat, ketagihan teknologi dan kecenderungan mendewakan teknologi sebagai punca keselamatan dan penyelesaian segala masalah manusia.”
Memandangkan kita semua mempunyai akaun media sosial, saya ingin mengajak pembaca sekalian untuk menilai adakah anda tergolong dalam orang yang menghambakan diri kepada teknologi atau laman sosial.
Apakah ciri-cirinya, jom kita lihat:
#1 – Sangat Sensitif Dengan Setiap Notifikasi Yang Masuk
Pantang sahaja mendengar bunyi bip telefon yang masuk, pasti tangan akan segera menyambar telefon dan menyapu skrin sesentuh. Tugasan rela ditinggalkan. Solat juga sanggup dilewatkan bagi memenuhi panggilan kawan di Facebook atau Whatsapp. Prioriti utama adalah respon kepada sahabat maya.
Sehinggakan sambil memandu pun, tangan masih syok menyapu skrin telefon. Lebih parah lagi, walaupun tiada mesej yang masuk, media sosial terus diakses sekerap-kerapnya.
Sebagai muslim, kita perlu berhati-hati agar tidak terlalu leka dengan media sosial. Tidak sewajarnya kita membelakangi seruan Allah semata-mata ingin dengan mendahulukan mesej atau kiriman sahabat maya.
Teknologi yang dicipta bertujuan memudahkan urusan harian tidak harus dijadikan alasan untuk kita berlengah-lengah dalam perkara utama seperti solat dan tugasan kerja
#2 – Rasa Gelisah Jika Tidak Boleh Mengakses Akaun Sosial
Jika seorang hamba dadah menjadi gian sekiranya gagal mendapatkan dadah, begitu juga individu yang menjadi hamba kepada media sosial. Mereka akan menjadi seperti cacing kepanasan sekiranya mereka gagal mengakses akaun sosial dalam sehari.
Penulis pernah terbaca status seorang rakan yang menulis:
“Hey, internet, kenapalah slow sangat. Kau jangan buat aku gila bangun pagi tak boleh nak scroll fb”
Kenyataan ini mungkin nampak ringkas. Tetapi cukup untuk menggambarkan nilai masyarakat hari ini yang meletakkan ketenangan itu pada aksesibiliti akaun di media sosial.
Hakikatnya, Ketenangan yang sebenar hanya akan diperolehi apabila kita membaca dan mentadabbur Al-Quran. Tanpanya kita akan gelisah. Itulah interpretasi keimanan.
Soalnya adakah tahap kegelisahan kita tidak membuka akaun sosial sama jika kita tidak membuka Al-Quran. Walhal Al-quran itu lebih layak untuk dibaca berbanding ‘membaca’ di media sosial.
Muhasabahlah diri kita moga kemanisan iman itu tidak tawar dek ketagihan kita terhadap media sosial.
#3 – Sanggup Mengorbankan Masa Bersama Keluarga Untuk Bersosial Di Alam Maya
Hidupnya hanyalah dengan gajet. Panggilan anak isteri sering diabaikan. Terkadang dimarahnya anak dan isteri kerana didakwa mengganggunya berinteraksi dengan sahabat maya. Lebih malang lagi, suasana bersantai dengan keluarga sudah berubah corak.
Definisi bersantai dengan keluarga ialah berkumpul bersama di ruangan keluarga tapi sibuk melayan gajet masing-masing. Tiada lagi sentuhan dan gurauan kasih sayang berlaku antara ibu bapa dan anak-anak.
Ibu bapa hari ini lebih suka memberi gajet kepada anak jika dia menangis berbanding memujuk dan berbual-bual dengan anak. Sehinggakan,ketika bercakap dengan anak, respon yang diberikan acuh tak acuh sambil mata sibuk menatap skrin telefon.
Lupakah dia pada sunnah Rasulullah, yang memusingkan kepala dan seluruh badannya kepada orang yang ingin berbual dengan baginda. Baginda memberikan perhatian 100% kepada orang disisinya.
Rasulullah selaku kekasih Allah pun berbuat begitu. Jadi, siapa kita untuk memandang enteng terhadap orang lain?
#4 – Sibuk Mengejar Bilangan Like Dan Followers
Terkadang, akaun media sosial dibuka selang tiga minit. Terutamanya selepas status baru sahaja dikemaskini. Perhatian diberikan kepada berapa jumlah like yang diterima.
Siapa yang like? Apakah komen yang diberikan? dan berapa orang yang share? Itulah fokus hidupnya. Jika dia tidak mendapat respon yang positif, kiriman lain pula digantung di dinding media sosial supaya dia terus menjadi perhatian
Percayalah, perhatian manusia itu hanyalah bersifat sementara. Di media sosial, segala emotion seperti kegembiraan, tangisan dan kekecewaan adalah bersifat ‘kering’. Pendek kata tidak ada roh dalam ekspresi perasaan. Semuanya hanya di skrin semata-mata.
Oleh itu janganlah kita tertipu dengan fitnah dunia maya. Sebagai muslim, kejarlah perhatian Allah. Ini kerana Allah jauh lebih baik dalam memberi penghargaan kepada hamba-hambaNya.
Kesimpulan
Hayatilah firman Allah yang bermaksud:
Telah semakin dekat kepada manusia hari perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai
(Surah Al-Anbiya’ 21:1)
Soalnya, adakah kita termasuk dalam golongan yang lalai? Lalai dengan ketagihan kita terhadap media sosial. Ironinya, isu ketagihan media sosial bukan hanya menyerang golongan dewasa, malah turut menular kepada golongan remaja dan kanak-kanak.
Ketagihan media sosial secara melampau pasti memberikan impak yang sangat buruk sekaligus menjerumuskan masyarakat ke dalam kancah kehancuran, individualistik dan materialistik.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama bersikap proaktif untuk lebih berdisiplin dalam menggunakan media sosial agar segala bentuk ketagihan berjaya diatasi. Akhir kata, kuasailah media sosial, bukan media sosial menguasai kita.
Sumber: Tazkirah.net
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel