TAULADAN SAIYYIDINA UMAR BIN AL KHATTAB
Seringkali mimbar-mimbar Jumaat dan ceramah agama menyebut nama ‘Umar bin al-Khattab, khalifah kedua yang sangat hebat. Apa yang kita teladani daripadanya? Pada tahun 17 dan 18 Hijrah telah berlaku kemarau teruk di Madinah. Rakyat menjadi susah.
Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi.
‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”.
Suatu hari khalifah Umar bin Al Khattab menyewa unta untuk menziarahi sahabatnya. Tanpa disedari, serbannya tersangkut di celah pohon dan terlepas. Ketika diberitahu serbannya jatuh, Umar bergegas turun dari untanya dan lari mengambil serbannya, lalu cepat cepat menaiki kembali untanya.
Si pemilik unta berkata, “Kenapa tuan tidak pusing sahaja unta ini untuk kembali ke belakang sedikit untuk mengambil serban tuan, wahai amirul mukminin?” Saiyidina Umar berkata sambil tersenyum, “Sebab unta ini akadnya aku sewa untuk pergi dari rumahku menuju rumah sahabatku. Tidak ada perjanjian untuk keperluan lain.”
Pemilik unta: “Kalau begitu, kenapa tuan tidak menyuruh aku sebagai rakyat untuk mengambil serbanmu?” Saiyidina Umar menjawab, “Kerana serban itu milikku bukan milik kamu, kenapa aku mesti menyuruhmu? Apakah kamu kira jawatan khalifah punya hak sewenangnya untuk memerintahkan orang lain mengerjakan sesuatu yang tidak ada hubungannya dengan tugasku?”
SUBHANALLAH….
sumber: ustaz iqbal zain
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel