HAMBA Allah SWT yang sejati tidak akan pernah beralasan untuk jauh daripada agama termasuklah apabila didatangi dengan dugaan atau ujian sehingga dalam keadaan tertentu dia merasakan apa yang diterima itu, melebihi batas kemampuannya.
Dalam konteks kehidupan hari ini, tidak dinafikan ramai yang merungut dengan cabaran ekonomi semasa hingga ada yang terpaksa melakukan dua atau tiga kerja sehari semata-mata ingin mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga.
Desakan itu akhirnya membuatkan ada yang lalai dalam melaksanakan perintah kepada Allah SWT, lalu terus hanyut kerana gagal membina hubungan yang seimbang antara keperluan duniawi dan ukhrawi.
Pendakwah, Mohamad Azizi Satibi, berkata umat Islam perlu memahami konsep rezeki menurut syarak supaya tidak sesekali menyalahkan takdir, sebaliknya lebih berusaha keras untuk mencari sumber yang diredhai dan diberkati Allah SWT.
“Konsep rezeki itu ada dua, iaitu rezeki yang dicari dan yang mendatangi kita. Ramai yang memahami konsep rezeki yang dicari, tetapi mungkin kurang arif terhadap rezeki yang datang dengan sendirinya.
“Perkara ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang bertakwa, akan dilepaskan daripada masalah hidup dan akan diberi rezeki yang tidak diketahui dari mana sumbernya (At-Tholaq: 2-3),” katanya.
Tingkatkan ketakwaan
Mengulas lanjut, Mohamad Azizi berkata, Allah SWT memerintahkan manusia untuk mencari rezeki, bekerja dengan tekun dan sabar serta mentaati-Nya.
Orang yang bertakwa akan sentiasa takut kepada Allah SWT, walaupun ketika saat sibuk bekerja. Golongan sebeginilah yang akan didatangkan rezeki lain yang dia sendiri tidak mungkin menyedarinya sebagai ganjaran terhadap kepatuhan-Nya yang tidak berbelah bahagi.
Katanya, sekiranya masih ada umat manusia yang beralasan jauh dari agama hanya kerana desakan hidup, jelaslah individu terbabit masih belum benar-benar menjadi hamba Allah SWT.
“Oleh itu gelaran hamba Allah yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Israk Mikraj menjadi gelaran tertinggi kepada manusia.
“Apabila kita benar-benar menjadi hamba-Nya, maka sikap sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT akan ada, terutama jika benar-benar umat Islam memahami sifat-Nya yang baik termasuk yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani dan Maha Pemberi Rezeki,” katanya.
Beriman qada dan qadar
Mohamad Azizi yang juga Bilal di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam berkata, setiap makhluk yang diciptakan sudah tertulis rezeki padanya.
“Mempercayai qada dan qadar ialah satu daripada rukun iman. Di situ juga ada manusia yang dangkal pandangan menyatakan, kalaulah rezeki sudah tertulis, maka tentulah jika ia miskin maka keadaan ini kekal selamanya.
“Bagi orang yang dilahirkan kaya pula, dianggap sebagai tidak perlu berusaha kerana takdirnya sedemikian rupa.
“Hujah ini boleh dipatahkan dengan dalil akal, iaitu sememangnya rezeki sudah ditetapkan tetapi sejauh mana kita tahu berapa banyak yang diperoleh. Oleh itu selain berusaha, digalakkan untuk umat Islam berikhtiar dengan cara berdoa dan tawakal kepada-Nya,” katanya.
Katanya, rezeki yang tidak disangka-sangka itu boleh datang dalam pelbagai bentuk sebagai tambahan kepada apa yang sudah diterimanya setiap bulan.
“Mungkin bagi orang yang bergaji RM1,500 sebulan, tetapi kualiti kerjanya dijaga dengan baik dan taat kepada suruhan-Nya. Selain gaji sedia ada, Allah SWT tambah nikmat dengan kelebihan kesihatan yang baik atau sentiasa ada orang yang bermurah hati untuk membantu saat berada dalam kesusahan.
“Sebaliknya bagi orang bergaji besar tetapi tidak menjadikan kerjayanya sebagai ibadat dan lebih parah tidak mengingati Allah SWT, nikmat gajinya Allah SWT boleh tarik antaranya didatangi pelbagai kesusahan,” katanya.
Tingkatkan kebergantungan kepada Allah SWT
Mohamad Azizi turut menghuraikan faktor seseorang itu terhimpit atau terputus punca rezeki disebabkan kurang kebergantungan kepada Allah SWT, sebaliknya merasakan wang seperti raja yang dapat mengawal segala-galanya.
“Kesibukan kerja menjadikan mereka ini kurang masa hadir ke kuliah agama, apatah lagi solat berjemaah di masjid. Ada juga yang culas dalam melunaskan zakat pendapatan, gajinya besar tetapi tidak mahu diagihkan kepada yang berhak.
“Bahkan, ada yang terlalu berkira sehingga duit kepada ibu bapa atau nafkah kepada anak dan isteri diabaikan secara sengaja, sekali gus menjadi antara sebab mengapa rezeki makin hari makin sempit,” katanya.
Antara lain, katanya, Islam juga menggalakkan umatnya supaya mencari rezeki yang halal dengan hasil usaha sendiri kerana ia akan diberkati oleh Allah SWT, manakala sifat suka meminta-minta daripada orang lain adalah antara perbuatan keji serta perlu dijauhi.
Kaedah menambah rezeki
Katanya, ada banyak kaedah yang dianjurkan Islam bagi menambah rezeki seperti yang terkandung dalam al-Quran dan hadis.
Antaranya, termasuk dengan sentiasa berlapang dada ke atas apa saja yang ditakdirkan pada kita. Namun begitu, tidak pula kita disuruh berserah dan mengalah tanpa berusaha.
“Apa yang perlu kita usahakan adalah mencari keberkatan dalam rezeki. Ada banyak kaedah mencapainya, termasuk mensyukuri nikmat pekerjaan, memahami matlamat kehidupan dan konsep rezeki yang halal. Pada masa sama, menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama insan,” katanya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jikalau sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi.” (Al-A’raf: 96)
Selain itu, Mohamad Azizi berkata, menjaga tiang dalam agama iaitu solat ialah kunci bagi mendapatkan redha Allah SWT kerana ibadat ini amalan pertama yang dihisab di akhirat kelak.
“Apabila mana Allah tidak redha, maka banyak kesusahan yang melanda.
“Jika kita mendapat kejayaan biarpun tidak solat dan menyempurnakan ibadah lain, sebenarnya individu itu sedang mendapatkan istidraj, iaitu nikmat yang diperoleh hanya menambahkan kufurnya kepada Allah SWT,” katanya.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel