DUA penduduk Palestin terbunuh di Gaza dalam serangan yang didakwa Hamas dilakukan Israel namun tentera Israel menafikan dakwaan itu. Maklumat lengkap kejadian yang berlaku dekat sempadan Gaza-Israel itu belum diketahui sepenuhnya.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin, Ashraf al-Qudra, berkata dua lelaki itu terbunuh di Beit Lahia, utara Gaza ketika menunggang motosikal. Mereka dikenali sebagai Hussein Ghazi Nasrallah dan Mustafa al-Sultan, 20-an, yang dikatakan anggota Jihad Islam yang berjuang bersama Hamas ketika perang dengan Israel pada 2014.
Namun, tentera Israel serta-merta menafikan serangan itu dengan menyatakan ia tidak melakukan serangan di utara Semenanjung Gaza. Kematian terbaru itu menegangkan lagi konflik Israel – Palestin berikutan Amerika mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel selepas empat penduduk Palestin terbunuh sebelum ini.
Sabtu lalu, Tentera Israel membedil Semenanjung Gaza menggunakan kereta perisai dan pesawat. Serangan itu dikatakan susulan tembakan roket yang dilancarkan ke arah mereka di selatan negara itu oleh Palestin..
Sekurang-kurangnya dua roket ditembak dari Semenanjung Gaza, dengan satu daripadanya dapat dipintas oleh sistem pertahanan peluru berpandu Dome milik tentera Israel. Tiada sebarang maklumat diterima mengenai jumlah kematian atau kecederaan di lokasi serangan setakat ini.
Penduduk Gaza berkata, serangan itu berlaku di bahagian utara penempatan rakyat Palestin. Ia adalah tembakan roket pertama dilancarkan sejak petang Jumaat lalu yang mencetuskan serangan berterusan Israel selama dua malam berturut-turut, mengakibatkan dua anggota pergerakan Hamas terbunuh
Sumber: Harian Metro
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel