Berpuasa di bulan Ramadan adalah salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam. Bagi golongan yang beriman, bulan Ramadan al-Mubarak adalah waktu yang sangat dinantikan, kerana bulan Ramadan sendiri mempunyai begitu banyak keistimewaan serta fadhilat yang tidak ada pada bulan-bulan yang selainnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pinta syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu.”
Sesungguhnya Allah telah memberikan banyak ganjaran untuk direbut oleh setiap hambaNya. Mungkin ada kelebihan-kelebihan yang tidak kita sedari dalam ibadah puasa ini, seperti;
Dapat Membuktikan Ketaatan Kepada Allah SWT
Perlu diingati, matlamat utama berpuasa adalah untuk membina takwa, iaitu mematuhi aturan dan ketetapan sebagai hamba Allah SWT. Lalu, dengan melakukan perintah dan meninggalkan larangan Allah adalah ciri-ciri hamba yang bertakwa dan taat.
Dengan itu, menjalani ibadah puasa dengan adab dan hukum yang betul akan membuktikan ketaatan sesorang hamba itu demi meperoleh kebaikan dan ganjaran yang dijanjian oleh Allah SWT.
Mendapat Ganjaran Pahala Yang Berganda
Antara keistimewaan berpuasa juga, Allah akan menggandakan pahala orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan lain. Rasulullah SAW bersabda yang bererti:
“Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda.”
Bukan itu sahaja, dalam bulan Ramadan setiapa apa-apa amalan kebaikan juga akan memperoleh ganjaran pahala yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain. Oleh itu rebutlah ganjaran di bulan yang mulia ini sebanyak-banyaknya.
Diampunkan Segala Dosa Bagi Golongan Yang Memohon Keampunan
Berpuasa di bulan Ramadan adalah setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu berpuasa juga mampu menghapuskan segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan pada masa lalu. Baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu.”(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Melatih Untuk Bersyukur
Rasa syukur paling dirasai apabila tibanya waktu berbuka, setelah seharian menahan lapar dan apabila tiba waktu untuk makan, kita akan lebih menikmati rezeki yang diberikan Allah, bahkan sangat mengharagi waktu-waktu ketika tidak berpuasa.
Lebih Berhati-hati Dalam Melakukan Sesuatu Perkara
Amalan berpuasa membuatkan kita lebih dan terpaksa memelihara banyak perkara berbanding bulan-bulan yang lain; menahan laparnya perut, menjaga telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan yang dilarang agama.
Puasa tidak sia-sia apabila menghindari keharaman perkataan dan perbuatan. Dan jika sudah terbiasa dengan amalan ini, lama kelamaan pasti kita akan lebih berjaga-jaga walau tidak berada dalam bulan Ramadan sekalipun.
Membantu Mendisiplinkan Diri
Bulan puasa adalah bulan yang mampu mendisiplinkan dan mengajar seorang Muslim agar lebih teliti dengan masa dan jadual hidup. Hal ini dapat dilihat apabila di waktu siang hari kita berpuasa, kita akan tidur dengan lebih awal di sebelah malam kerana kepenatan dan menjaga waktu untuk bangun sahur.
Bangun makan sahur di pagi hari juga dapat melatih kebiasaan untuk bangun lebih awal bagi memudahkan terbukanya pintu rezeki.
Hal yang lain juga dapat dilihat apabila kita sangat berjaga-jaga dengan waktu sahur yang ada hadnya untuk bersahur, begitu juga waktu berbuka yang sangat dinantikan. Disiplin dan menghargai masa seperti ini sangat penting untuk perancangan dan kejayaan hidup seseorang Muslim.
Melatih Diri Untuk Lebih Sabar
Dalam bulan Ramadan, selain perlu menahan lapar dan dahaga, kita juga perlu berjaga-jaga dengan perbuatan buruk seperti cepat marah, mengumpat dan sebagainya. Tetapi kita tetap bersabar, kerana kita berada dalam keadaan berpuasa. Itulah hikmahnya dan kelebihan ini akan menjadi amalan sehingga selepas bulan puasa berlalu.
Puasa juga seolah memaksa kita meninggalkan nafsu dan kehendak, ini sebenarnya mendidik diri agar lebih tegas untuk meninggalkan perkara yang sememangnya telah diharamkan oleh agama Islam.
Merasai Kesusahan Orang Lain
Lapar dan dahaga adalah hal yang paling ketara dalam menjalani ibadah berpuasa. Hal ini dapat memberi pengalaman kepada setiap umat Islam untuk merasai kehidupan golongan miskin yang tidak mampu mendapatkan makanan. Dengan itu akan menimbulkan keinsafan untuk lebih memberi dan bersedekah serta merasai kesusahan tersebut.
Mengeratkan Silaturahim
Hubungan silaturahim dalam bulan puasa dapat dilihat melalui sembahyang sunat Tarawih beramai-ramai di surau atau masjid, aktiviti berjual beli di bazar mahupun amalan bertukar juadah berbuka dan sebagainya. Ini termasuklah aktiviti ibadah lain yang banyak dilakukan apabila tibanya bulan Ramadan.
Menyihatkan Tubuh Badan
Melalui kajian dan pemerhatian perubatan; berpuasa sangat bermanfaat kepada tubuh badan manusia. Kekerapan berpuasa didapati berjaya membantu menyeimbangkan paras insulin dan merendahkan paras gula dalam darah, terutamanya bagi pesakit diabetes.
Terdapat bukti bahawa dengan berpuasa selama sebulan, penghidap diabetes berupaya merendahkan paras gula kepada kedudukan normal atau menghampiri paras normal.
Selain itu kajian penyelidik dari Intermountain Medical Center dan University of Utah, juga mendapati berpuasa walau sehari setiap bulan berupaya menurunkan risiko arteri jantung tersumbat sebanyak 40 peratus. Pendek kata, dengan berpuasa seolah-oleh merehatkan perut dari berterusan ‘bekerja’ tanpa henti.
Memupuk Sifat Ikhlas
Berpuasa di bulan Ramadan adalah ibadah yang paling hampir dengan erti keikhlasan bagi seseorang hamba. Ini kerana berpuasa itu adalah rahsia antara hamba dan tuhannya. Maksudnya, seorang yang berpuasa itu boleh berbuka tanpa diketahui oleh sesiapapun, tetapi kerana ketakwaannya, dia tidak melakukannya.
Begitu juga dengan zakat fitrah yang dilakukan dengan ikhlas. Sesungguhnya sifat ikhlas ini sangat mahal sehinggakan Allah memberikan ganjaran yang besar dan istimewa. Oleh itu marilah sama-sama kita menjalani ibadah puasa dengan hati yang seikhlas-ikhlasnya. Jangan berpuasa hanya kerana terikutkan kebanyakan orang atau berasa seronoknya dengan aneka juadah berbuka.
Sebaikanya kita menghayati ibadah puasa dengan menghayati kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Dan sudah tentulah kita akan merasai hari kemenangan yang sebenar-benarnya menjelang Aidilfitri kelak. Semoga segala amalan baik kita diterima oleh Allah SWT.
sumber: Tazkirah.net
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel