≡ Menu

Tolonglah Jangan Abaikan Perkara Ini Dalam Islam. Tidak Sempurna Iman Jika Tidak..


SELAIN al-Quran dan Sunah, Muslim perlu melihat sejarah dalam mencari panduan meniti kehidupan. Apabila menilai kekuatan sesuatu peradaban atau tamadun dalam sejarah manusia, kita akan cenderung melihat aspek kebendaan atau kekuatan fizikal semata-mata.

Namun, kita semua jelas keindahan dan kecantikan fizikal semua bergelar makhluk akan pudar dan rosak dimakan waktu. Maka penting dalam mengimbau kegemilangan sesuatu tamadun banyak aspek lain perlu dinilai.

Rancangan Suluh Budi oleh Dr Mohd Farid Mohd Shahran menyambung pengisian pentingnya sifat diri insan yang cemerlang di dunia dan berjaya di akhirat. Dalam membaca dan memahami kegemilangan tamadun Islam, kita tidak seharusnya sekadar mengenang kehebatan ekonomi, geopolitik mahupun ketenteraannya, sebaliknya perlu melihat kepada aspek yang utama, iaitu akhlak. Ketika kekuatan lain hilang, keunggulan akhlak dan kehalusan budi kekal selama-lamanya, bahkan menjadi tiang utama kehebatan fizikal tamadun cemerlang.

Akhlak ialah budi pekerti, perangai, tingkah laku, atau tabiat. Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak, seperti sabda Baginda bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia.” (HR al-Hakim)”

Perutusan Baginda adalah untuk menyempurnakan budi pekerti mulia dalam jiwa umatnya dan seluruh manusia, sekali gus menghendaki kita supaya bermuamalah dengan akhlak baik, tidak dengan aturan lain.

Bentuk kehidupan sempurna

Berbeza panduan moral dari Barat yang disebut etika, pengaruh dan kekuatan akhlak dalam Islam lebih luas terutama pembentukan masyarakat. Ia sifat atau sikap keperibadian yang membentuk kehidupan sempurna berdasarkan prinsip ditetapkan Allah SWT. Islam mengatur hubungan manusia dengan Penciptanya, iaitu hubungan manusia dengan dirinya dan sesama sendiri.

BACA:  Awas! 6 Perkara Yang Dilakukan Akan Menyebabkan Rezeki Anda Tidak Berkat

Hubungan manusia dengan Pencipta bukan saja mencakupi masalah akidah dan ibadat, bahkan merangkumi akhlak. Ia memberi pengertian hadirnya perasaan manusia terhadap pengawasan Allah SWT dalam setiap perbuatan dan tingkah laku sesama manusia. Sentuhan akhlak terpuji akan mewujudkan suasana aman dan memberi ruang memperbaiki potensi manusia serta menambah produktiviti.

Hari ini kita menyaksikan akhlak semakin direndahkan dalam pendidikan jati diri oleh sebahagian masyarakat. Kita juga dapat melihat sifat jujur dan amanah semakin dipinggirkan sehingga mengakibatkan kejahatan seperti penipuan, rasuah dan salah guna kuasa. Media memaparkan laporan berita keruntuhan akhlak daripada remaja hingga dewasa. Inilah akibat lunturnya adab kesopanan dan tatasusila apabila jiwa insan tidak disuntik pendidikan akhlak walaupun memiliki kelulusan akademik tinggi.

Justeru, jelas akhlak ialah cerminan dari dalam diri seseorang yang mempunyai ilmu dan adab. Mereka yang tidak mempelajari ilmu berkaitan keimanan kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan akhlak Baginda akan memberi kesan kepada diri. Ilmu yang dituntut secara berterusan akan menjana ketakwaan kepada Allah SWT dan kecintaan kepada Rasulullah SAW, sekali gus membuahkan akhlak terpuji pada diri.

BACA:  Bayi Kena Sawan Tangis, Ibu Hilang Kawalan Sampai Hampir Bunuh Anak

Jiwa yang subur dengan ilmu akan berusaha mencari reda Allah dan sentiasa berwaspada dengan azab serta hukuman perbuatan buruk terhadap Allah dan makhluk lain. Kepekaan kepada kehidupan akhirat inilah yang menjadikan seseorang mudah untuk patuh kepada undang-undang dan hukuman yang mengikat masyarakat sejahtera.

Penting sebagai Muslim untuk belajar mendidik diri dan orang di bawah tanggungjawab kita dengan cara Islam menerapkan pendidikan akhlak. Terdapat tiga bentuk jiwa manusia yang digunakan dalam pendidikan akhlak. Pertama, nabatiyah atau jiwa tumbuhan; kedua, haiwani (jiwa kehaiwanan) dan ketiga akli (jiwa roh).

Jiwa tumbuhan bererti ia memerlukan makan, tumbuh dan hidup seperti sifat manusia. Demikian pula perumpamaan manusia dengan sifat kehaiwanan bergerak dan mempunyai keinginan seperti nafsu syahwat serta sifat takut.

Jiwa roh ialah qalbu atau hati. Di bahagian inilah, perhatian khusus diberikan dalam mendidik jiwa manusia untuk kekal berakhlak dengan sifat terpuji.

Disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika ia baik, baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya ia rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging dimaksudkan ialah hati.” (HR Bukhari dan Muslim)

 

sumber: BH

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!