≡ Menu

Tahukah Anda 5 Tanda Besar Dunia Akan Berakhir?

“Wahai manusia… jangan engkau tertipu daya
Oleh dunia yang fana… sebagai tempat ujian bagi kita
Dunia sementara… akhirat selama-lamanya…”

Itu antara bait lirik yang dinyanyikan oleh kumpulan Band Islamik dari Indonesia; Medina. Pertama kali mendengarkan lagu ini, hati berasa cukup teruja dengan lirik yang disampaikannya.

Dengan alunan latarbelakang muziknya yang cukup mendayu disertai dengan pembawakan lagu tersebut yang cukup menenangkan oleh band ini, membuatkan pendengar berasa seakan di awangan sambil meneliti setiap bait lirik yang ingin disampaikannya.

Menyanyi juga boleh menyebarkan dakwah dan menghidupkan hati-hati yang mati serta hati-hati yang leka dengan duniawi. Sungguh, lagu ini membawa kita merenung pada dunia yang kekal abadi iaitu akhirat di sana nanti.

Dunia ini adalah tempat persinggahan sementara sahaja. Sudah pasti setiap dari kita pernah bertanya pada diri masing-masing, bila dunia ini akan berakhir? Apakah tanda-tandanya?

Berikut dikongsikan, antara tanda-tanda yang menunjukkan dunia ini akan berakhir;

#1 – Muncul Seorang Lelaki Bermata Satu

Suatu hari nanti, akan muncul seorang lelaki bermata satu atau buta sebelah kanan yang akan keluar dari arah Timur, Khurasan bagi mempersendakan agama, membelakangkan ilmu, mengaku sebagai Tuhan dan menunjukkan beberapa keajaiban yang ada padanya.

Lelaki inilah yang digelar sebagai ‘Dajjal’. Orang-orang yang lemah imannya akan mengikuti jejaknya, manakala orang yang beriman akan terselamat dari fitnahnya.

BACA:  Kekeliruan antara Masjid Al-Aqsa dan Dome of The Rock

Rasulullah s.a.w bersabda;

“Sesungguhnya, ia akan keluar dari celah-celah antara Syam dan Iraq. Berbuat kerosakan di kanan dan kirinya.”
Hadis Riwayat Muslim

#2 – Muncul Asap Tebal

Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

“Maka, tunggulah hari ketika langit membawa kabus asap tebal yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih.”
Surah ad-Dukhan:10-11

#3 – Matahari Terbit Dari Arah Barat

Apabila matahari terbit dari arah barat, maka pintu taubat ketika itu akan ditutup dan tidak diterima lagi segala taubat dari sesiapa pun. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud;

”Tidak akan terjadi kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya, apabila ia telah terbit dari barat dan semua manusia melihat hal itu, maka semua mereka akan beriman, dan itulah waktu yang tidak ada gunanya iman seseorang yang belum pernah beriman sebelum itu.”
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

#4 – Muncul Yakjuj Dan Makjuj

Yakjuj dan Makjuj adalah sekumpulan manusia yang banyak melakukan kerosakan di muka bumi suatu masa dahulu.

Apabila Zulkarnain tiba di daerah mereka, orang-orang yang tinggal berdekatan dengan mereka datang mengadu kepada Zulkarnain dan menyebabkan Zulkarnain berasa kasihan dengan keadaan mereka.

Kawasan yang memisahkan Yakjuj dan Makjuj dengan penduduk itu adalah sebuah lorong kecil di antara dua buah gunung. Zulkarnain telah membina sebuah benteng yang sangat tinggi, kukuh dan licin; menyebabkan Yakjuj dan Makjuj sukar untuk melepasi benteng tersebut.

BACA:  Wahai Suami, Isterimu Itu Mahal Harganya

Apabila dunia akan berakhir, benteng ini akan terbuka dan mereka akan bertebaran di muka bumi untuk melakukan lebih banyak kerosakan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

“Hingga apabila dibukakan (tembok) Yakjuj dan Makjuj, dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi.”
Surah al-Anbiya’:96

#5 – Turun Nabi Isa A.S

Apabila fitnah (ujian) berlaku secara berleluasa terhadap umat Islam nanti, Nabi Isa bin Maryam akan turun ke bumi di sisi menara putih sebelah Timur Damaskus (Syria).

Baginda datang untuk memperbaiki keadaan umat ketika itu, menghilangkan kesedihan umat Islam yang ditindas, membunuh Dajjal dan membersihkan manusia daripada pengaruh hawa nafsu dan malapetaka.

Baginda akan menetap di bumi selama 7 tahun kemudian, meninggal dunia.

Dan, sebenarnya masih banyak lagi tanda-tanda yang menunjukkan dunia ini akan berakhir. Ini hanyalah sebahagian tanda-tandanya yang besar. Adapun beberapa tanda kecil sudah pun berlaku dalam dunia kita hari ini.

Persoalannya, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi saat itu? Bersedia atau tidak, yang pasti hari itu pasti akan tiba.

Dari Abu Hurairah dari Nabi s.a.w, Baginda bersabda yang bermaksud;

“Bersegeralah untuk beramal soleh sebelum enam perkara; terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya (sebelah Barat), kabus tebal, Dajjal, binatang, kematian atau hari kiamat.”
Hadis Riwayat Muslim

 

Sumber: Tazkirah.net 

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment