≡ Menu

Solat Itu Tiang Agama, Dan Tunjang Utama Sebuah Keluarga Yang Bahagia Adalah Solat!


PESANAN Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, baru-baru ini wajar menjadi pedoman kepada suami isteri terutamanya yang baru berkahwin.

Statistik kes pasangan bercerai yang dikeluarkan menunjukkan peningkatan.

Antara punca utama berlakunya konflik antara suami isteri disebabkan melanggar perintah Allah SWT iaitu tidak solat.

Dr Zulkifli berkata, Allah SWT apabila bercerita ayat mengenai cerai seperti dalam surah al-Ba-qarah, di celah ayat itu Allah SWT menyebut sepotong ayat yang menyuruh umat manusia menjaga solat fardu lima waktu dan juga solat pertengahan.

Kemudian ayat itu membincangkan semula ayat mengenai cerai. Ulama tafsir mengatakan sesiapa yang menjaga solat dengan sempurna, rumah tangga mereka akan kukuh dan bahagia.

Kegagalan manusia menjaga rukun Islam kedua itu menyebabkan wujudnya habluminas-syaitan iaitu hubungan yang terbina antara manusia dengan syaitan.

Ibadat solat yang dijaga dengan sempurna apabila wujudnya habluminnallah iaitu hubungan manusia dengan Allah, maka hablumminannas akan terwujud dengan sendirinya.

BACA:  Melayu akan bebaskan Baitulmaqdis - Sheikh Nawaf

Justeru, apabila wujudnya hablumimallah, secara tidak langsung tidak akan wujud lagi hablumminasyaitan kerana sifat syaitan berupaya untuk memisahkan suami isteri.

Namun, jika suami dan isteri menjaga kefarduan solat terutamanya solat berjemaah, hubungan yang terjalin pastinya semakin erat dan ampuh.

Terdapat segelintir pasangan yang sibuk dan leka dengan kehidupan dunia sehingga mengabaikan perintah solat.

Kesibukan bekerja, kelekaan bermain gajet dan hiburan melampau menyebabkan seseorang itu lalai mengerjakan solat walaupun sering mendengar laungan azan.

Rasulullah SAW meminta ibu bapa mendidik anak mereka melaksanakan solat sejak usia kanak-kanak lagi.

Berdasarkan sebuah hadis riwayat Abu Dawud, daripada Amru bin Syu’aib, daripada ayahnya daripada datuknya, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perintahkanlah anak-anak kamu untuk melaksanakan solat apabila sudah mencapai umur tujuh tahun. Apabila sudah mencapai umur sepuluh tahun, maka pukullah dia apabila tidak melaksanakannya serta pisahkanlah tempat tidur mereka.”

BACA:  "Jangan Harap Anak Jadi Hebat, Kalau Ibu Bapa Lebih Sayangkan Telefon"

Oleh itu, bagaimana seseorang ibu atau bapa yang tidak mengamalkan perintah solat mampu mendidik anak-anak menunaikan ibadat solat.

Natijahnya, perintah Allah SWT yang utama itu pun berani dilanggar, apatah lagi perintah manusia seperti arahan ibu bapa di rumah dan perintah guru di sekolah.

Jangan terkejut melihat anak yang bersikap kurang ajar dengan guru dan ibu bapa sendiri kerana perintah Allah SWT diabaikan tanpa rasa bersalah.

Marilah kita bermuhasabah, bila kali terakhir kita solat berjemaah bersama isteri dan anak-anak.

Jadikan masjid dan surau sebagai destinasi pilihan untuk solat berjemaah. Pandulah kehidupan keluarga kita dengan panduan takwa, pastinya sinar bahagia dalam keluarga akan menjelma.

Penulis penuntut Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam (Syariah), Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel