≡ Menu

“Saya Arkitek, Tapi Bos Suruh Rekabentuk Gereja”.Apa Pandangan Islam


SOALAN:

SS Datuk, apakah pandangan SS datuk sekiranya seorang jurutera berkerja di syarikat non muslim di Malaysia, ditugaskan mereka bentuk gereja?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Dalam hal sebegini, kami berpendapat sebagai seorang Muslim kita perlu memiliki hala tuju yang jelas. Suatu perkara yang samar-samar, sama ada haram atau halal, sebaiknya ditinggalkan. Biar pun habuannya amat menggiurkan jiwa.

Hadis sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ، فَمَنْ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقْد اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وَإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah dijelaskan dan perkara yang haram itu pun jelas, sedangkan antara kedua-duanya terdapat perkara yang samar-samar. Perkara itu tidak diketahui oleh ramai orang. Maka barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang samar-samar itu bererti dia telah menyelamatkan agama dan maruah dirinya. Dan (tetapi) barangsiapa yang berada di dalam syubhat itu, (ditakuti) dia akan jatuh ke dalam perkara yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di tepi-tepi kawasan larangan, ditakuti nanti gembalaan akan masuk juga meragut di dalam kawasan larangan itu. Ketahuilah bahawa bagi setiap pemilik itu ada kawasan larangan, dan ketahuilah kawasan larangan bagi Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkan.

BACA:  Ketahui 4 Syarat Golongan Isteri Ke Syurga

Hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim

Sememangnya, perkara ini jika diteliti tidaklah seperti dosa-dosa seperti merompak dan sebagainya, tetapi daripada sudut pandangan orang warak, ia amatlah tidak sesuai. Bersesuaian juga dengan sepotong hadith yang dimuatkan dalam Kitab Hadith 40 oleh Imam al-Nawawi, Rasulullah SAW bersabda kepada Wabisah bin Ma’bad RA:

استفت قلبك، الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إلَيْهِ النَّفْسُ، وَاطْمَأَنَّ إلَيْهِ الْقَلْبُ، وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ، وَإِنْ أَفْتَاك النَّاسُ وَأَفْتَوْك

Maksudnya: Bertanyalah kepada hatimu, (kerana) kebaikan itu ialah apa yang membawa ketenangan bagi jiwa, dan menenangkan bagi hati. Manakala dosa itu pula apa yang meresahkan pada jiwa dan menimbulkan ragu-ragu dalam dada. Sekali pun engkau telah bertanya kepada manusia, dan mereka telah memberikan jawapan kepadamu.

Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam al-Darimi.

Justeru kami mencadangkan seboleh mungkin diserahkan projek berkenaan kepada teman sejawat yang bukan Muslim. Kedua, boleh diserahkan juga kepada kontraktor lain yang bukan Islam. Ketiga, cuba sebaik mungkin berbincang dengan majikan dengan adab yang baik. Laksanakan ikut kemampuan dan timbang tara antara kebaikan dan keburukan.

BACA:  Kesejahteraan Dan Penjagaan Anak-Anak. Apakah Tanggungjawab Ibu Bapa?

Selain itu, kita perlu yakin bahawa rezeki kita itu adalah milik Allah. Allah SWT berfirman:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-Talaq, 65:2-3)

Semoga Allah berikan kekuatan kepada kita untuk menjadi hamba-Nya yang soleh dan taat.

Wallahua’lam.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!