≡ Menu

Sah Ke Solat Tanpa Iqamat Terlebih Dahulu? Mari Baca


Soalan:

Assalamualaikum S.S Mufti, apakah hukum bagi seseorang yang solat bersendirian untuk terus menunaikan solat sebelum melaungkan iqamah terlebih dahulu ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan kepada Rasulullah S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sebelum kita menekuni perbahasan berkenaan isu ini dengan lebih lanjut, kami jelaskan berkenaan hukum-hakam berkaitan dengan iqamah terlebih dahulu.

Definisi Iqamah Serta Hukum-Hakam Yang Berkaitan

Iqamah dari sudut bahasa berasal dari masdar (kata terbitan) أقام yang bermaksud (mendirikan). Dinamakan ia sebagai suatu zikir yang khusus kerana ia membawa kepada mendirikan solat.

Dari sudut pengamalan, ada sedikit perbezaan di antara azan dan juga iqamah. Azan berfungsi untuk memberitahu mereka yang belum hadir ke masjid bahawa telah masuknya waktu solat. Manakala iqamah pula berfungsi untuk memberitahu mereka yang telah sampai ke masjid untuk bersiap sedia mendirikan solat.

Di dalam mazhab Imam al-Syafi’e, hukum iqamah adalah sunat muakkad untuk solat fardhu lima waktu sama seperti hukum azan. Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: Mazhab kami yang masyhurnya adalah keduanya (azan dan iqamah) itu sunat bagi kesemua solat semasa hadir (tidak bermusafir) dan juga semasa musafir bagi (solat) berjemaah dan juga solat bersendirian. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/88).

BACA:  Berbahagialah Mereka Kerana Mereka Selalu Bersedeqah. Ini 6 Janji Allah Terhadap Orang Yang Bersedeqah

Pendapat ini juga turut disokong oleh beberapa tokoh fuqaha yang lain seperti mazhab Maliki. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Rushd Rahimahullah berkenaan hukum iqamah: Sesungguhnya ia (iqamah) di sisi para fuqaha bagi hak mereka yang solat bersendirian dan juga berjemaah adalah sunat muakkad dan di sisi ahli zahir (zahiriah) ia hukumnya fardhu. Mengikut pendapat pertama, tidak batal solat apabila meninggalkannya (iqamah), manakala menurut pendapat yang kedua, menjadi batal. Rujuk Bidayah al-Mujtahid, Ibn Rushd (Hlm. 109).

Hujah bagi mereka yang berpendapat bahawa hukum iqamah adalah sunat merujuk kepada hadis yang masyhur dengan sebutan المسيء صلاته (seorang lelaki yang buruk solatnya). Hadis tersebut menjelaskan bahawa Nabi S.A.W mengajarkan cara solat yang tepat dengan menyebutkan tentang wudhuk, menghadap kiblat, dan juga rukun-rukun solat. Namun tidak menyebut tentang iqamah, dan ini menandakan ia bukanlah kewajipan di dalam solat dalam erti kata tidak memberikan kesan kepada solat sekiranya seseorang itu meninggalkannya.

Hukum Solat Tanpa Iqamah

Dalam mazhab Hanbali, hukum solat tanpa iqamah adalah seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Khiraqi melalui katanya yang berikut: Dan sesiapa yang menunaikan solat tanpa azan dan juga iqamah kami memakruhkannya terhadap perkara itu dan dia tidak perlu mengulangi solat. Rujuk Syarah Mukhtasar Al-Khiraqi (7/31).

Manakala dalam mazhab Al-Syafi’e pula, ia adalah seperti yang dikatakan oleh Imam Al-Nawawi berikut: Sekiranya seseorang itu meninggalkan keduanya (azan dan juga iqamah) sah solatnya sama ada bersendirian atau berjemaah. Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/88).

BACA:  Taubat Seorang Pemaksiat! Jangan Main Main Dengan Hebatnya Taubat

Kesimpulan

Kami berpandangan bahawa pendapat yang lebih tepat adalah pandangan jumhur yang meliputi pandangan mazhab Al-Syafi’e bahawa hukum azan dan iqamah adalah sunat muakkad. Justeru, seseorang yang menunaikan solat tanpa iqamah maka hukumnya adalah makruh kerana meninggalkan perkara yang sunat. Ini berdasarkan sebuah riwayat berikut dari Al-Aswad dan juga Alqamah keduanya berkata:

أَتَيْنَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ فِي دَارِهِ فَقَالَ أَصَلَّى هَؤُلاَءِ خَلْفَكُمْ فَقُلْنَا لاَ ‏.‏ قَالَ فَقُومُوا فَصَلُّوا ‏.‏ فَلَمْ يَأْمُرْنَا بِأَذَانٍ وَلاَ إِقَامَةٍ

Maksudnya: Kami berdua pergi bertemu Abdullah bin Mas’ud di rumahnya lalu beliau berkata; Apakah mereka itu solat di belakang kamu ? Lalu kami menjawab: Tidak. Beliau berkata: Bangunlah kamu dan tunaikanlah solat. Dan beliau tidak menyuruh kami untuk melaungkan azan serta iqamah.

Riwayat Muslim (534)

Meskipun solat seseorang yang meninggalkan iqamah itu sah, hukumnya tetap makruh. Adalah lebih afdhal dan dituntut untuk seseorang itu tetap melakukan iqamah sebelum solat untuk keluar dari khilaf ke atas pandangan ahli ilmu yang menyatakan hukumnya wajib.

Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.

 

Sumber

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!