≡ Menu

[Poligami] Giliran Bermalam Bersama Isteri-Isteri Menurut Syarak


 

 

Soalan

Assalamualaikum. Jika bermalam bagi isteri pertama dan bila tiba giliran isteri kedua pada hari kedua, sudah kurang mampu. Boleh tangguh atau perlu teruskan untuk mencapai keadilan. Mohon nasihat berkaitan penggiliran malam antara isteri. terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada asasnya, hukum melakukan giliran bermalam dalam kalangan isteri adalah sunat sahaja dan bukan wajib. Orang yang berpoligami sunat membahagikan giliran bermalam di kalangan isterinya dan bermalam bersama mereka serta tidak membiarkan mereka. Ia tidak wajib kerana giliran bermalam adalah hak suami dan dia boleh tidak melaksanakannya. Walaupun begitu, jika dia telah bermalam dengan salah seorang daripada isterinya secara undian atau cara yang lain, maka dia mesti bermalam dengan isteri-isterinya yang lain dan wajib melaksanakan penggiliran tersebut bagi bersikap adil kepada mereka. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/630)

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ

Maksudnya: Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja.

(Surah al-Nisa’: 3)

Ayat ini menunjukkan wajib bersikap adil dalam memberi giliran dalam kalangan isteri. Begitu juga, hadith daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

BACA:  Berkhatan Dengan Doctor Non Muslim. Apa hukumnya?

مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan cenderung kepada seorang daripadanya, pada hari Kiamat, dia datang dalam keadaan yang senget.”

Riwayat Abu Daud (2133) dan al-Tirmizi (1141)

Keadaan yang digambarkan dalam hadith ini menunjukkan balasan kerana meninggalkan perbuatan yang wajib.

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْسِمُ بَيْنَ نِسَائِهِ فَيَعْدِلُ وَيَقُولُ: اللَّهُمَّ هَذِهِ قِسْمَتِى فِيمَا أَمْلِكُ فَلاَ تَلُمْنِى فِيمَا تَمْلِكُ وَلاَ أَمْلِكُ

Maksudnya: “Nabi SAW membuat giliran dalam kalangan isterinya dan berlaku adil. Baginda bersabda: “Ya Allah, inilah pembahagian yang mampu aku lakukan. Janganlah kamu mencela aku tentang pembahagian yang kamu miliki yang tidak mampu aku lakukan.”

Riwayat al-Tirmizi (1140) dan Abu Daud (2134)

Al-Mubarakfuri berkata: Maksud “apa yang Kamu milik dan tidak aku miliki” adalah dari sudut menambah kasih sayang dan kecenderungan hati. Ibn al-Humam berkata, zahirnya bahawa selain daripada itu adalah termasuk di bawah kemampuannya yang wajib disamaratakan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/247)

Marilah kita melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dengan nas Ilahi:

BACA:  Doa Ketika Dalam Kesusahan. Usaha Dan Tawakkal Pasti Membuahkan Hasil

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

Semoga rumahtangga kita menjadi Baiti Jannati dan marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah agar diberkati dan memperolehi kebahagiaan dalam hidup.

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel