≡ Menu

Nusyuz. Apa Itu Nusyuz? Dan Apakah Kesan Nusyuz Terhadap Keluarga? Baca Biar Faham


 

Apakah Pengertian Nusyuz?
Bila dan bagaimanankah seseorang isteri itu dikira sebagai nusyuz?

— Seseorang isteri dikira nusyuz apabila dia ingkar atau menderhakai suaminya.

Contohnya:

Isteri mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain
Membenarkan lelaki ajnabi memasuki rumah tanpa izin
Meninggalkan rumah tanpa izin suami tanpa alasan yang munasabah
Tidak mahu tidur bersama bila diajak oleh suami tanpa sebab yang syariie
Tidak mahu mendengar atau mengendahkan kata-kata suami yang tidak bercanggah dengan syariat
Tidak memenuhi tanggungjawab sebagai isteri tanpa sebab yang munasabah
Dalam Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Akta 303), perkara-perkara berikut termasuk dalam istilah nusyuz:

Apabila isteri menjauhkan dirinya daripada suaminya
Apabila isteri meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya.
Apabila isteri enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut hukum syarak.

Apakah Hukum Nusyuz?
Nusyuz adalah haram dan salah satu dosa besar.

Suami perlu mengatasi masalah nusyuz ini melalui pendidikan, nasihat, pengasingan tempat tidur dan pukulan, tertakluk kepada syarat-syarat seperti yang dinyatakan di atas.

Selain itu, nusyuz juga memberi kesan kepada hukum nafkah.

Seorang suami tidak wajib untuk memberikan nafkah kepada isteri yang nusyuz.

Contohnya jika isteri itu enggan tinggal di rumah yang dipilih oleh suami tanpa alasan munasabah, maka dia hilang hak mendapat nafkah.

Demikian juga jika isteri menolak permintaan suami untuk melakukan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok).

Namun, seseorang isteri tidak lagi dianggap nusyuz jika dia bertaubat dan kembali mentaati suaminya.

Suami Juga Nusyuz Terhadap Isteri
Hukum nusyuz bukan sahaja untuk isteri, bahkan juga ada untuk suami.

Suami yang berlaku zalim seperti tidak menunaikan hak nafkah, bercakap dan bertindak kasar terhadap isteri dan tidak menunaikan hak giliran malam dikira nusyuz.

Seorang suami tidak ada hak untuk memukul isteri tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak.

Jika pukulan suami dibuat kerana isterinya nusyuz dan mengikut batas-batas syarak seperti yang dijelaskan tadi, maka isteri tidak berhak untuk lari dari rumah.

Jika isteri mempunyai masalah keserasian, masalah tersebut boleh diselesaikan melalui cara lain seperti perbincangan, penglibatan perantara atau orang tengah yang dihormati atau pihak berkuasa agama.

Isteri tidak boleh memilih jalan yang menyalahi syarak, iaitu lari dari rumah.

Jika pukulan suami itu tanpa sebab yang benar atau dilakukan dengan melampaui batas seperti berbentuk penderaan, mencederakan muka, atau suami tidak boleh mengawal emosi dan sebagainya — maka isteri berhak untuk mencari jalan yang munasabah bagi menyelamatkan diri daripada kemudaratan itu.

BACA:  Pengalaman Memandikan Jenazah Transgender. Masya'Allah

Jika kemudaratan itu boleh diatasi dengan cara nasihat, perundingan atau penglibatan pihak lain – maka cara begini perlu diutamakan.

Lari Dari Rumah Adalah Wajar Jika Ia Mengancam Keselamatan Isteri
Tindakan lari dari rumah hanya harus jika terdapat ancaman yang nyata terhadap keselamatan isteri.

Bahkan jika isteri yakin bahawa dia akan terus didera dan dipukul oleh suami tanpa sebab yang munasabah, maka dia mesti mencari jalan untuk mengelakkan mudarat tersebut termasuklah dengan cara mencari tempat perlindungan yang sesuai seperti di rumah ibu bapa atau kawan yang boleh dipercayai.

Bahkan isteri sepatutnya melaporkan kes penderaan ini kepada pihak berkuasa bagi menghentikannya daripada terus berlaku.

Namun begitu, pada masa yang sama isteri perlu mengambil tindakan yang wajar untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

Perkahwinan yang memudaratkan sepatutnya tidak perlu diteruskan , melainkan jika ada jalan untuk memulihkan keadaan.

SI isteri tidak boleh meneruskan keadaan ini berpanjangan tanpa merujuk kepada pihak berkuasa bagi mengatasi kes penderaan dalam rumah tangga.

Namun demikian, tindakan lari dari rumah tidak diharuskan jika isteri hanya lari semata-mata kerana merajuk, tanpa ada ancaman yang nyata terhadap keselamatan dirinya.

Perasaan kecil hati, sedih dan kecewa tidak mengharuskan seorang isteri untuk melakukan sesuatu yang diharamkan dan membawa kepada nusyuz.

Masalah rumah tangga begini perlu diselesaikan dengan cara baik seperti perbincangan dari hati ke hati, saling menasihati menghadiri majlis ilmu atau kaunseling.

Hak Penjagaan Anak
Berhubung dengan perkaitan antara nusyuz dan hak penjagaan anak, pada dasarnya kedua-dua mempunyai sedikit perkaitan.

Secara ringkasnya, ibu lebih berhak ke atas hak penjagaan anak atau hadhanah.

Namun begitu, hak hadhanah hanya diberikan jika seseorang itu memenuhi syarat iaitu antaranya berakal, Islam, iffah dan amanah.

Oleh itu, jika seorang isteri itu seorang yang pernah nusyuz pada suaminya serta pada masa yang sama fasik dan tidak mempunyai harga diri seperti berkesedudukan dengan lelaki ajnabi – maka dia hilang hak kelayakannya.

Hal ini perlu pembuktian dan keterangan di hadapan hakim yang mengendalikan kes hadhanah.

Walau bagaimanapun, terdapat nusyuz yang tidak berkaitan dengan kelayakan hadhanah seperti dalam kes seorang isteri yang pernah keluar rumah tanpa izin suami tetapi tidak melakukan perkara menjejaskan iffah dan amanahnya.

BACA:  Anak Kurang Upaya. Benarkah Ianya Satu Kelebihan

Perlu diingat juga seseorang isteri itu tidak lagi dikira nusyuz jika dia sudah bertaubat dan kembali taat kepada suaminya.

Kekeliruan Masyarakat Tentang Hak Suami Memukul Isteri
Ramai masyarakat yang keliru dengan hanya menekankan persoalan kewajipan seorang isteri untuk taat kepada suami..

… tetapi pada masa yang sama mengabaikan prinsip tanggungjawab suami untuk menjaga isteri dengan baik, serta menghindari kekerasan dalam rumah tangga.

Memang Islam memberi ruang kepada suami untuk memukul isteri, namun kebenaran memukul ini terlalu terhad kerana hanya boleh dilakukan dengan syarat berikut:

Hanya dilakukan jika isteri itu nusyuz
Setelah suami menggunakan cara nasihat dan pengasingan tempat tidur sebagai cara mengatasi nusyuz
Pukulan itu adalah untuk mendidik bukan untuk melepaskan marah
Pukulan itu tidak terlalu menyakitkan dan bukan berbentuk penderaan
Tidak memukul bahagian muka atau tempat yang boleh mencacatkan
Tidak melukakan atau mematahkan tulang
Tidak boleh memukul jika percaya bahawa pukulan itu tidak akan menginsafkan isteri
Allah berfirman:

Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

— Surah an-Nisaa ayat 34

Ayat di atas menyebut tentang pukulan tidak memberikan kuasa mutlak kepada seorang suami untuk memukul.

Bahkan memukul hanya boleh dilakukan dalam konteks mendidik dan mengatasi masalah nusyuz.

Maka jika seorang suami sesuka hati memukul isteri, ia akan menjadi satu dosa dan kesalahan kerana secara umumnya Islam melarang seorang mukmin menyakiti orang lain.

Apalagi jika orang yang disakiti itu adalah seseorang yang di bawah amanahnya untuk dijaga, dilindungi dan dilayan dengan cara yang baik.

Kesimpulan
Mencari keserasian diantara suami dan isteri bukanlah perkara mudah.

Proses memahami, mengenali budi, menyerap kebaikan dan kelemahan setiap pasangan perlu dilakukan secara beransur-ansur.

Setiap pasangan pasangan perlulah sentiasa berikhtiar dan berusaha mempertahankan mahligai kasih yang telah dibina bersama.

Perkara terpenting untuk mempertahankan rumah tangga ialah hidup dalam suasana agama.

Agama mestilah menjadi teras kepada perkahwinan.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!