≡ Menu

Najiskah Air Akuarium? Boleh Ke Buat Wudhu’?


Soalan

Saya dapati Tuan Mufti seorang pemelihara ikan. Saya mempunyai hobi yang sama. Di sini saya ingin bertanya ketika kami menjalani rutin mencuci akuarium akan ada percikan air yang jatuh ke lantai rumah adakah percikan air tersebut dikira sebagai najis kerana air akuarium sudah bercampur dengan najis ikan dan jika ia najis bagaimana cara yang sebetulnya untuk saya mencuci percikan tersebut. Terima Kasih.

Jawapan:

Terima Kasih kepada tuan yang bertanya. Memelihara binatang ternakan seperti ikan merupakan suatu amalan yang diharuskan dan mulia. Namun di sana terdapat tanggungjawab yang perlu diberikan. Di dalam kitab fiqh, ia disebut di bawah tajuk Nafkah terhadap binatang peliharaan seperti contohnya ikan perlu diberi tempat tinggal dan makanan yang sesuai. Adapun binatang yang lain perlu diberi 3 perkara iaitu tempat tinggal, makanan dan minuman.[1]

Berkaitan soalan yang diajukan kepada kami berkaitan percikan air daripada najis ikan, dalam Mazhab As-Syafi’e Rahimahullah najis dan air kencing termasuk yang datang daripada haiwan adalah najis. Ini berdasarkan hadith Nabi ﷺ:

Daripada Ibnu Masud Radiyallahu Anhu Nabi ﷺ bersabda:

BACA:  Fatwa Menziarahi Masjid Aqsa

عَنْ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : أَتَيْتُ النبيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ بِحَجَرَيْنِ وَرَوْثَةٍ فأخَذَ الحَجَرَيْنِ وأَلْقَى الرَّوْثَةَ وَقَالَ: هَذَا رِكْسٌ

Maksudnya: Aku telah membawa 2 biji batu kepada Nabi ﷺ dan satu kotoran (tahi binatang yang kering). Nabi ﷺ mengambil dua biji batu dan membuang kotoran, lalu bersabda ia adalah kotoran haiwan.

Riwayat Imam Al-Bukhari (155) – Bab Instinja.

Di dalam kitab al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab (2/550) Imam al-Nawawi Rahimahullahu Taala ada menyebut:

ان مذهبنا أن جميع الارواث والدرق والبول نجسة من كل الحيوان سواء المأكول وغيره والطير وكذا روث السمك والجراد وما ليس له نفس سائلة كالذباب فروثها وبولها نجسان علي المذهب وبه قطع العراقيون وجماعات من الخراسانيين وحكي الخراسانيون وجها ضعيفا في طهارة روث السمك والجراد وما لا نفس له سائل

Maksudnya: Sesungguhnya dalam Mazhab kami semua jenis kotoran (tahi), tahi burung dan air kencing dikira sebagai najis sama ada haiwan yang boleh dimakan atau tidak. Begitu juga dengan burung. Hukum yang sama juga terhadap kotoran (tahi) ikan dan belalang dan binatang yang tidak mengalir darahnya seperti nyamuk. Maka kotoran (tahi) dan air kencing kedua-duanya adalah dikira sebagai najis. Inilah pendapat mazhab) dan telah diputuskan oleh ulama (Syafieyyah) Iraqiyyun dan sekumpulan ulama Khurasaniyun. Terdapat juga satu pandangan yang Dhoif dari ulama Khurasaniyun berkaitan sucinya kotoran (tahi) daripada ikan dan belalang serta binatang yang tidak mengalir darahnya…

BACA:  Perhatian! Kahwin Di Bawah Umur Mencemarkan Imej Islam!

Kesimpulan

Justeru, mengikut pendapat yang muktamad, sekiranya air di dalam akuarium yang sedikit (kurang dua kolah) tersebut mengandungi najis maka air percikan yang terkena pada lantai pun dikira sebagai najis dan hendaklah dicucikan najis tersebut dengan menghilangkan ain najis sekiranya ada dan melalukan air ke atas najis tersebut sehinggalah hilang bau, warna dan rasa. Namun sekiranya najis tersebut yang tidak dapat dilihat oleh mata yang pertengahan walaupun najis mughallazah maka ia dimaafkan oleh syarak. Begitu juga air percikan yang terlalu sedikit yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar maka ia juga dimaafkan oleh syarak.

والله أعلم وأحكم

Nota Hujung:

[1] Rujuk al-Iqna (ms. 637-640) oleh Imam al-Khatib al-Syirbini.

Sumber

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!