≡ Menu

Nah! Baik Buruk Telefon Pintar Kepada Anak! Buatlah Pilihan Sewajarnya


Sebagai ibu bapa, kita semua akan belajar mengenai perkembangan anak-anak dengan melihat mereka membesar, bila masa sesuai melepaskan mereka, bila masanya untuk berikan permainan pertama mereka, bila waktu yang sesuai untuk hantar mereka ke sekolah atau daftarkan mereka untuk aktiviti kelab atau kelas tambahan.

Namun, apabila tiba pada persoalan, “bagaimana tentang telefon pintar pertama mereka?, adakah anak kita terlalu muda untuk memilikinya atau mereka sudah sepatutnya mendapat akses untuk kemudahan asas pada zaman moden ini?” Pasti ramai ibu bapa tertanya-tanya dan buntu untuk mendapatkan jawapan yang tepat.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan oleh setiap ibu bapa sebelum membuat keputusan sama ada anak mereka bersedia mempunyai telefon pintar atau sebaliknya.

Faedah memberikan anak telefon pintar
Tiada siapa boleh menafikan manfaat telefon pintar dalam sebuah keluarga jika semua ahli keluarga memiliknya, seperti:

Keselamatan dan penjagaan diri
Dengan memasang fungsi pengesan GPS pada telefon pintar anak anda, anda dapat mengetahui tentang lokasi anak anda dalam memastikan soal keselamatan mereka. Aspek ini menjadi penting sekiranya ada tinggal di kawasan yang penduduknya ramai atau anak anda perlu ke sekolah secara sendiri. Lebih penting lagi, anak anda boleh mendapatkan bantuan kecemasan seperti hospital, bomba ataupun polis ketika dia berdepan situasi yang mengancam nyawa. Telefon pintar juga boleh menjadi penghubung buat anda dan anak jika berdepan dengan keadaan darurat atau bencana alam, dan kecemasan lain.

BACA:  Kalau Taknak Suami Cari Lain, Isteri Kena Pandai Jaga 10 Perkara Ni.

Pendidikan
Ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak untuk belajar menggunakan aplikasi pendidikan yang mempromosikan kaedah pembelajaran menarik untuk mendapatkan pengetahuan dalam pelbagai aspek.

Anak anda akan mempunyai akses yang lebih luas kepada capaian maklumat global dalam masa yang singkat dan pantas. Malah, mereka turut boleh membuat nota kajian di telefon pintar dan merakam sesi pembelajaran agar mereka boleh mendengarnya berulang kali.

Kekal berhubung
Memberikan anak telefon pintar memberikan anda kemudahan untuk membuat perubahan perancangan dalam masa yang pendek atau perancangan yang bersesuaian dengan kehidupan anda.

Sebagai contoh, anda boleh memberitahu anak anda untuk membeli roti dalam perjalanan pulang dari sekolah atau memberitahu mereka bahawa anda mungkin akan sampai sedikit lewat kerana kesesakan lalu lintas.

Sekiranya anda perlu bertugas di luar kawasan, anda akan dapat mengekalkan perhubungan dengan anak melalui mesej, panggilan atau pun panggilan video.

BACA:  Nak Kulit Cantik Dan Kekal Remaja? Ini Rahsianya!

Kelemahan dalam pemberian telefon pintar kepada anak
Pertambahan kos
Ramai kanak-kanak tidak menyedari tentang kos tambahan yang mungkin timbul akibat penggunaan telefon secara kerap dan untuk tempoh masa yang lama. Sesetengah dari mereka mungkin secara tidak sengaja merosakkan telefon atau kehilangannya kerana kecuaian dan sikap tidak matang mereka.

Melekakan
Memiliki telefon pintar boleh menyebabkan anak anda cenderung untuk bergantung kepada teknologi. Ini boleh mendatangkan mudarat kerana pada usia muda, anak anda sedang melalui proses pembelajaran yang aktif dan otak sedang pesat berkembang. Dengan kemudahan akses maklumat yang pantas dan serta merta ini, boleh merencatkan perkembangan kreativiti, keupayaan berfikir secara kritis dan berkemungkinan timbulnya masalah disiplin.

Kesan negatif
Memiliki telefon pintar membuatkan anak anda terdedah kepada gejala buli siber, ketagihan permainan, dan kandungan negatif lain di internet.

Risiko kesihatan
Pengguna kerap dan untuk tempoh yang lama telefon pintar boleh menimbulkan kesan buruk yang signifikan terhadap kesihatan fizikal dan mental anak-anak akibat radiasi.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel