≡ Menu

Mari Amalkan Istighfar Nabi Yunus Ketika Di Dalam Perut Ikan Nun


Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan istighfar Nabi Yunus dan yang mana lebih afdhal di antara Sayyid al-Istighfar atau istighfar Nabi Yunus?

Jawapan:

Melihat kepada soalan di atas, istighfar itu mempunyai banyak bentuk dan lafaz. Antaranya ialah istighfar atau doa Nabi Yunus AS ketika di dalam perut ikan Nun. Doa ini dirakam oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an:

Firman Allah SWT:

لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. [al-Anbiya’:87]

Di dalam tafsir Ibn Kathir ada menceritakan kisah bagaimana Nabi Yunus AS ditelan oleh ikan paus. Nabi Yunus AS telah pergi dengan menaiki kapal bersama kaumnya. Kapal tersebut dipukul ombak besar lalu mereka merasa takut kapal itu akan karam. Lalu, mereka mengundi salah seorang di antara mereka yang harus dibuang ke laut untuk meringankan bebanan kapal tersebut. Maka undian pun terkena kepada Nabi Yunus AS. Akan tetapi, mereka enggan untuk membuangnya. Lalu mereka pun mengulanginya dan undian tersebut terkena lagi kepada Nabi Yunus AS. Akan tetapi, mereka juga enggan untuk membuangnya. Lalu mereka pun mengulanginya untuk kali yang ketiga dan undian tersebut terkena juga kepada Nabi Yunus AS. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 321/5]

BACA:  Rasai Manfaat Asalkan Istiqomah Amalkan 2 Ayat Terakhir Surah At-Taubah

Tambahan pula, di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam al-Jami’:

Daripada Sa’ad bin Abi Waqas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الحُوتِ: لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ

Maksudnya: “Doa Nabi Yunus ketika baginda berdoa di dalam perut ikan paus: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka sesungguhnya tidak seorang muslim itu apabila berdoa dengannya untuk sesuatu perkara (masalah) melainkan Allah SWT akan memustajabkan baginya”. [Riwayat al-Tirmizi (3505)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh berpendapat sanad hadith ini sebagai hasan]

BACA:  Hukum Membuat Aduan Kepada Grab Tanpa Sebab Yang Munasabah!

Untuk itu, istighfar atau doa tersebut juga mempunyai kelebihan yang tertentu sebagaimana istighfar-istighfar yang lain berdasarkan hadith di atas. Bagi menjawab persoalan istighfar yang lebih afdhal di antara istighfar-istighfar yang dinaskan oleh syara’, maka kami berpandangan bahawa Sayyid al-Istighfar adalah lebih utama kerana Nabi SAW menamakannya sebagai penghulu segala istighfar. [Rujuk kepada Irsyad al-Hadith No. 168]

Dengan itu juga, kami tidak menafikan berkenaan dengan doa Nabi Yunus AS ini. Tetapi ia sudah tentu mempunyai adab-adab yang memustajabkan doa tersebut.

Walaubagaimanapun, kita dibolehkan untuk mempelbagaikan bacaan istighfar dalam kehidupan kita dan tidak tertumpu hanya pada satu bacaan sahaja. Ini kerana, setiap bacaan itu mempunyai kelebihan-kelebihannya yang tersendiri. Di sana terdapat beberapa syarat-syarat istighfar yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar, antaranya: [Lihat: Fath al-Bari, 100/11]

Niat yang benar
Tawajjuh (menghadapkan diri hanya kepada Allah SWT)
Beradab (Menjaga adab-adab)

Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa beristighfar dan memohon ampun kepada-Nya. Amin.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!