≡ Menu

Makan Pulut Punca Anak Lambat Bercakap? Jangan Buat Lawak


“Kenapa anak kau tak boleh cakap lagi, anak orang lain elok je bercakap sama umur dengan anak kau juga?”

Seringkali perasaan ibu terguris apabila soalan sebegini ditujukan kepada mereka. Ya, anak-anak kita, mestilah kita sahaja yang tahu keadaan mereka. Sebagai orang luar, jangan sesuka hati buat andaian.

Sehinggakan ada sesetengah orang yang buat andaian petua orang dulu-dulu kalau tak nak anak lambat cakap, jangan beri makan pulut. Bila fikir logik, betul ke pulut jadi punca anak lambat bercakap?

Setiap anak mempunyai keunikan sendiri. Ada yang tidak sampai setahun sudah petah bercakap dan ada juga yang hanya boleh bercakap satu atau dua perkataan sahaja. Malahan ada sesetengah bayi yang masih menggunakan bahasa bayi dalam tempoh yang panjang.

Mungkin bagi sesetengah ibu bapa menganggap ia perkara tersebut adalah biasa. Tetapi menurut pakar isu lambat bertutur sebenarnya boleh menjadi satu perkara yang lebih serius.

Anak lambat bercakap vs speech delay
Ramai bayi boleh menyebut perkataan asas seperti ‘dada’, ‘mamam’, ‘no’ dan sebarang perkataan pendek lain sebelum berusia setahun. Untuk pengetahuan anda, kebanyakan bayi akan menutur lebih 50 perkataan apabila mencecah usia 18 bulan.

Tetapi bagaimana kalau seseorang kanak-kanak yang berusia 2 tahun masih sukar untuk menutur dengan lancar dan hanya boleh bercakap dua perkataan sahaja?

Ini adalah peranan penting ibu bapa untuk mengenal pasti perkembangan bahasa dan pertuturan anak-anak. Setiap proses harus diberi perhatian untuk mengenal pasti sama ada pencapaian anak anda ada pada tahap sewajarnya atau tidak.

Anak yang mempunyai masalah lambat bercakap biasanya boleh pulih apabila mereka banyak bercakap dengan rakan sebaya tanpa sebarang campur tangan individu dewasa.

BACA:  Dilarang Bergambar Di Masjidil Haram, Masjid Nabawi

Manakala anak dengan gangguan percakapan pula selalunya akan ketinggalan dan memerlukan campur tangan (bantuan) untuk mengelakkan jarak ketinggalan mereka menjadi terlalu ketara apabila mereka membesar.

Ciri-ciri anak lambat cakap

  1. Anak anda mungkin mempunyai masalah lambat bercakap apabila hanya boleh menutur perkataan pertama mereka selepas berusia 18 bulan (1 tahun 6 bulan).
  2. Anak anda seharusnya boleh menuturkan ayat dengan dua perkataan seperti “nak mama” pada usia 2 tahun dan ayat dengan tiga perkataan pada usia 3 tahun seperti “mama, nak susu” dan seterusnya mengikut pertambahan usia.
  3. Menggunakan bahasa bayi untuk jangka masa yang lama.
  4. Ramai yang bertanya, betul ke anak lelaki lebih lambat bercakap dari anak perempuan? Ya, ikut kajian perkara ini benar. Namun, setiap anak mempunyai tahap perkembangan yang berbeza.

Simptom yang perlu ibu bapa beri perhatian
Anak tidak menghasilkan sebarang bunyi atau respons kepada sebarang bunyi
Anak masih belum boleh bercakap walaupun mencecah usia 18 bulan
Tidak menunjukkan sebarang komunikasi melalui gerakan tubuh pada usia 12 bulan seperti melambai atau bertepuk tangan
Sukar memahami arahan atau rutin mudah pada usia 2 tahun
Lebih menggunakan bahasa tubuh dari bertutur untuk berkomunikasi dan tidak boleh meniru bunyi pada usia 18 bulan
Tidak berminat melakukan eye contact atau berbual dengan individu lain
Menghasilkan bunyi tidak normal seperti ah, ohh
Percakapan yang sukar difahami
Jika terdapat simptom-simptom yang dinyatakan di atas, ia mungkin didasari oleh beberapa masalah berkaitan perkembangan atau kesihatan anak-anak, seperti:

Masalah pendengaran
Kurangnya rangsangan bunyi, contoh keadaan ibu bapa yang bisu
Masalah fizikal berkaitan lidah, tekak, hidung dan sebagainya
Masalah perkembangan seperti autism, global developmental delay
Masalah genetik
Ibu bapa perlu galakkan anak bercakap
Sebagai ibu bapa, anda perlu melatih dan memberi sokongan untuk anak-anak lebih bercakap. Sebagai contoh yang perkara yang boleh anda lakukan untuk merangsang anak anda bercakap;

BACA:  Inilah Sebabnya Rasulullah Menyuruh Sahabatnya Bersedekah. Hebatnnya!

Bermain dengan anak

Berikan barang mainan kesukaan mereka satu per satu supaya mereka mempunyai peluang untuk ‘meminta lebih’ dan berlatih untuk mengambil giliran bercakap serta kemahiran komunikasi lain.

Cipta peluang berkomunikasi

Anda boleh berpura-pura tidak tahu mengenai apa yang disukai atau tidak disukai oleh anak anda. Ini memberikan mereka peluang untuk memberitahu anda mengenainya atau sekurang-kurangnya membolehkan mereka untuk bercakap ‘no’.

Ringkaskan perbualan

Banyakkan bercakap dengan anak tetapi pastikan ianya ringkas dan mudah untuk mereka fahami serta ditiru oleh anak anda.

Bahasa Isyarat

Gunakan gerak badan dan bahasa isyarat untuk menambah maksud perkataan yang anda cakapkan terutama ketika anak anda masih belum boleh bercakap. Cara ini sekurang-kurangnya dapat membina motivasi kepada anak-anak untuk bercakap.

Gangguan perkembangan
Tidak semua kanak-kanak autism mempunyai masalah lambat bercakap dan tidak semua anak yang lambat bercakap mengalami masalah autism.

Jika anda merasakan anak anda lambat bercakap, dapatkan pandangan doktor atau pakar pertuturan kanak-kanak untuk mendapatkan kepastian mengenai isu ini.

Yang paling penting, berkaitan dengan topik ini, memakan pulut langsung tiada kaitan dengan masalah anak lambat bercakap atau speech delay. Itu adalah sekadar kepercayaan yang tidak sahih.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel