≡ Menu

Makan Ketika Waktu Imsak, Sah Atau Tidak Puasa Kita?


Secara harfiah, puasa ditakrifkan sebagai tidak makan atau minum pada waktu tertentu manakala dari segi syarak ia mempunyai makna yang lebih mendalam iaitu (perlu) menahan diri dari perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sidik sehingga terbenam matahari dengan niat.

Sebelum berpuasa, kita digalakkan untuk bersahur. Rasulullah SAW bersabda dalam Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

“Bersahurlah, kerana sesungguhnya pada sahur (makanan) itu ada keberkatan.”
Namun, pastinya ada di antara kita yang pernah terlewat bangun sahur. Justeru banyak persoalan yang mula timbul mengenai perkara ini. Antara soalan yang sering diajukan adalah seperti ini:

Soalan:
Umum mengetahui bahawa waktu imsak masuk 10 minit sebelum waktu subuh. Adakah dengan masuknya waktu imsak tersebut maka kita tidak lagi boleh untuk makan dan minum kerana telah bermulanya puasa?
Oleh sebab itulah, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli telah menjelaskan dalam Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan tentang jawapan kepada soalan tersebut.

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

BACA:  Anda Dikutuk, Diherdik, Dicaci, Diumpat? Terimalah Khabar Gembira Dari Nabi

Diantara perkara-perkara sunat di dalam berpuasa adalah dengan mengakhirkan bersahur. Mengakhirkan di sini bermakna melewatkan proses bersahur tersebut. Seperti yang kita maklum, di Malaysia, masuknya waktu imsak adalah 10 minit sebelum masuknya waktu subuh.

Terkadang timbulnya persoalan dan kekeliruan adakah waktu imsak itu waktu bermulanya puasa. Untuk membincangkan isu ini mari sama-sama kita renungi firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah (187) yang bermaksud:

“Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)”
Dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah SAW bersabda dalam Riwayat Al-Bukhari (620) yang bermaksud:

“Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam, maka makan dan minumlah sehingga azannya Ibn Umm Maktum”
Ketika zaman Rasulullah SAW, azan subuh dilaungkan sebanyak dua kali. Sekali sebelum masuknya waktu subuh untuk memberikan peringatan manakala azan yang kedua bermaksud telah masuknya waktu subuh. Berdasarkan hadith di atas, Bilal RA azan pada waktu malam menunjukkan bahawa beliau melaungkan azan yang pertama iaitu sebelum masuknya waktu subuh (diiktibarkan pada waktu malam).

BACA:  Keajaiban Solat Untuk Ibu Yang Mengandung. Subhanallah!

Maka, Rasulullah SAW memberikan keizinan untuk makan dan minum pada waktu tersebut (untuk bersahur). Sekiranya telah azan Ibn Umm Maktum RA untuk azan yang kedua, maka ia menunjukkan bahawa waktu subuh telah masuk dan telah bermulanya waktu berpuasa. Iktibarnya di sini adalah masuknya waktu iaitu terbitnya fajar al-sadiq dengan berkumandangnya azan.

Manakala, Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ menyebutkan:

“Telah kami sebutkan sekiranya telah terbit fajar dan padanya (di dalam mulutnya) terdapat makanan, maka perlu dia mengeluarkan makanan tersebut dan kemudian sempurnakan puasanya. Sekiranya dia menelan apa yang ada di dalam mulutnya itu, setelah mengetahui terbitnya fajar al-sadiq, maka batallah puasanya.”
Kesimpulan
Setelah melihat kepada dalil serta nas yang terdapat di dalam perbahasan ini, kami katakan di sini bahawa waktu imsak (10 minit sebelum masuknya waktu subuh) bukanlah waktu bermulanya puasa. Maka pada tempoh tersebut dibolehkan lagi untuk makan dan minum.

Namun, sekiranya telah kedengaran azan subuh, maka hendaklah berhenti serta merta dan kemudian sempurnakan puasa tersebut sehingga masuk waktu berbuka.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!