≡ Menu

LGBT: Tanda Manusia Hilang Kewarasannya. Nauzubillah


Perkahwinan ditakrifkan oleh beberapa buah kamus bahasa Inggeris terkemuka dunia sebagai penyatuan atau kontrak undang-undang antara seorang lelaki dengan wanita untuk hidup sebagai suami dan isteri (Collins English Dictionary, 2000). Dalam maksud yang lain, perkahwinan merupakan ikatan undang-undang antara lelaki dengan wanita untuk hidup bersama dan lazimnya memiliki zuriat (Oxford Modern English Dictionary, 1992). Selain itu ia juga memberi maksud institusi yang menyatukan lelaki dan wanita dalam suatu bentuk kebergantungan sosial dan undang-undang yang khusus, bagi tujuan mengasaskan serta mengekalkan keluarga (Webster’s Ninth New Collegiate Dictionary, 1988).
Pentakrifan yang lebih mendalam dan jelas diberikan oleh undang-undang Islam, iaitu akad yang menghalalkan istimta` (kemesraan, senda-gurau dan sebagainya) antara suami dengan isteri dengan cara yang dibenarkan syarak. Muhammad Abu Zahrah, salah seorang `ulama’ kontemporari, menjelaskan bahawa perkahwinan merupakan `aqad yang menghalalkan pergaulan dan kehidupan bersama antara lelaki dengan wanita. Perkahwinan juga menurut beliau bertujuan memenuhi keperluan tabi`i manusia dan memupuk nilai bantu-membantu serta kerjasama antara mereka. Selain itu, perkahwinan membentuk hak yang dimiliki dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh setiap seorang daripada mereka. Syarak turut menjelaskan rukun-rukun nikah, iaitu lafaz ijab dan qabul, isteri, suami, wali, dan dua orang saksi. Ia menggambarkan kesempurnaan dasar dalam Islam, khususnya dalam soal pembinaan keluarga yang seterusnya memberikan kesan besar terhadap pembinaan masyarakat serta negara yang teguh sifatnya. Tujuan disyari`atkan perkahwinan turut dihuraikan, iaitu antara lain memenuhi keperluan fitrah manusia, mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani, memelihara akhlak diri, dan memelihara kesejahteraan keturunan manusia.

Meskipun pandangan alam antara Islam dan barat begitu berbeza, namun dari sudut pentakrifan perkahwinan, kedua-duanya sama-sama mengiktiraf bahawa perkahwinan hanya berlaku antara seorang lelaki dengan wanita, dan bukan selainnya. Hal ini secara langsung menafikan “perkahwinan” antara sesama jenis atau jantina. Justeru itu, perjuangan golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual, dan transgender) untuk mendapatkan pengiktirafan undang-undang terhadap “perkahwinan” mereka kononnya atas dasar kesamaan (equality) adalah tidak berasas sama sekali. Ini disebabkan tindakan mereka jelas mencabuli dan mencemarkan maksud perkahwinan yang telah diterima dalam semua budaya serta tamadun dunia sejak sekian lama. Perjuangan golongan ini yang bersaskan fahaman liberalisme tidak menghairankan berlaku dalam masyarakat barat yang menolak atau meninggalkan agama. Hal yang demikian berlaku tidak lain kerana agama yang dianuti tidak mampu sama sekali untuk memberikan keyakinan, bimbingan dan panduan dalam kehidupan mereka.

Justeru itulah kita melihat prinsip moral, undang-undang, dan sebagainya tidak diasaskan pada agama. Sebaliknya ia berdasarkan pandangan sekular yang tidak memiliki asas yang tetap dan teguh, malah sentiasa sahaja berubah-ubah. Lantaran itu juga perjuangan mereka khususnya dalam tuntutan “hak” seperti “berkahwin” dan membina keluarga, bebas daripada amalan diskriminasi berasaskan orientasi seksual, selain “hak” terhadap privasi hanya berdasarkan pertimbangan akal dan kehendak yang dibimbing hawa nafsu semata-mata. Hujah yang diberikan terhadap tuntutan seumpama itu hanyalah disebabkan kedudukan dan kemuliaan mereka sebagai manusia. Namun hakikatnya, sebagaimana digambarkan sifatnya oleh al-Qur’an, hawa nafsu sentiasa sahaja mendorong manusia terjerumus dalam kejahatan, kekejian, dan kebinasaan. (Surah Yusuf 12 : 53).

BACA:  Bernikah Dengan Perempuan Hamil Akibat Zina. Apa Pandangan Islam?

Perjuangan golongan LGBT kelihatan memperoleh sokongan di beberapa buah negara tertentu, antaranya Belanda, negara terawal yang meluluskan perkahwinan sivil sesama jenis, iaitu pada tahun 2001. Undang-undang yang diluluskan itu memberikan hak, perlindungan, dan manfaat yang sama kepada pasangan sejenis yang terlibat, sebagaimana yang diberikan kepada perkahwinan heteroseksual, termasuklah hak pengambilan anak angkat. Langkah yang diambil Belanda disusuli Belgium pada tahun 2003, Kanada dan Sepanyol pada tahun 2005, Afrika Selatan pada tahun 2006, Norway dan Sweden pada tahun 2009, dan Portugal, Iceland, serta Argentina, ketiga-tiganya pada tahun 2010. Bersesuaian dengan gaya hidup golongan ini yang bersifat di luar tabi`e, maka kemudaratan yang dibawa olehnya juga bersifat di luar batasan atau melampaui kebiasaan. Selain penyakit-penyakit fizikal yang mengundang maut seperti sifilis, barah dubur, dan HIV, pengamal homoseksual sebagai contoh, berhadapan masalah tekanan mental yang tidak terkawal.

Satu kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa cubaan membunuh diri dalam kalangan kelompok ini adalah lima kali ganda lebih tinggi daripada kebiasaan. Penyelidik yang membuat kajian tentang puncanya mendapati bahawa dua pertiga daripadanya disebabkan putusnya hubungan dengan pasangan, dan bukannya tekanan daripada anggota masyarakat. Selain itu, kajian juga menunjukkan salah satu kesan buruk yang dialami oleh anak-anak kepada pasangan gay, lesbian, atau homoseksual ialah mereka memiliki potensi untuk menjalani gaya hidup luar tabi`e sebagaimana “ibu bapa” mereka selain terdedah kepada pelbagai bentuk penderaan seksual.

Perkahwinan sejenis bukan sahaja merupakan serangan yang bertujuan mencemarkan kesucian dan meruntuhkan institusi keluarga tetapi juga pada masa yang sama, mengundang pelbagai kemudaratan terhadap struktur masyarakat serta negara amnya. Kebiadaban, kegilaan, dan pencerobohan yang dilakukan mereka terhadap keutuhan institusi kekeluargaan dan kehidupan bermasyarakat perlu ditangani dengan tegas. Amat malang jika ada antara kita yang jahil dan terkeliru atau juga cuai dan leka, sedangkan mereka tidak pernah berhenti menyusun agenda dan bertindak dengan berani. Lihat sahaja kepada susulan larangan penganjuran Seksualiti Merdeka oleh NGO tempatan yang telah diadakan sejak 2008 bagi menuntut hak kesaksamaan gender serta mengiktiraf pengamal seks songsang seperti LGBT untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Larangan tersebut sama sekali tidak meninggalkan sebarang kesan, peringatan, mahupun pengajaran apatah lagi kesedaran terhadap pihak penganjur. Malah mereka telah mengambil tindakan susulan dengan memajukan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung dengan dakwaan diskriminasi terhadap golongan minoriti ini, dan mengheret negara untuk memberikan penjelasan terhadap penafian “hak” mereka.

BACA:  Inilah Antara Insan Yang Menerima Hidayah Setelah Mendalami Ilmu Sains

Penyertaan Malaysia dalam sesi persidangan ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia, PBB yang berlangsung mulai 5 Mac 2012 di Geneva, Switzerland merupakan sesuatu yang amat membimbangkan. Dengan meneliti tindak balas kumpulan yang memperjuangkan hak-hak LGBT memberikan kita kesimpulan bahawa ia pasti dijadikan landasan teguh untuk mengambil kesempatan demi merealisasikan cita-cita keji mereka. Hal ini khususnya melalui tekanan yang dikenakan terhadap Malaysia untuk tunduk terhadap apa yang kononnya dikatakan sebagai “international standards and laws”. Langkah seterusnya pula ialah mendesak negara membenarkan amalan orientasi seksual dan identiti gender yang songsang serta bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam, nilai tradisi masyarakat negara ini, dan semangat Perlembagaan Persekutuan. Bagi umat Islam, segala perkara yang menyelubungi kehidupan dan menimpa masyarakat barat seharusnya dijadikan sempadan dan pengajaran. Betapa apabila agama tidak lagi dijadikan panduan dalam membimbing diri, keluarga, dan masyarakat, kecelakaan jualah yang menjadi akibatnya.

Namun mengambil kira sikap masyarakat barat yang sentiasa gigih menyebarkan fahaman dan gaya hidup mereka kepada bangsa-bangsa lain, ia seharusnya mencetuskan kebimbangan besar bagi kita kerana umat Islam pastinya tidak terkecuali. Malah melihat kepada keadaan diri dan peribadi umat Islam hari ini sudah cukup membuktikan bahawa kegigihan usaha masyarakat barat menyebarkan dakyah, fahaman serta budaya hidup mereka telah pun menampakkan hasilnya. Sesungguhnya tiada jalan lain lagi yang dapat dijadikan perisai dan penawar bagi ummah melainkan keimanan yang teguh serta ilmu yang tersemat kukuh dalam jiwa. Dalam hubungan ini, tepat sekali apa yang digambarkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam serangkap pantun beliau (Risalah untuk Kaum Muslimin, 2001),”Muslim tergenggam belenggu kafir, akhirat luput, dunia tercicir, budaya jahil luas membanjir, banyak yang karam tiada tertaksir.”

Sumber

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!