≡ Menu

Lazimkan 7 Perkara Ini. Pahala Free Akan Mengalir Setiap Hari!


Pernah tak dengar orang bagi alasan sibuk sangat sampai lupa nak baca al quran? Sibuk sangat sampai tak sempat nak berbuat baik? Mesti pernah dengarkan?

Sebenarnya itu semua hanya alasan tau. Kita sebenarnya boleh melakukan sesuatu jika kita benar-benar ingin lakukannya.

Di sini ingin saya kongsikan kepada anda perkara mudah atau cara mudah yang anda boleh lakukan untuk meraih pahala disisi Allah.

Banyak amalan atau perbuatan yang mungkin tidak memerlukan usaha sampai anda kepenatan pun tapi dengan melakukannya anda akan mendapat pahala dan kebaikan dari Allah. Jom sama-sama kita baca satu persatu.

#1 – Niat Kerana Allah
“Sesungguhnya segala perbuatan itu tergantung kepada niat. Dan seseorang akan diberi ganjaran sesuai dengan niatnya”
Riwayat Muslim

Kita akan mendapat ganjaran sepertimana yang kita niatkan. Oleh itu, tetapkan dalam minda kita atau dalam hati kita untuk sentiasa niatkan apa sahaja yang ingin kita lakukan dengan niat kerana Allah.

Kadang-kadang setiap hari kita perlu mengemas rumah, memasak untuk keluarga di samping itu kita juga masih perlu bekerja sehingga kadang-kadang merasa kepenatan maka niat dan lakukanlah ianya kerana Allah. Anda boleh berniat di dalam hati contohnya;

“Ya Allah aku lakukan semua ini kerana Kamu, dan demi keselesaan ahli keluargaku. Rahmatilah dan permudahkanlah”

Dengan niat yang betul, Allah akan memberikan kemudahan kepada anda dalam melakukan kerja seharian. Anda juga akan memperoleh pahala dari Allah. Mudah sahaja kan?

#2 – Membaca Al Quran Walaupun Sehelai
Walaupun setiap hari kita disibukkan dalam menguruskan hal-hal seharian. Namun jangan lupa untuk tetap membaca al Quran walaupun hanya sehelai dalam sehari. Sekejab sahaja kan?

Contohnya anda boleh tetapkan masa yang anda terluang dalam setiap hari untuk membaca al Quran walaupun sehelai. Sekiranya anda pulanG dari kerja atau balik kuliah pada lewat petang, maka anda boleh tetapkan masa untuk membaca al quran itu setiap hari selepas maghrib.

Lazimkan diri kita untuk melakukan amalan yang baik walaupun dengan kadar yang sedikit tetapi amalan itu hendaklah dilakukan dengan berterusan.

Lagipun banyak manfaat dan pahala yang akan kita dapat dengan membaca al quran. Di dalam Hadis riwayat At-Tirmidzi ada menyebut;

“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu kebaikan dan satu kebaikan itu dilipatgandakan dengan sepuluh (pahala). Aku tidak mengatakan Alif laam miim adalah satu huruf akan tetapi alif satu huruf, laam satu huruf dan miin satu huruf”

Hadis lain tentang kelebihan al quran ialah;

“Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar al-quran dan mengajarkannya.
Hadis Riwayat Bukhari

Siapa kata susah nak dapat pahala?

#3 – Berdakwah Melalui Media Sosial
Dunia dah berkembang dan maju. Jadi sekarang ni senang sangat nak sampaikan dakwah. Antara caranya ialah kita boleh melakukan dakwah melalui media sosial.

Kita hanya perlu klik dan tekan hantar ataupun kongsi sahaja. Mungkin sahaja akan ada orang yang akan terkesan dengan apa yang kita kongsikan.

BACA:  Solat Sunat Tahajjud Yang Betul Dan Lengkap

Kadang pernah tak kita cuba imbas kembali diri kita, apakah kebaikan dari media sosial yang pernah kita sumbangkan untuk agama ini?

Adakah kita hanya menggunakan media sosial hanyalah sebagai keseronokan? Ataupun untuk membuat komen-komen yang negatif ataupun melemparkan kata-kata kesat kepada orang lain?

Kalau itu yang pernah kita lakukan sebelum ini, mari kita cuba ubah sedikit demi sedikit dengan berkongsi perkara yang memberi manfaat kepada orang lain.

Sambil-sambil berwhatsapp dengan rakan-rakan. Apakata update status whatsapp tentang agama? Senangkan?

Kita sendiri pun tahu bahawa banyak suruhan tentang dakwah yang Allah jelaskan di dalam Al- Quran;

“Kalian adalah umat terbaik yang diturunkan di kalangan manusia, kalian menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan kalian beriman kepada Allah”
Surah Ali-Imran:110

Klik dan kongsi sahaja sudah dapat pahalakan?

#4 – Mengambil Sampah Yang Berada Di Jalanan
Sambil kita berjalan-jalan kadang-kadang akan ada duri atau sampah yang kita ternampak atau tersepak ditengah jalan kan?

Apakah reaksi kita apabila ternampak sampah tu? Kita buat tak endah atau kita ambil dan tolong masukkan dalam tong sampah yang berdekatan?

Nak dapat pahala tak? Kalau nak dapat pahala apakata kita tunduk dan ambil sampah tu dan tolong buangkan dalam tong sampah. Allah dan Rasulullah SAW sangat suka orang yang menolong membuang halangan di jalanan. Rasulullah SAW bersabda;

“Ucapan yang baik adalah sedekah,setiap langkah yang engkau jalankan (ke masjid) untuk solat adalah sedekah dan engkau menyingkirkan gangguan dari jalan (sampah,kotoran dan selainnya) adalah sedekah”
Hadis Riwayat Muslim Dan Bukhari

“Apabila seseorang berjalan atas jalan,dia menjumpai ranting berduri lalu diambilnya (untuk dibuang), dan dia bersyukur kepada Allah dan Allah akan mengampunkannya”
Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari

Sambil-sambil berjalan pun boleh dapat pahala.

#5 – Menyapa Dan Senyum Apabila Berjumpa Seseorang
Setiap hari kita akan berjumpa dan bertemu dengan ramai orang. Jadi apa kata kita guna peluang tersebut untuk menyapa dan memberikan senyuman kepada orang lain?

Apa perasaan kita apabila kita berjumpa dengan orang lain dan mereka menunjukkan muka yang masam? Mesti kita rasa muram dan tidak selesakan?

Jadi dengan memberikan senyuman dan menyapa dengan mesra, kita akan mampu membuat orang lain gembira dan tersenyum. Di samping itu kita juga akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan orang di sekeliling kita. Di dalam hadis dari Abu Dzar r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda;

“Senyummu di hadapan saudaramu (sesama muslim) adalah (bernilai) sedekah bagimu”
Hadis riwayat Tirmidzi Dan Ibnu Hibban

Senyuman yang kita lontarkan kepada orang lain sesama muslim merupakan salah satu sedekah yang akan memberi nilai pahala disisi Allah.

Walaupun senyuman ini mungkin nampak kecil, namun ianya memberi kebaikan kepada kita. Di dalam hadis lain pula Rasulullah SAW bersabda;

BACA:  Dr Perubatan Islam Dari Amerika Membuktikan Bacaan Al-Quran Boleh Menyembuhkan Penyakit

“Janganlah kamu meremehkan kebaikan sekecil apa pun, sekalipun itu hanya bermuka manis saat berjumpa saudaramu”

#6 – Memanggil Seseorang Dengan Nama Yang Baik
Salah satu perkara mudah lain yang boleh dilakukan untuk meraih pahala ialah dengan memanggil seseorang dengan nama yang baik.

Selalu sahaja kita memanggil orang lain dengan nama yang tidak mempunyai maksud dan lebih teruk lagi sekiranya nama yang kita panggil itu merendahkan diri mereka dan mereka rasa terhina dengannya.

Oleh itu, biasakan diri kita dengan memanggil seseorang dengan nama yang baik. Di dalam, Allah berfirman yang bermaksud;

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu kelompok laki-laki merendahkan kelompok yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula satu kelompok perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik, dan janganlah mencela dirimu sendiri serta jangan memanggil dengan panggilan yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah dia beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Surah Al Hujurat:11

Ayat ini juga menjelaskan bahawa pentingnya untuk kita memanggil seseorang dengan nama yang baik dan Allah juga memberi peringatan untuk menghalang kita untuk memanggil seseorang dengan nama yang buruk.

#7 – Berbuat Baik Kepada Semua Orang
Sesungguhnya Allah telah menetapkan perbuatan baik (ihsan) atas segala sesuatu. Jika kalian membunuh maka berlakulah baik dalam hal tersebut. Jika kalian menyembelih berlakulah baik dalam hal itu, hendaklah kalian mengasah pisaunya dan menyenangkan haiwan sembelihannya
Hadis riwayat Muslim

Di dalam hadis di atas ianya menerangkan kepada kita bahawa amat penting untuk sentiasa melakukan kebaikan dalam semua hal. Banyak contoh perkara baik yang boleh kita lakukan dalam seharian.

Jika kita seorang pelajar, kita boleh melakukan kebaikan dengan menolong guru-guru kita. Jika kita seorang pekerja kita mungkin boleh melakukan kebaikan dengan amanah dalam kerja yang kita lakukan.

Memasak dan memberi makanan kepada jiran pun dikira perbuatan baik tau ! lakukan amalan baik itu sekadar kemampuan kita. Allah tidak akan mensia-siakan segala amalan baik yang kita lakukan.

Mungkin sahaja amalan baik ini yang kita nampak kecil di mata kita, tetapi ianya mampu menempah tiket kita untuk ke syurga kelak.

“Setiap perbuatan baik itu adalah sedekah. Dan setiap sedekah itu ada nilainya disisi Allah.”
Hadis Riwayat Muslim

Akhir kata, Mesti anda rasa nak buat baik sekarang kan? Mudahnya nak buat baik kan?

Seperti yang saya katakan pada awalnya kita sebenarnya sentiasa berpeluang untuk melakukan kebaikan walau sesibuk manapun kita.

Sentiasa akan ada ruang untuk kita melakukan sesuatu sekiranya kita benar-benar ingin melakukannya.

Semoga cara-cara mudah meraih pahala yang saya kongsikan dapat kita amalkan serba sedikit untuk memperoleh pahala di sisiNya. Jangan lupa untuk berbuat baik ya?

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!