≡ Menu

Jangan Sesekali Tampar Anak. Bahaya Tau Tak?


Apabila mana-mana pesakit atau kanak-kanak mengalami trauma akibat hentakan, kecederaan atau terjatuh di mana-mana dan ianya melibatkan kawasan di sekitar muka, kepala dan telinga, sudah tentunya ia boleh mengakibatkan kecederaan kepada sturktur di dalam telinga juga. Perkara seperti ini tidak boleh sama sekali dibiarkan begitu sahaja. Mengapa? Saya akan jelaskan satu persatu.

Apabila saya mendapat kes rujukan yang melibatkan masalah pendengaran akibat kecederaan seperti ditampar atau terjatuh, perkara pertama perlu dilakukan adalah bertanya kepada pesakit, “bagaimana pendengaran mereka? Adakah ada perbezaan sebelum dan selepas insiden berlaku?”

Ini penting bagi doktor mengenal pasti sama ada kecederaan yang dialami telah memberi kesan kepada pendengaran pesakit atau pun tidak.

Saya berasa amat sedih kerana ada juga di antara ibu bapa dan pesakit sendiri yang mengambil remeh perkara seperti ini. Ada kes di mana kejadian sepeti ini berlaku selama berminggu-minggu sehingga ada yang berbulan-bulan lamanya sebelum mereka membawa berjumpa doktor. Ia sudah terlambat!

Berjumpa pakar perubatan

Sekiranya pesakit mengadu masalah pendengaran selepas ditampar, mengalami kemalangan, terjatuh dan sebagainya, maka beberapa struktur di dalam telinga perlu diperiksa oleh doktor untuk mengenal pasti apa-apa kecederaan yang berlaku. Ada kecederaan yang hanya melibatkan bahagian luar sahaja, dan tidak melibatkan organ di bahagian lebih dalam.

Saya akan menggunakan alat seperti otoscope untuk memeriksa dengan lebih terperinci apa masalah yang ada pada dalam telinga pesakit. Selain daripada kecederaan di bahagian luar, trauma serta kecederaan yang kuat juga boleh mengakibatkan luka pada salur luar telinga pesakit. Darah yang terkumpul di kawasan ini boleh mengeras dan akhirnya mengakibatkan pesakit berasa tidak dengar. Ini amat membimbangkan pesakit. Bahkan untuk kes yang lebih teruk, ia boleh mengakibatkan kebocoran kepada gegendang telinga pesakit!

BACA:  Islam Melarang Merampas Suami/Isteri Orang! Awas

Kenal pasti kesan tamparan

Ada beberapa keadaan di mana ibu bapa boleh mengenalpasti bahawa kesan tamparan mungkin telah menyebabkan kebocoran dan luka pada gegendang telinga pesakit.

Lihat beberapa keadaan ini :

  1. Pesakit mengalami kurang pendengaran selepas kejadian berlaku. Ada pesakit mungkin mengalami telinga seperti ‘block’ atau berdesing tanpa henti.
  2. Cecair yang keluar daripada salur telinga. Dimulai dengan darah akibat luka yang berlaku. Apabila jangkitan berlaku dan tidak mendapat rawatan sewajarnya bersama doktor, ia boleh mengakibatkan cecair seperti kekuningan selepas beberapa minggu kemudiannya.
    Apa pula kesannya kepada anak-anak? Adakah ia boleh memberi outcome negatif kepada mereka? Ini yang amat membimbangkan saya, kerana ia bukan sahaja memberi kesan untuk jangka masa pendek, tetapi boleh juga memberi impak yang buruk untuk masa yang akan datang. Ia boleh memberi masalah untuk jangka masa panjang!

Untuk kes yang tidak mendapat rawatan serta pemeriksaan awal bersama doktor, ia boleh menyebakan kes ini terbiar begitu sahaja ‘neglected case’. Pesakit atau ibu bapa sendiri mungkin juga tidak mengetahui bahawa anak mereka sebenarnya mengalami masalah pendengaran. Da juga kes di mana pesakit itu sendiri tidak menyedarinya atau mungkin mereka sedar tetapi terlalu takut untuk memberitahu kepada ibu bapa.

Implikasi kepada anak

Sedarlah ibu-ibu dan bapa-bapa semua, jika masalah ini tidak ditangani awal dan sebenarnya anak kita sedang mengalami masalah kebocoran pada gegendang telinga, ia akan boleh mengganggu pembelajaran dan perkembangan akademik anak-anak kita.

BACA:  Keliru, Bagaimana Membezakan Istidraj Dan Kurniaan Allah? Jom Muhasabah Diri

Lihat beberapa implikasi buruk yang boleh berlaku:

  1. Anak-anak yang mengalami masalah pendengaran tidak akan dapat menumpukan perhatian penuh di dalam kelas. Cenderung untuk memandang mudah apa yang diberitahu semasa sesi pembelajaran. Bukan kerana mereka malas, tetapi mereka sukar untuk menangkap kesemua yang diajar di kelas.
  2. Pesakit juga akan kerap mengalami masalah jangkitan pada telinga. Setiap minggu atau setiap hari pasti ada cecair keluar daripada telinga. Ada kalanya mengeluarkan bau yang busuk apabila jangkitan telah berlaku. Mengapa ini berlaku? Ini boleh berlaku apabila anak mengalami kebocoran pada gegendang telinga dan mudah mengalami jangkitan pada telinga luar dan bahagian tengah.
  3. Akibat masalah jangkitan pada telinga, kerap juga mengalami selesema dan demam, anak-anak lebih kerap jatuh sakit dan tidak dapat hadir ke sekolah. Untuk jangka masa panjang ia akan memberi kesan tidak baik kepada akademik anak-anak kita.

Oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin, perkara-perkara seperti ini amat perlu diberi perhatian oleh kita. Bukan untuk kita sahaja, tetapi apa yang lebih penting ialah demi masa depan anak-anak kita. Jika anak-anak kita mengalami apa-apa kecederaan di kawasan muka, kepala dan telinga, perhatikan beberapa simptom yang saya sebutkan sebelum ini. Segala masalah akan lebih mudah ditangani jika dikenal pasti pada peringkat awal.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel