≡ Menu

Jangan Pakai Sudu Semasa Beri Ubat Kepada Anak! Ini Sebabnya


Berbeza dengan orang dewasa, kanak-kanak biasanya akan diberikan ubat-ubatan jenis cecair sekiranya mereka menghidapi penyakit. Oleh itu, kebanyakan daripada kita pasti akan menggunakan sudu untuk menyuapkan ubat kepada anak-anak.

Akan tetapi, tanpa kita sedari tindakan itu berkemungkinan besar membawa kesan buruk kepada anak kecil kerana dos yang diberikan berkemungkinan besar tidak betul atau terlebih.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkara ini, mari kita ikuti penerangan yang dibuat oleh pihak Hello Doktor mengenainya.

Menurut kajian terkini, penggunaan sudu yang tidak tepat saiz untuk mengukur ubat cecair akan menyebabkan kesukaran menentukan dos.

Ini kerana amaun ubat cecair yang dituang ke dalam sudu akan bergantung kepada saiz sudu tersebut lalu mengakibatkan terlebih dos. Ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui mengapa sepatutnya kita jangan guna sudu untuk beri ubat kepada anak.

Jangan guna sudu, ia tidak tepat
Adakah anda menggunakan sudu untuk mengukur ubat cecair?
Pernahkah anda tertanya-tanya pada diri anda sebenarnya boleh atau tidak menggunakan sudu untuk mengukur dos ubat cecair? Kebanyakan ibu bapa pasti pernah menggunakan cara ini terutamanya ketika memberi anak ubat batuk atau selesema jenis cecair. Dan ketika itu, anda mungkin menganggap ia adalah normal. Namun demikian, kajian ini mungkin akan mengubah persepsi anda. Sebaiknya, jangan guna sudu untuk beri anak ubat.

BACA:  Awas 5 Tanda Anak Mula Menjadi Bos Kepada Ibu Dan Ayah!

Dalam kajian yang dijalankan untuk melihat cara ibu bapa mengukur ubat cecair, para pengkaji mendapati bahawa 39% daripada ibu bapa salah mengukur dos ubat yang mereka mahukan dan 41% lagi salah mengukur ubat yang doktor preskripsikan. Selain itu, ibu bapa yang menggunakan sudu untuk mengukur ubat juga cenderung tersalah dos sebanyak 2 hingga 3 kali dan tidak mengikut preskripsi doktor sebanyak 1 hingga 9 kali.

Kesan jangka masa panjang guna sudu untuk beri anak ubat
Dalam kajian terbaharu, seramai 200 individu dinilai. Mereka diminta untuk menuang 5 ml dos ubat selesema – bersamaan 1 sudu teh, ke dalam sudu yang pelbagai saiz. Kemudian, mereka akan ditanyakan sama ada mereka yakin atau tidak dengan ubat yang telah dituang tersebut.

Keputusannya, sebanyak 11,6% kes terlebih dos berlaku pada sudu yang bersaiz besar dan 8,4% kes yang menggunakan sudu bersaiz sederhana pula terkurang dos. Ia masih berlaku walaupun individu tersebut sudah amat yakin mengenai dos ubat yang dituang mereka.

BACA:  Tolong Jangan Jadi 4 Jenis Pelanggan Seperti Ini. Buat Malu Je

Menurut Dr. Ian Paul yang merupakan seorang pensyarah Jabatan Ubat dan Kanak-kanak di Penn State College, Amerika Syarikat, amaun ubat yang dituang ke dalam sudu memang tidak akan tepat. Ketidaktepatan dos ini akan membuat kanak-kanak lebih berisiko terlebih dos atau terkurang dos ubat. Ini kerana setiap ubat yang dipreskripsikan adalah berdasarkan kepada berat badan, kondisi kesihatan dan umur kanak-kanak.

Kanak-kanak juga adalah lebih sensitif berbanding individu dewasa. Oleh itu, sebarang kesilapan dalam dos ubat boleh mengundang kepada masalah kesihatan yang serius seperti kes keracunan ubat yang pernah terjadi akibat salah dos ubat.

Apa yang ibu bapa perlu buat?
Untuk lebih yakin dan selamat apabila memberikan ubat kepada anak, jangan guna sudu. Sebaliknya, guna tutup botol pengukur atau picagari untuk mengukur dos ubat. Atau, anda juga boleh meminta kepada doktor sudu yang telah dicipta khas untuk mengukur dos ubat. Selain itu, anda juga boleh meminta doktor menukar arahan ketika memberi anak ubat daripada penggunaan sudu kepada penggunaan ukuran ml untuk mengelakkan kesalahan dalam pemberian dos ubat kepada anak.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel