≡ Menu

Inilah Senarai Amalan Sunnah Yang Dilakukan Ketika Menimang Cahaya Mata!


“Alhamdulillah, terima kasih Allah”. Ucapan tersebut adalah biasa bagi mereka yang melalui pengalaman bersalin dan melahirkan anak. Sungguhpun begitu, tahukah anda dalam Islam, kita digalakkan untuk berdoa dengan ucapan tahniah seperti berikut kepada mereka yang baru sahaja memperolehi anak atau zuriat, iaitu;

بَارَكَ اللَّهُ لَك فِي الْمَوْهُوبِ لَك وَشَكَرْت الْوَاهِبَ وَبَلَغَ أَشَدَّهُ وَرُزِقَتْ بِرَّهُ

Dalam sebutan rumi: “Barakallahulaka filmauhubi laka, wa syakartal wahiba, wa balagha asyuddahu, wa ruziqta birruhu”

Bermaksud: “Semoga Allah memberkatimu dengan kelahiran anak ini dan engkau pula mensyukuri Pemberinya. Semoga dia (anak ini) dipelihara hingga dewasa dan engkau mendapat layanan yang baik dari anak ini.”

Selepas melahirkan anak, apakah perkara lain yang patut dilakukan oleh ibu bapa tersebut? Berikut merupakan beberapa amalan sunnah selepas kelahiran bayi dan cara menyambut kelahiran bayi dalam Islam.

Azan dan Iqamah
Sebaik bayi selamat dilahirkan, bapa kepada bayi tersebut disunatkan untuk memperdengarkan bacaan azan di telinga kanan dan iqamah di telinga kiri. Perkara ini disyariatkan supaya kalimah pertama yang didengar oleh bayi itu adalah kalimah kebesaran kepada Allah SWT.

BACA:  Panduan Lengkap Solat Dhuha Berserta Bacaan Setiap Rakaat Dan Doa! Ayuh Amalkan

Bertahnik
Bertahnik bermaksud ‘membelah’ mulut bayi yang baru dilahirkan iaitu dengan memasukkan manisan seperti kurma yang telah dihancur dan dilumatkan. Jika tiada tamar, boleh juga gantikan dengan apa jua makanan lembut yang manis seperti madu.

Sebaiknya, tahnik bayi ini dilakukan oleh orang-orang soleh, supaya aliran barakah mengalir ke tubuh si bayi. Adapun, bapa bayi juga boleh melakukan tahnik. Hikmah bertahnik ialah untuk menguatkan urat mulut bayi serta menggalakkan bayi untuk meminum susu ibu.

Bercukur rambut
Disunatkan untuk mencukur kepala bayi keseluruhannya pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian, rambut tersebut ditimbang dan disedekahkan nilai beratnya kepada fakir miskin.

Kesilapan masyarakat hari ini ialah mereka ‘mencukur jambul’, iaitu hanya memotong sebahagian sahaja rambut di hujung kepala bayi tersebut. Sebenarnya, untuk mengikut sunnah, bayi tersebut perlulah dicukur keseluruhan rambutnya.

Memberikan Nama
Nama adalah penting bagi seseorang. Ini kerana, nama itulah yang akan ‘melekat’ pada dirinya hingga akhir hayatnya. Panggilan nama itu juga merupakan satu doa buat seseorang. Oleh itu, berikanlah nama-nama yang baik untuk anak yang baru dilahirkan. Boleh rujuk mana-mana buku di pasaran untuk pemilihan nama anak yang baik.

BACA:  Elakkan 5 Jenis Makanan Ini Dalam Diet. Kerana Ia Menggalakkan Proses Penuaan

Aqiqah
Jika berkemampuan, buatlah majlis aqiqah pada hari ketujuh selepas kelahiran dengan menjemput saudara mara atau kenalan. Bagi bayi lelaki, disunatkan untuk mengaqiqah dua ekor kambing manakala bagi bayi perempuan, cukup hanya seekor kambing. Bagi yang kurang berkemampuan, aqiqah boleh dilewatkan sehingga mencapai usia dewasa.

Khitan/Sunat
Setiap bayi umat Islam, perlu dikhitan atau disunatkan. Bagi anak perempuan, khitan perlu dilakukan sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh kelahiran. Adapun, bagi anak lelaki masa berkhitan pula sekitar usia 7-12 tahun. Hikmahnya adalah sebagai tanda kesucian seseorang Muslim.

Semoga perkongsian ini dapat membantu para ibu bapa terutamanya mereka yang pertama kali menyambut kelahiran bayi dan menjadi ibu bapa pada usia yang muda. Mudah-mudahan, anak yang dilahirkan itu dapat dididik dengan acuan Islam seterusnya menjadi penyejuk mata dan penyeri rumahtangga yang dibina.

 

Sumber

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel