≡ Menu

Ingatkan Perbuatan “Membawang” Itu Hanya Merosakkan Amalan Dan Perangai, Rupa-Rupanya Ada Juga Masalah Kesihatan!


Menurut islam, segala amalan yang dilakukan pada bulan yang mulia ini dijanjikan bakal dilipat gandakan. Di bulan ramadan ini juga, orang islam digalakkan untuk berkejaran melakukan amalan kebaikan kerana ianya adalah peluang yang diberi oleh sang pencipta kepada manusia untuk mengumpul pahala.

Justeru daripada itu, perbuatan yang tidak baik serta berta bercanggah dengan agama haruslah dielakkan. kita digalakkan untuk mengelak daripada bukan sahaja perkara-perkara yang boleh jatuh kepada dosa besar, malahan juga dosa-dosa kecil.

Antara dosa-dosa kecil yang gemar atau pun selalu terlepas pandang oleh sesetengah daripada masyarakat kita ialah bergosip yang juga dikenali sebagai bahasa kini “membawang”.

Tahukah anda, perbuatan membawang ini bukan sahaja tidak baik di sisi agama. Malah, ianya juga tidak bagus dilakukan dari aspek kesihatan. Nak tahu apakah kesan membawang kepada kesihatan?

Ikuti perkongsian yang dikongsi oleh Hello Doktor tentang kesan membawang dari aspek kesihatan.

Setelah sekian lama menanti, akhirnya Ramadan kembali lagi. Bulan mulia ini adalah bulan yang paling ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seantero dunia kerana keberkatan dan kerahmatan yang dibawa bersamanya. Ini adalah waktu yang paling sesuai untuk lebih kuat beribadat, bukannya lebih giat mengumpat. Sebaiknya, tegah diri anda dari membawang di bulan Ramadan yang mulia ini.

Awas, Jangan Membawang Di Bulan Ramadan!
Perhatikan sahaja sekeliling anda, tidak kira di pejabat, sekolah, pusat beli-belah bahkan di bazar Ramadan sekalipun, aktiviti ‘membawang’ berlangsung di mana-mana. Kini, ia lebih meluas ekoran kehadiran dan kemudahan media sosial. Buka sahaja aplikasi tersebut, sudah pasti anda akan terbaca gosip sohor terkini artis, kisah dalam kelambu selebriti atau kemelut penipuan ahli politik yang kadangkala tidak dicari oleh kita sekalipun.

BACA:  Tak Salah Nak Pakai Baju Mahal-Mahal, Tapi Jangan Sampai...

Rasanya tidak sah dalam sehari jika kita tidak terdengar pertanyaan berbunyi “eh, awak nak tahu tak…?’’ atau pernyataan yang lengkap dengan kata nama dan kata kerja umpatan seperti “si polan itu…”, “si milah ini…’’. Apa-apa sahaja perbualan yang melibatkan keburukan individu yang tidak berada di situ, itu sudah boleh dianggap sebagai ‘membawang’. Tanpa mengira penutur atau pendengar gosip tersebut, kedua-duanya adalah perbuatan yang sia-sia.

Ini sama sekali perbuatan yang negatif kerana ia adalah salah dan keji jika dilihat dari aspek agama malahan, akan mendatangkan mudarat terhadap kesihatan kita.

Keburukan ‘membawang’ dari aspek agama
Tentu sekali, ia adalah perlakuan yang berdosa malahan boleh membatalkan pahala puasa anda. Sia-sia sahaja menahan lapar, dahaga dan penat sepanjang hari, bukan? Ya, mungkin disebabkan masa senggang yang terlalu banyak kerana tidak perlu makan dan minum dan kebosanan kerana tidak banyak aktiviti boleh dilakukan membuatkan anda lebih banyak berbual kosong bersama teman anda. Berbual kosong adalah tidak salah asalkan anda tidak ‘membawang’.

Anda perlu tahu bahawa berpuasa bukan sahaja dilakukan untuk merehatkan perut, malahan mata, telinga dan lidah juga perlu diberi cuti. Jika anda terfikir untuk mengajak atau diajak teman anda untuk ‘membawang’, segera katakan tidak pada mereka dan beredar dari situ. Daripada menghabiskan masa mengeringkan tekak dan air liur untuk bercakap perkara sia-sia, apa kata anda melakukan perkara ibadat seperti membaca al-Quran. Sudah tentu mendapat pahala, bukan?

Keburukan ‘membawang’ terhadap kesihatan
Bukan sahaja mendapat dosa, ‘membawang’ juga sebenarnya akan menyebabkan anda mendapat sakit. Tidak masuk akal jika hendak difikirkan secara logik, bukan? Namun kebenarannya, ‘membawang’ memang boleh mendatangkan sakit, terutamanya pada aspek mental anda.

BACA:  5 Cara Nak Alih Perhatian Suami Daripada Asyik Menghadap Telefon Bimbit

Bayangkan, cerita-cerita buruk yang kadang-kadang direka itu adalah mengenai diri anda dan ia telah tersebar pada satu komuniti anda diami. Sudah tentu anda akan sakit hati, bukan? Kesannya, boleh terjadi serta-merta atau pada jangka masa yang panjang. Ia pasti akan mencalarkan emosi dan merosakkan mood anda lebih-lebih lagi jika cerita tersebut adalah tidak benar. Setiap kali cerita tersebut muncul semula atau mempunyai episod bersinambung seakan telenovela, luka dalam hati anda pasti akan berdarah kembali.

Selain itu, ‘membawang’ akan menyebabkan kondisi kesihatan yang lebih berat kepada individu jika mereka tidak mampu untuk menghadapinya. Antara kondisi yang mungkin dihadapi mereka yang menjadi mangsa ini termasuklah:

Keletihan
Kegelisahan
Depresi
Serangan panik
Paling bahaya, ia mungkin akan mengakibatkan individu itu hilang keyakinan diri untuk meneruskan kehidupan lalu mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Konklusinya?
Jadi, anda masih mahu ‘membawang’? Buat anda yang mungkin masih belum sedar, ketahuilah bahawa aktiviti yang salah dan keji ini adalah sangat dibenci oleh tuhan pencipta kita, Allah S.W.T. dan telah banyak kali ditegah dan dipesan oleh nabi junjungan kita, Muhammad S.A.W. untuk kita menjauhkan diri daripadanya.

Bukan itu sahaja, ‘membawang’ juga mampu memberi mudarat yang teruk terhadap kesihatan kita. Sebaiknya, ayuh kita semua sama-sama muhasabah diri dan melebihkan ibadat sempena meraikan kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!