≡ Menu

Imam Diam Selepas Al-Fatihah. Apakah Hukumnya? Mari Baca


Soalan:

Assalamualaikum, adakah seorang imam itu perlu diam seketika antara bacaan al-fatihah dan bacaan surah di dalam solat bagi memberi peluang kepada makmum untuk menghabiskan bacaan Al-Fatihah ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berkenaan isu hukum membaca Al-Fatihah bagi makmum, kami cenderung kepada pendapat yang mewajibkan makmum membaca Al-Fatihah di dalam solat. Iaitu tidak boleh berpada dengan bacaan Al-Fatihah imam semata-mata. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin Al-Somit bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: Tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak membaca surah Al-Fatihah.

Riwayat Al-Bukhari (756)

Dari sudut pandang ilmu usul feqh, perkataan لاَ di dalam hadis di atas adalah la al-naafiyah yang menunjukkan kepada penafian. Dalam konteks di atas, ia menafikan kesahihan solat seseorang yang tidak membaca surah Al-Fatihah.

Manakala lafaz مَنْ adalah antara lafaz yang membawa kepada makna umum. Ini bererti, kewajipan membaca Al-Fatihah itu adalah umum dalam meliputi mereka yang solat sama ada imam ataupun makmum.

Kerana itulah Imam Al-Nawawi berkata:

وَاَلَّذِي عَلَيْهِ جُمْهُورُ الْمُسْلِمِينَ الْقِرَاءَةُ خَلْفَ الْإِمَامِ فِي السِّرِّيَّةِ وَالْجَهْرِيَّةِ

Maksudnya: Jumhur umat Islam berpendapat wajib membaca Al-Fatihah di belakang imam sama ada pada solat sirr (perlahan) atau jahr (kuat).

BACA:  Kalau Dulu, Marah Sekali Pun Dah Cukup, Sekarang,Anak-Anak Bukan Main Lagi Menjawab

Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/365)

Makmum Perlu Membaca Al-Fatihah Serentak Dengan Imam Atau Mendengar ?

Dalam isu ini, para fuqaha berbeza pendapat tentang hukumnya. Namun jika dilihat kepada zahir ayat al-Quran, Allah S.W.T berfirman:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: Dan apabila dibacakan al-Quran, hendaklah kamu mendengarnya (dengan teliti) dan diamlah kamu, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.

Surah Al-A’raaf (204)

Dalam ayat di atas, terdapatnya perintah untuk mendengar Al-Quran dengan teliti apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran kepada kita. Justeru bagi yang ingin mengikuti perbahasan lanjut isu ini, bolehlah melihat kepada Al-Kafi siri ke- 870 di pautan berikut https://bit.ly/2MdJvOx

Imam Diam Seketika Selepas Baca Al-Fatihah

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami kongsikan pendapat Imam Al-Nawawi dalam isu ini. Beliau berkata: ‘’Pendapat yang sahih adalah, disunatkan bagi seorang imam dalam keadaan ini (sesudah membaca Al-Fatihah) untuk menyibukkan dirinya dengan zikir dan juga doa. Ataupun dia membaca ayat-ayat Al-Quran secara perlahan, kerana itulah tempatnya’’.

Pendapat ini bertujuan untuk memberikan ruang kepada makmum di belakang untuk menyelesaikan bacaan Al-Fatihah mereka.

Imam Al-Nawawi ketika menyatakan bahawa imam disunatkan untuk membaca zikir atau ayat Al-Quran secara perlahan sesudah membaca Al-Fatihah berhujah dengan katanya: ‘’Diam sesudah Al-Fatihah tidak menafikan sebarang pembacaan. Ini seperti sesudah takbiratul ihram kita disunatkan untuk membaca doa istiftah’’.

Imam Al-Nawawi mengulas: Dinamakan sebagai sukut (diam) meskipun berlaku pembacaan pada ketika itu. Lalu beliau kongsikan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W ditanyakan:

BACA:  8 Nasihat Rasulullah S.A.W Buat Anda Yang Bergelar Suami

مَا تَقُولُ فِي سُكُوتِكَ بَيْنَ التَّكْبِيرِ وَالْقِرَاءَةِ قَالَ أَقُولُ اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَاىَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنْ خَطَايَاىَ كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ اللَّهُمَّ اغْسِلْنِي مِنْ خَطَايَاىَ بِالثَّلْجِ وَالْمَاءِ وَالْبَرَدِ

Maksudnya: Apakah yang kamu baca dalam diam kamu antara takbir dengan bacaan (Al-Fatihah) ? Lalu baginda menjawab: Aku membaca ‘’Ya Allah jauhkanlah antara diriku dengan dosa-dosa ku sebagaimana Kau telah menjauhkan antara timur dan juga barat. Ya Allah Kau bersihkan lah aku dari dosa-dosaku sebagaimana dibersihkan pakaian yang putih dari kotoran. Ya Allah Kau basuhlah dosa-dosaku dengan salji, air, dan juga embun (kesejukan)’’.

Riwayat Al-Nasaie (60)

Ini menunjukkan bahawa Imam Al-Nawawi menggunakan dalil qiyas dalam permasalahan di atas. Justeru, beliau mengatakan bahawa sunat bagi imam untuk diam seketika selepas membaca Al-Fatihah supaya makmum ada ruang untuk menyelesaikan bacaan Al-Fatihah mereka. Manakala diamnya imam pada ketika itu diisi dengan zikir, doa, ataupun bacaan Al-Quran secara perlahan.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa seorang imam itu boleh sahaja untuk meneruskan bacaan Al-Quran selepas selesai membaca Al-Fatihah sekiranya bacaan Al-Quran itu panjang. Namun jika imam ingin membaca surah-surah lazim yang pendek selepas Al Fatihah, dia disunatkan untuk diam seketika selepas Al-Fatihah agar memberi ruang kepada makmum untuk menyelesaikan bacaan Al-Fatihah mereka. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!