≡ Menu

Ikuti Formula 5S Untuk Meraih Syafaat Rasulullah Di Hari Akhirat Kelak


 

Ketidaksempurnaan amalan dan dosa yang dilakukan sepanjang kehidupan, akan membawa manusia kepada keadaan yang sukar di Mahsyar.

Ketika itulah kita mengharapkan syafaat Rasulullah SAW untuk melepaskan diri daripada kekalutan Mahsyar dan seksaan neraka.

Bagaimanapun dengan kelompongan dalam amalan kita, bagaimanakah untuk kita memastikan diri tergolong sebagai mereka yang berkesempatan menerima syafaat daripada Baginda?

Pendakwah bebas, Halim Hafidz, menggariskan lima formula yang boleh dijadikan rutin sebagai usaha untuk meraih keistimewaan syafaat Rasulullah SAW.

Halim berkata, formula 5S itu dimulai dengan amalan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang kepentingannya disebut dalam firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” (Al-Ahzab: 56)

Menurut Halim, berbeza dengan suruhan-Nya yang lain, perintah selawat tidak hanya disebut, bahkan dilakukan Allah SWT, sekali gus menggambarkan ‘tingkat’ kepentingannya.

“Allah SWT memerintahkan kita untuk solat, zakat, haji dan berpuasa tetapi Tuhan tidak melakukannya.

“Bagaimanapun apabila Allah SWT mengarahkan kita berselawat kepada Rasulullah SAW, perintah itu dimulakan dengan Tuhan sendiri berselawat kepada Baginda,” katanya kepada BH di sini.

Halim berkata, kelebihan selawat itu bukan saja akan memudahkan umat manusia menemui ‘jalan’ memperoleh syafaat di Mahsyar, bahkan akan diberi balasan 10 kali ganda oleh Allah SWT.

“Sekali kita selawat, Allah SWT akan membalas semula dengan berselawat kepada kita sebanyak 10 kali, manakala Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Orang yang rapat denganku di syurga nanti adalah yang banyak berselawat’,” katanya.

BACA:  Jangan Buang Uncang Teh. Gatal-Gatal Kerana Gigitan Serangga Boleh Hilang Sekelip Mata

Beliau berkata, 5S kedua ialah amalan memberi salam ke atas Baginda yang boleh dilakukan di mana-mana saja pada apa waktu sekalipun.

“Saya pernah ditegur seorang sheikh kerana banyak selawat tetapi tidak memberi salam kepada Rasulullah SAW.

“Bagaimanapun dalam amalan biasa kita, salam buat Rasululullah SAW hanya dikirim kepada mereka yang bakal mengunjungi makam Baginda sedangkan lafaz ‘Assalamualaikum Ya Rasulullah’ boleh dilakukan pada bila-bila masa.

“Ia boleh diucapkan selepas bangun tidur atau ketika berada di hutan dan lautan,” katanya.

Halim mengakui penerimaan amalan memberi salam tidak begitu meluas seperti amalan selawat sedangkan gabungan salam dan selawat baik untuk dibudayakan dalam kehidupan seharian.

Seperti perumpamaan tak kenal maka tak cinta, formula ketiga adalah menekankan kepentingan menguasai sirah Nabi Muhammad SAW untuk menanam rasa cinta mendalam kepada tokoh agung itu.

Melalui sirahnya, Halim berkata, umat Islam berpeluang meneladani akhlak Rasulullah dalam setiap perkara hingga dapat melihat bagaimana Baginda mendepani setiap situasi, selain mengikuti akhlaknya ketika berdepan dengan musuh.

Halim berkata, kita sering mengambil jalan mudah dengan melawan kekerasan menggunakan kekerasan sedangkan pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW itu membolehkan kita menyedari kelembutan Baginda.

“Daripada melawan sengketa dengan sengketa, mengapa tidak kita mencontohi akhlak ketika berdepan dengan musuh apabila Baginda sedar dibenci termasuk dibaling dengan najis setiap hari.

“Bagaimanapun Rasulullah SAW tidak sekali melawan dengan cara kekerasan malah menziarahinya yang jatuh sakit hingga individu itu akhirnya memeluk agama Islam,” katanya.

BACA:  Bahaya Marathon Dengan Stroller: Si Manja Mungkin Terdedah Kepada...

Halim juga menganjurkan umat Islam mengikuti setiap sunnah Rasululah daripada sekecil-kecil hinggalah perihal besar termasuk memerintah negara.

“Sunnah ini terlalu banyak untuk dikira tetapi setiap apa yang dilakukan Baginda akan membawa manfaat untuk dicontohi dan mendekatkan kita hingga memperoleh syafaat nanti,” katanya.

Halim berkata, umat Islam juga perlu menyuburkan ingatan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW termasuk dengan sentiasa menyebut nama dan mengaitkan Baginda dalam setiap apa yang dilihat dalam kehidupan seharian termasuklah kebudayaan moden.

Sebagai contoh, Halim menyebut Halloween diraikan besar-besaran di Barat sangat sinonim dengan labu sedangkan ia sebenarnya sangat digemari Rasulullah SAW.

“Justeru sebagai umat yang amat menyayangi Rasulullah SAW, berbanding mengambil bahagian dengan perayaan itu, mengapa tidak kita luncurkan ingatan kepada Baginda setiap kali melihat labu.

“Ingatilah tanaman itu sebagai kegemaran Baginda dan elakkan daripada mengaitkannya dengan sambutan demikian,” katanya.

Halim berkata, kemuncak cara mengingati Rasulullah ialah meniatkan setiap apa yang dilakukan dibuat ‘untuk Nabi Muhammad SAW.’

“Apabila ingin memohon sesuatu, sentiasa sebut yang kita melakukannya ‘kerana Allah dan untuk Nabi Muhammad SAW’ kerana Baginda wasilah yang paling kuat untuk kita menyampaikan hasrat kepada-Nya.

“Moga-moga setiap apa yang kita hajati dan lakukan tentunya akan lebih lancar dan diberkati,” katanya.

INFO: Formula 5S raih syafaat

• ‘Selawat’ ke atas Nabi

• ‘Salam’ ke atas Nabi

• Kuasai ‘sirah’

• Amalkan ‘sunnah’

• Sering ‘sebut’ Nabi

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!