≡ Menu

[Hadis] Masalah Obesiti: Apa Pandangan Islam Dalam Hal Ini?


Obesiti bukan lagi perkara biasa yang dapat diterjemahkan sebagai sihat secara fizikal. Namun ia telah menjadi satu masalah yang sinonim dengan penyakit tidak berjangkit yang lain. Ia merupakan satu masalah kesihatan awam yang serius kerana boleh melibatkan komplikasi penyakit lain yang dikategorikan sebagai penyakit moden. Paling membimbangkan, masalah obesiti menular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Walaupun ia bukanlah penyakit yang berjangkit tetapi pola pemakanan dan gaya hidup seseorang menyebabkan permasalahan terus merebak dalam sesebuah komuniti. Jika sedari kecil lagi telah mengalami masalah obesiti, tidak dikawal dan tidak mengambil usaha pencegahan, maka tidak mustahil Malaysia akan melahirkan lebih ramai lagi generasi yang gebu, gemuk dan gempal (3G) pada masa akan datang. Fenomena 3G ini sudah pun berlaku tetapi ia mungkin akan berterusan sekiranya tiada langkah pencegahan yang mampu dirintiskan oleh masyarakat. Malah, lebih memburukkan lagi jika individu yang tidak memiliki kesihatan yang baik, tidak mampu menunaikan tanggungjawab untuk beribadah kepada Allah dengan sempurna. Lantas, apakah tujuan kita berada dan hidup di atas muka bumi ini?

Umum mengetahui bahawa badan yang berat akan memenatkan. Beban berat badan akan memberi kelelahan kepada diri sendiri. Beribadah juga turut menjadi berat. Tidak mustahil kemalasan akan datang seiring dengan kepenatan dan terhadnya pergerakan. Penyakit akibat obesiti juga membataskan kemampuan untuk beribadah dengan sempurna. Jadi, obesiti memang memberi impak yang mendalam kepada ibadah dan tuntutan hidup yang lain.

Abu Hurairah pernah menukilkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Pada hari kiamat, akan datang seorang yang berbadan besar lagi gemuk. Namun, disisi Allah timbangannya tidak melebihi berat sayap seekor nyamuk.” Seiring dengan itu, wajar kita mengambil iktibar bahawa beban membawa berat badan yang berlebihan akan menyebabkan kemalasan bersarang dalam diri seseorang. Ia menjadi penghalang untuk melaksanakan suruhan Allah dengan lebih sempurna, berkualiti dan optimum.

BACA:  Mengapakah Wanita Ramai Menjadi Penghuni Neraka?

Namun, barangkali ada yang berpendapat, sekiranya makan dengan banyak maka akan menghasilkan tenaga dan stamina yang tinggi untuk beribadah. Malangnya, sifirnya tidak pernah sebegitu. Ramai di antara kita, apabila makan akan berlebihan. Makan bukan sekadar untuk menguatkan diri malah akan membebankan perut dan diri secara fizikal. Ibn Hajar menyatakan dalam Fath al-Bari: “Kerana kebiasaan orang yang gemuk lemah kefahamannya dan berat untuk beribadah.” Tambahan pula, The Annals of Neurology 2010 telah membuktikan bahawa wujudnya hubungkait antara saiz otak yang lebih kecil dan peningkatan risiko demensia dengan aras lemak yang lebih tinggi dalam badan. Maka, tidak dapat disangkal wujud kemungkinan jika seseorang mengalami masalah berat badan, daya ingatan dan penumpuan juga akan berkurangan.

Bukanlah menafikan bahawa faktor genetik juga menjadi punca obesiti. Namun, yang menjadi permasalahannya kini ialah kebanyakan daripada kita tidak mengamalkan gaya hidup sihat sedangkan ia merupakan tuntutan dalam ajaran Islam itu sendiri. Akhirnya menyumbang kepada masalah dan kemudaratan diri sendiri. Kadangkala kita telah pun menyedari tentang hal tersebut, namun masih lagi bertangguh untuk melakukan perubahan kerana apa yang telah diamalkan telah menjadi sebati dalam kehidupan.

Dalam satu sudut yang lain, berapa ramai di antara ibu bapa pada hari yang menjadikan “electronic babysitter” seperti televisyen dan komputer menjadi teman rapat kepada anak-anak? Kajian menunjukkan bahawa semakin lama anak-anak meluangkan masa untuk menonton televisyen, kecergasan otot mereka akan semakin berkurangan dan ukur lilit pinggang semakin meningkat disebabkan kegemukan apabila menghampiri usia remaja. Ia berpotensi menyebabkan masalah kesihatan apabila menginjak dewasa.

Dalam mendidik anak-anak, kadangkala ibubapa tidak perasan bahawa mereka telah menyediakan satu spektrum pendidikan gaya hidup tidak sihat secara tidak formal. Antaranya membiarkan anak-anak menghabiskan masa di hadapan televisyen, tidak mempedulikan aktiviti kecergasan anak-anak di luar dan tidak prihatin kepada apa jua bentuk serta jenis makanan yang anak-anak makan. Secara tidak sedar sebenarnya ibu bapa pada hari ini telah pun memulakan usaha mewujudkan generasi yang tidak sihat pada masa akan datang.

BACA:  Lebam-Lebam Timbul Tanpa Sebab? Angkara Jin?

Anak-anak yang mengalami obesiti dan berlebihan berat badan akan cenderung untuk diejek oleh rakan sebaya. Ia akan memberi kesan kepada jati diri, menyebabkan tertekan dan kurang keyakinan terhadap penampilan mereka. Dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan korelasi antara obesiti dan tekanan mental. Jika dilihat pada perangkaan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan mendapati masalah tekanan mental kanak-kanak dan remaja meningkatkan sebanyak 20% pada tahun 2011 berbanding 13% pada tahun 1996. Mungkinkah peningkatan statistik yang membimbangkan dan sering diperbahaskan mutakhir kini adalah salah satunya berpunca daripada masalah obesiti yang berlaku dalam kanak-kanak dan remaja pada hari ini?

Justeru, kita wajar menilai semula apakah makanan yang dijamah dan disuapkan ke mulut pada setiap hari sama ada untuk diri mahu pun keluarga di bawah tanggungan kita. Sejauhmana ia memberi nilai tambah kepada kesihatan? Atau lebih buruk lagi kita tidak mampu mengubah pola pemakanan dan gaya hidup selama ini walaupun telah menyedari akan peri pentingnya menjaga kesihatan. Ketahuilah bahawa walaupun berdikit-dikit dalam membuat perubahan ke arah kesihatan yang lebih baik akan memberi impak yang besar daripada langsung tidak melakukan apa-apa tindakan. Mengelak dan mengawal berat badan, pemilihan makanan yang terbaik dan berkat, mengambil langkah-langkah pencegahan penyakit sedaya mungkin, adalah komitmen kita untuk memerangi obesiti dan penyakit tidak berjangkit yang lain terus bermaharajalela dalam masyarakat pada hari ini dan seterusnya generasi akan datang. Semua usaha ini adalah untuk merangka dan merancang bagi mencapai kesihatan yang optimum agar ibadah yang kita laksanakan lebih baik dan berkualiti serta diterima oleh Allah.

Sumber

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!