≡ Menu

‘Cukuplah beri alasan berpoligami kerana sunnah, banyak lelaki berpoligami kerana nafsu tetapi tanggungjawab kelaut’


Poligami adalah perkara yang terdapat di dalam syariat Islam dan merupakan sunnah Nabi. Rata-rata lelaki menyukai isu yang dibangkitkan mengenai poligami tetapi tidak bagi seorang wanita. Masyarakat terutamanya wanita menentang isu ini kerana akan memikirkan isu berbahagi kasih sayang dan ketidakadilan.

Bagi Nik Ailing Nik Mustafa, beliau tidak menentang isu poligami tetapi menyelar tindakan golongan lelaki yang hanya mahu berpoligami untuk melepaskan nafsu semata tanpa memikirkan soal tanggungjawab dan nafkah. Beliau juga menasihatkan wanita yang berniat menjadi isteri kedua supaya memperbaiki diri dulu dan bukannya dengan gaya menggoda dan tahu meletakkan yang mana halal dan haram. Ujarnya lagi, jika wanita berakhlak baik, kelak akan ada lelaki yang baik akan mengahwininya.

Sekiranya si suami menggalas tanggungjawabnya dengan adil dan amanah, maka poligami dilihat sebagai satu keindahan di dalam perkahwinan. Tetapi sebaliknya jika si suami culas, masyarakat mula akan memandang serong terhadap isu ini. Poligami tidak salah, yang khilaf adalah cara seorang lelaki menguruskannya.

MENYONDOL DAN DISONDOL

HARI INI aku nak meraban bab poligami. Yang mana kalau lelaki sebut bab ini, mereka kaitkan dengan sunnah. Yang mana kalau perempuan pula menyebut tentang ini, mereka kaitkan dengan sakitnya berbahagi kasih.

Sebelum aku dapat anak, pernah aku cerita, aku dianggap mandul, dituduh mandul, dikatakan tiada anak kerana tiada restu dari mereka tertentu (aku bukan menantu pilihan). Malah adalah makhluk-makhluk Allah swt yang suggest supaya si dia mencari yang lain, yang boleh berikan zuriat.

Dan dek kerana desakan, hinaan dan pelbagai lagi, aku pernah menawarkan untuk dia menikahi seseorang. Seseorang itu adalah sahabat dunia akhirat aku yang aku kenal sejak dari darjah satu. Aku dengannya bersekolah bersama sehingga tingkatan tiga di Maahad Muhammadi Pasir Mas (yang dahulunya dikenali sebagai SMU (A) Pasir Mas).

Dia adalah sahabat aku yang cukup ku kenal sebagai perempuan yang beragama, berakhlak baik, bertudung labuh dan menutup aurat dengan sempurna, fasih Al Quran, bermotivasi tinggi serta yang paling penting, dia juga yatim piatu seperti aku.

Aku maklumkan pada encik suami dan sahabat aku akan hasrat aku. Dia terkejut. Iyalah, perempuan mana sanggup bermadu, kan? Tetapi aku redha dan aku yakin, sekiranya sahabat aku itu yang menjadi maduku, kami akan bahagia. Malah kami boleh jadi satu keluarga.

BACA:  Cicak Banyak Melata Dalam Rumah? Mungkin Ini Puncanya. Nauzubillah

Kerana apa? Kerana aku tahu akhlak sahabatku kerana kami sangat rapat. Malah arwah abah mamaku seumpama mak ayah dia. Malah arwah mak ayah dia seumpama mak abah aku. Dan keluarga kami saling mengenali dan aku membesar bersama dengan sahabat aku itu.

Encik suami menolak. Katanya dia tidak mampu berbahagi kasih. Aku mohon dia buat solat istikharah. Dia buat beberapa kali. Namun akhirnya jawapan dia masih tidak. Nak kata kawan aku tidak cantik, sahabat aku itu sedap mata memandang malah lemah lembut. Dan akhirnya, suami dan sahabat aku kedua-dua menolak hasrat aku dengan baik.

Jadi, tidak timbul soal aku menolak poligami. Fahamkan itu. Hadamkan itu.

Semasa aku di JPN, aku pernah daftarkan kelahiran anak seorang pendakwah bebas. Anak itu hasil dari isteri kedua. Dan semasa proses itu, penceramah itu “kononnya” mahu memberikan ceramah percuma pada aku seolah-olah dia menganggap aku menghakimi dia tentang poligami.

Jawapan aku? Aku ceritakan yang aku pernah mencadangkan suamiku menikahi sahabat aku. Penceramah itu terdiam. Lalu ku sambung lagi..

“Ustaz, saya tidak menentang poligami, kerana ia dibenarkan di dalam Islam. Cuma kalau saya mahu suami saya berpoligami, saya mahukan bakal madu saya seseorang boleh menambah pahala keluarga dan suami. Saya mahu yang auratnya terjaga, fasih qurannya, akhlak yang baik dan seorang yang arif tentang agama. Supaya apabila suami saya tersasar dari jalan, tidak berlaku adil atau lupa tentang tanggungjawab, dia dan saya boleh menegur. Boleh sama-sama membawa ke syurga.”

“Yang saya menentang ialah apabila suami sendiri agama sudahlah kurang, solat pun tidak atau jarang sekali, membaca al-Quran pun merangkak-rangkak, hukum-hakam jauh sekali nak tahu, lepas itu cari isteri pun spesis buka aurat, solat pun tidak, quran dan hukum ke laut. 2 x 5 dan 5 x 2.

“Sudahlah si suami menanggung dosa isteri pertama, tambah pula dosa isteri kedua. Tanggungjawab pada isteri pertama pun ke laut, mahu tambah yang kedua. Bukan menambah pahala jadinya, tapi menambah dosa dan menempah neraka. Sunnah sepatutnya sesuatu yang memberi pahala bukan mencipta dosa.”

BACA:  "12 tahun mak pergi, jenazah masih elok" - Wanita cerita pengalaman pindah kubur

Penceramah itu terdiam. Dan aku menambah lagi, “Seolah-olah kau solat fardhu yang lima waktu pun ke laut, tapi terkejar-kejar konon nak pahala nak buat solat sunat. Solat Subuh pun kau tinggal-tinggal tapi rajin pula bangun setiap malam nak buat solat tahajjud.”

Kesimpulannya? Poligami itu sunnah. Menjadi sunnah dan menambah pahala kalau betul caranya. Tetapi, perkahwinan dan tanggungjawab yang kau ada sekarang adalah fardhu ain dan wajib.

Yang fardhu pun kau belum tentu dapat menunaikan dengan sempurna, kau mengejar pahala yang sunnah. Nak kumpul pahala sangat kononnya, sempurnakanlah dulu tanggungjawab yang fardhu. Sekurang-kurangnya kalau tak sempurna, biarlah sehabis baik yang kau mampu.

Ini tidak, tanggungjawab yang fardhu pun kelaut, kau sibuk nak mengejar yang sunnah. Sibuk memberi alasan poligami itu sunnah walhal yang wajib pun kelaut. Rasulullah saw dan sahabat berpoligami yang mendatangkan pahala, kau berpoligami dengan menambah dosa.

Mana tidaknya menambah dosa, kenal kali pertama dengan yang bakal isteri kedua pun dah sibuk dating, pegang sana pegang sini, gurau sana gurau sini, tak mengikut syarak. Dah bercampur yang dosa dan yang haram. Permulaan pun dah ke laut, dah nikah lagi kelaut, tanggungjawab kelaut, keadilan kelaut. Baik kau terjun je dalam laut tu.

So, cukup-cukuplah memberi alasan berpoligami kerana itu sunnah. Banyak lelaki yang berpoligami kerana nafsu. Yang mana betul mengikut sunnah, tahniah. Yang mana acah-acah ikut sunnah walhal hakikat kerana nafsu serakah, sudah-sudahlah berwayangkan sunnah. Nak pahala sangat, yang wajib ni kau lengkapkan dahulu.

Dan yang mana konon nak jadi yang kedua yang kononnya juga kerana sunnah, walhal kau spesis menyondol, hentikanlah. Kau sempurnakan diri kau sebagai wanita yang bermaruah dan sempurna akhlaknya, insyaAllah kau jumpa lelaki yang baik. Bak kata Quran, wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Kalau kau pun ke laut china selatan, kau expect kau dapat yang baik? Hadamkan itu.

So ini pandangan peribadi aku tentang poligami. Nak setuju atau tak, ikut kaulah labu!

Assalamualaikum wbt.

Sumber: Nik Ailing Nik Mustafa

Kredit: www.thereporter.my

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!